Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW semasa lahir sudah dikhitankan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, terdapat tiga pandangan berkenaan isu khitan Nabi SAW. Kami ringkaskan pandangan-pandangan tersebut seperti berikut:
Pandangan Pertama: Nabi SAW dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan.
Antara dalil yang menjadi sandaran pandangan ini adalah, hadith daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مِنْ كَرَامَتِي أَنِّي وُلِدْتُ مَخْتُونًا وَلَمْ يَرَ أحد سوأتي
Maksudnya: “Antara kemuliaanku ialah aku dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan tiada siapa pun melihat kemaluanku.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (6148), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (3/24), Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (3/412) dan al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (1/329). Hadith ini dinilai sebagai dha’if jiddan kerana adanya perawi bernama Sufyan bin Muhammad al-Massisi. Ibn Hibban berkata tentang beliau: “Tidak halal berhujah dengan hadith riwayatnya.” (Lihat Kitab al-Majruhin, 1/395)
Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, daripada al-’Abbas R.A, katanya:
وُلِدَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَخْتُونًا مَسْرُورًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan sudah terputus tali pusatnya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (1/114) dan Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Dala’il al-Nubuwwah (hlm. 154). Disebut juga oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2/265). Hadith ini dinilai sebagai dha’if. Ibn ‘Abd al-Barr berkata: “Sanad hadith al-’Abbas ini tidak kukuh (dha’if).” (Lihat al-Isti’ab, 1/17)
Pandangan Kedua: Nabi SAW dikhitankan oleh ‘Abd al-Muttalib
Antara dalil bagi pandangan ini ialah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
أَنَّ عَبْدَ الْمُطَّلِبِ خَتَنَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَجَعَلَ لَهُ مَأْدُبَةً، وَسَمَّاهُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Bahawa ‘Abd al-Muttalib yang mengkhitankan Nabi SAW pada hari ketujuh kelahirannya, dan dia menyediakan makanan (kenduri) dan menamakannya Muhammad SAW.”
Disebut oleh Ibn ‘Abd al-Barr dalam al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab (1/51); Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma’ad (1/80) dan Tuhfah al-Maulud (hlm. 207). Hadith ini adalah dha’if. Ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Abi al-Sariy. Beliau adalah dha’if pada Abu Hatim dan Ibn ‘Adiy. Ibn Hajar menyatakan bahawa beliau soduq tetapi mempunyai kesilapan. (Lihat al-Jarh wa al-Ta’dil, 1/105)
Pandangan Ketiga: Malaikat yang Mengkhitankan Nabi SAW ketika Peristiwa Pembelahan Dada.
Antara dalil pandangan ini adalah:
Daripada Abu Bakrah R.A, katanya:
أَنَّ جِبْرِيلَ خَتَنَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ طَهَّرَ قَلْبَهُ
Maksudnya: “Jibril mengkhitankan Nabi SAW ketika menyuci jantungnya.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5818); Abu Nu’aim dalam Dala’il al-Nubuwwah (hlm. 155) dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (3/412). Disebut juga oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (3/388) dan beliau menyatakannya sebagai gharib jiddan. Hadith ini dha’if kerana adanya perawi bernama Abd al-Rahman bin ‘Uyaynah al-Basri, Maslamah bin Muharib al-Ziyadi dan bapanya (Muharib) adalah perawi yang tidak dikenali. (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, 13/578)
Kebanyakan ulama’ hadith mengatakan bahawa tiada satu pun hadith yang berstatus sahih bagi ketiga-tiga pandangan di atas.
Penutup
Berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa dalam isu ini, para ulama telah khilaf kepada tiga pendapat, iaitu:
- Nabi SAW dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan sebagaimana pendapat Abu Abdillah Muhammad bin Uthman al-Khalili.
- Nabi SAW dikhitankan oleh datuknya ‘Abd al-Muttalib pada hari ketujuh kelahirannya sebagaimana pendapat Ibn Abbas R.Anhuma.
- Nabi SAW dikhitankan ketika Peristiwa Pembelahan Dada oleh Malaikat Jibril AS semasa di bawah penjagaan Halimatussa’diah. (Lihat Makrifah Rasulullah SAW, hlm. 16)
Menurut pandangan Ibn al-Qayyim, Nabi SAW dikhitankan sepertimana bayi-bayi Arab yang lain. Tiadanya riwayat yang sahih dalam isu ini adalah kerana berkemungkinan amalan khitan ini adalah merupakan amalan biasa pada zaman itu, yang tidak perlu untuk diceritakan. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/80).
Sebahagian ulama’ pula mengambil sikap tawaqquf iaitu menangguhkan keputusan mengenainya kerana tiada satu pun dalil yang thabit dalam isu ini. Ini merupakan pandangan Imam Ahmad. Apabila beliau ditanya mengenainya, maka beliau menjawab: “Allahu a’lam..aku tidak tahu.” (Lihat Jami’ al-Athar oleh Ibn Nasir al-Din)
Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, Ibn Nasir al-Din dalam Jami’ al-Athar dan al-Qastalani dalam al-Mawahib juga menukilkan tiga pandangan di atas, tetapi tanpa sebarang tarjih.
Marilah sama-sama kita berdoa dan munajat kepada-Nya:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445