Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Nabi SAW dilahirkan dalam keadaan yatim?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pengertian Yatim
Dalam istilah bahasa Melayu, Kamus Dewan Edisi ke-4 mentakrifkan yatim sebagai anak yang kematian ibu atau bapanya. Sekiranya seorang anak itu kematian ibu dan ayahnya, ia dinamakan sebagai yatim piatu. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1812)
Di dalam Bahasa Arab, terdapat istilah yang khusus untuk menamakan anak yatim. Al-Yatim (الْيَتِيمُ) dari sudut bahasa membawa maksud tunggal, bersendiri. Telah berkata Ibn al-Sikkit: “Al-Yatim pada manusia adalah mereka yang kehilangan bapa manakala pada binatang pula adalah kehilangan ibu. Tidak dipanggil seseorang yang kehilangan ibu dengan al-Yatim”. (Lihat Lisan al-‘Arab, 12/645)
Ibn Manzur menukilkan maksud yatim daripada Ibn Barriy: “Al-Yatim (الْيَتِيمُ) adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy (العَجِيُّ) bagi kematian ibu manakala al-Latim (اللَّطيم) pula adalah bagi yang kematian keduanya”.
Imam al-Jurjani pula menyebut: Yatim ialah seseorang yang bapanya telah meninggal dunia kerana nafkah adalah di atas tanggungjawab bapa tersebut, bukan atas ibu. Manakala bagi haiwan, yatim adalah apabila kematian ibunya kerana susu dan makanan adalah daripada ibu tersebut. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 254)
Oleh itu, dapat difahami bahawa yatim pada istilah merujuk kepada kanak-kanak yang telah kematian bapa. Dan kanak-kanak tersebut pula belum mencapai usia baligh. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ
Maksudnya: “Tidak dikira yatim setelah daripada baligh.”
Riwayat Abu Daud (2873)
Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan kenyataan Ibn Ruslan yang menyebut: Apabila anak yatim sama ada lelaki atau perempuan telah mencapai usia baligh di mana mereka telah bermimpi seperti kebanyakan orang, maka hilanglah baginya status keyatiman secara hakikat dan berjalan ke atasnya hukum baligh. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 8/76)
Dalam kitab al-Muhazzab turut dinyatakan: Yatim adalah seorang yang tidak mempunyai bapa dan dia belum baligh. Tidak dinamakan yatim bagi orang yang sudah baligh. (Lihat al-Muhazzab, 2/247)
Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa Islam melihat bahawa anak yatim itu adalah mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Hadith yang dinukilkan di atas juga menunjukkan kepada kita bahawa yang dinamakan anak yatim itu adalah mereka yang kehilangan bapa dan belum mencapai umur baligh. Sekiranya telah mencapai umur baligh, maka penggunaan istilah yatim tidak digunakan kepada mereka. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 8/54) Oleh itu, seseorang yang umurnya 20-an meskipun telah kematian kedua ibu-bapanya tidak dinamakan dengan anak yatim kerana telah sampai umur baligh.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, mengikut riwayat, Rasulullah SAW dilahirkan selepas dua bulan kematian bapanya. Ada juga pendapat mengatakan, Rasulullah SAW dilahirkan dan selepas itu, barulah bapanya meninggal dunia.
Antara pandangan para ulama tentang hikmah Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan yatim ialah:
- Syeikh Abdul Hamid Kiysk berkata: “Supaya Nabi SAW menyebut Tuhannya.”
- Supaya Allah SWT secara langsung mentarbiah dan mendidik Rasulullah tanpa campur tangan manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku dididik oleh Tuhanku, yang mendidikku dengan sempurna.”
- Supaya Rasulullah SAW hanya bertawakkal dan bergantung kepada Tuhannya.
- Syeikh al-Buti berkata: “Berlaku keyatiman bukan secara kebetulan, tetapi mengikut takdir Ilahi dan hikmahnya.”
- Antaranya ialah menjauhkan tangan-tangan yang cuba memanjainya, menjauhkan wang, harta kekayaan yang cuba dimewahkan kehidupannya.
- Dr. Aidh al-Qarni berkata: “Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan yatim untuk menjadi teladan dan contoh bagi anak- anak yatim lain sehingga mereka yakin bahawa keadaan yatim bukanlah ‘aib, cacat dan bukan juga kemurkaan dari Allah SWT.” (Lihat Makrifah Rasulullah SAW, hlm. 16-17)
Cukuplah untuk kita menghormati anak yatim, memelihara atau memberi bantuan kepadanya kerana Allah SWT memerintahkan kita supaya tidak menindas, menghina dan mencela anak yatim. Firman Allah SWT:
فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ
Maksudnya: “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,”
(Surah al-Dhuha: 9)
Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445