Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa sebenarnya di sebalik hikmah Rasulullah SAW berada di perkampungan bersama keluarga susunya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sejarah menunjukkan Rasulullah SAW dipelihara oleh keluarga Bani Sa’d. Nama ibu susuannya, Halimah binti Abu Dhu’ayb, isteri al-Harith bin Abdul ‘Uzza, yang dikenali dengan gelaran Abu Kabsyah dari kabilah yang sama.
Iktibar dan Hikmah
Antaranya:
- Seorang ahli sejarah berkata: “Sebilangan besar tokoh-tokoh kenamaan, bahkan di Barat, sekalipun ada, adalah berasal dari perkampungan. Para pembesar tidak dibesarkan di kawasan bandar. Ia menjadi penghalang utama pengembangan bakat dan kemampuan manusia sehingga menjadikannya sebagai seorang pengecut.”
- Pakar pendidikan berkata: “Kanak-kanak yang dididik di kawasan bandar cenderung kurang bijak dan memiliki azam yang lemah. Perkara ini sering berlaku dan dapat disaksikan secara nyata. Kanak-kanak yang hidup di kawasan bandar apabila tersekat daripada memperolehi ilmu pengetahuan an pendidikan yang baik, mereka akan menjadi bodoh, tidak seperti kanak-kanak yang hidup di kawasan kampung.
- Ahli sejarah telah bersepakat mengatakan bahawa perkampungan Bani Sa’d pada ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Apabila Muhammad SAW dibawa ke rumah Halimah, maka Halimah terus menyusukan Baginda SAW. Keadaan pada ketika itu terus berubah. Kampung yang pada suatu ketika dahulunya berada dalam keadaan yang kering tandus mulai menghijau, manakala kambing ternakan yang dahulunya kurus kelaparan kini berubah menjadi riang dan pundinya dipenuhi dengan susu. (Lihat Makrifah Rasulullah SAW, hlm. 19-20)
Kisah masyarakat Arab zaman dahulu menjadikan anak-anak mereka dipelihara oleh ibu-ibu susu di perkampungan telah melatih sifat dan sikap sebagai pemberani di samping memahami dialek dan bahasa Arab sejati yang tidak dicampur dengan bahasa Arab pasar.
Begitu juga, suasana alami di perkampungan boleh membentuk jiwa dan emosi yang baik bagi kanak-kanak kerana mereka berinteraksi dengan alam ciptaan Tuhan. Tambahan pula, kedekatan masyarakat sesama sendiri seperti jiran tetangga dan kaum kerabat amatlah kukuh dan kuat.
Hal ini sudah tentu memberi banyak kelebihan kepada anak-anak desa atau yang pernah menetap dan tinggal di desa. Sesuailah Rasulullah SAW yang akan memimpin ummah memahami kehidupan badwi mahu pun hadhari atau di pekan-pekan.
Marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445