Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah seorang peniaga Yahudi yang telah berkunjung ke Makkah melihat terbitnya bintang ketika Nabi SAW lahir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: ‘Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad.’ Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ‘Ini ialah sihir yang jelas nyata!’

(Surah Saff: 6)

Ibn Kathir berkata: Nabi Isa berkata kepada Bani Israil, “Kitab Taurat telah memberi khabar gembira akan kenabianku dan aku sesuai lagi benar dengan apa yang dikhabarkan. Aku memberi khabar gembira akan kenabian yang datang sesudahku Dia adalah Rasul, Nabi yang ummi (buta huruf), orang Arab, orang Makkah, iaitu Ahmad.”

Nabi Isa AS adalah nabi terakhir dan penutup para nabi Bani Israil. Dia tinggal di kalangan Bani Israil dan memberi khabar gembira akan kenabian Nabi Muhammad, penutup para Nabi dan Rasul yang tidak ada risalah dan kenabian setelahnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/109)

Berita kelahiran Nabi Muhammad SAW telah menarik perhatian ramai sehinggakan seorang pedagang Yahudi Makkah telah jatuh pengsan. Kaum Yahudi mengetahui tentang kebenaran fakta bahawa akan kedatangan Nabi terakhir, namun mereka menyembunyikannya, malah semakin melakukan kezaliman dan kebongkakan mereka pada setiap zaman.

Kaum Yahudi pun tahu waktu dan tibanya kelahiran Rasulullah, mereka berduyun-duyun berhijrah menuju Jazirah Arab untuk menunggu kedatangan Nabi terakhir. Sebahagian daripada mereka mendiami kota Mekah dan berdagang di sana.

Ketika tibanya malam Nabi terakhir dilahirkan, mereka menghampiri kaum Arab Quraisy dan bertanyakan apakah ada bayi yang lahir pada malam tersebut.

Dalam riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/601-602), Aisyah R.Anha berkata: “Pada malam kelahiran Rasulullah SAW seorang pedagang Yahudi yang tinggal di Makkah bertanya kepada sekumpulan orang-orang Quraisy: “Adakah anak yang lahir di antara kamu pada malam tadi?” Mereka menjawab : “Kami tidak tahu!”

Pedagang Yahudi itu menjelaskan: “Pada malam ini akan lahir Nabi terakhir umat ini, Ahmad (yang terpuji). Kalau kamu salah, bererti dia lahir di Palestin. Di antara dua bahunya terdapat tahi lalat hitam kekuningan.”

Orang-orang Quraisy kemudian terperanjat hairan mendengar perkataan orang-orang Yahudi tersebut. Ketika pulang ke rumah masing-masing, mereka pun memberitahu berita berkenaan kepada sanak keluarga serta sahabat handai. Lalu mereka mendapat khabar bahawa pada malam itu telah lahir seorang putera dari Aminah dan suaminya, Abdullah bin Abdul Mutalib yang diberi nama Muhammad.

Kemudian mereka segera menyampaikan berita kelahiran tersebut kepada Yahudi tadi, lalu segeralah dia minta orang-orang Quraisy bersama-samanya untuk menemui Aminah, ibunda Nabi SAW dan meminta untuk ditunjukkan bayi tersebut kepada mereka.

Apabila melihatnya dan ketika matanya tertumpu pada seperti tahi lalat besar (Khatam Al-Nubuwwah) di bahagian belakang, di antara kedua belikat Baginda, tiba-tiba si Yahudi terkejut dan menggigil lalu terus pitam sehingga jatuh pengsan.

Setelah sedar dan pulih dari pengsan, orang ramai Quraisy bertanya : “Mengapa dengan kamu, sahabat?” Jawabnya:

ذَهَبَتِ النُّبُوَّةُ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ، وَخَرَجَ الْكِتَابُ مِنْ أَيْدِيهِمْ

Maksudnya: “Kenabian telah hilang daripada bani Israel, al-Kitab telah terlepas daripada tangan mereka.”

Riwayat Ibn Sa’d dalam al-Tabaqat (1/129)

Apabila telah dapat melihat ada tanda ‘Nubuwwah’ (kenabian) di belakang Nabi SAW, maka tahulah dia bahawa terlepaslah peluang sama sekali untuk kaum Yahudi menjadi Nabi terakhir yang selama ini amat dicita-citakan oleh mereka. Bangsa Yahudi  menyangka penutup segala Nabi datang dari kaum mereka tapi sebaliknya yang berlaku.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply