Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kisah isteri Baginda SAW yang bernama Zainab binti Jahsy?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Beliau ialah Zainab binti Jahsy bin Riyab. Beliau adalah sepupu Rasulullah SAW. Ibunya pula bernama Umaimah binti ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim. Nama julukan — kunyah — beliau ialah Ummu al-Hakam. Beliau juga termasuk salah seorang yang awal masuk Islam dan berhijrah. Selain itu, beliau juga ada meriwayatkan hadith dan hadithnya terdapat dalam al-Kutub al-Sittah. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah anak saudaranya iaitu Muhammad bin Abdullah bin Jahsy, Ummul Mukminin Ummu Habibah dan Zainab binti Abu Salamah.

Sebelum mengahwini Rasulullah SAW, beliau merupakan isteri kepada Zaid bin Harithah maula Nabi SAW. Kemudian, setelah Zaid menceraikannya, Allah SWT telah mengahwinkan Nabi SAW dengannya melalui wahyu dari langit. Allah SWT menurunkan ayat:

وَإِذۡ تَقُولُ لِلَّذِيٓ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَأَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِ أَمۡسِكۡ عَلَيۡكَ زَوۡجَكَ وَٱتَّقِ ٱللَّهَ وَتُخۡفِي فِي نَفۡسِكَ مَا ٱللَّهُ مُبۡدِيهِ وَتَخۡشَى ٱلنَّاسَ وَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخۡشَىٰهُۖ فَلَمَّا قَضَىٰ زَيۡدٞ مِّنۡهَا وَطَرٗا زَوَّجۡنَٰكَهَا لِكَيۡ لَا يَكُونَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ حَرَجٞ فِيٓ أَزۡوَٰجِ أَدۡعِيَآئِهِمۡ إِذَا قَضَوۡاْ مِنۡهُنَّ وَطَرٗاۚ وَكَانَ أَمۡرُ ٱللَّهِ مَفۡعُولٗا

Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: ‘Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah,’ sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.”

(Surah al-Ahzab: 37)

Maka Rasulullah SAW menikahi Zainab binti Jahsy R.Anha pada tahun 3 Hijrah sepertimana yang dinyatakan oleh Abu ‘Ubaidah. Manakala Qatadah pula berpendapat pada tahun 5 Hijrah. Selain itu, Ibn Ishaq menyebutkan bahawa Rasulullah SAW berkahwin dengannya selepas Baginda berkahwin dengan Ummu Salamah R.Anha. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/211-212; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/153; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 7/126).

Selain itu, diceritakan juga bahawa ketika Zainab bin Jahsy R.Anha diceraikan oleh suaminya, kemudian setelah tamat tempoh ‘iddahnya, Rasulullah SAW telah berkahwin dengannya. Baginda memberi makan kepadanya dengan roti dan daging (yakni jamuan ketika pernikahannya). Tatkala beliau masuk untuk bertemu dengan Rasulullah SAW, Baginda telah bertanya kepadanya: “Apakah namamu?” Beliau menjawab: “Barrah.”

Lalu Baginda menamakannya sebagai Zainab. Begitu juga apabila Nabi SAW menikahi Zainab bin Jahsy R.Anha, orang-orang munafiq mula bercakap-cakap mengenai perkara tersebut. Mereka mengatakan: “Muhammad mengharamkan isteri-isteri anak (untuk dikahwini oleh bapa) tetapi dia berkahwin dengan isteri anaknya. Lalu Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan ayat:

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٖ مِّن رِّجَالِكُمۡ وَلَٰكِن رَّسُولَ ٱللَّهِ وَخَاتَمَ ٱلنَّبِيِّـۧنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٗا ٤٠

Maksudnya: “Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Ahzab: 40)

Selain daripada itu, Aisyah R.Anha juga pernah berkata: “Tidak ada seorangpun isteri-isteri Nabi SAW yang boleh menandingiku dari sudut kedudukan istimewa di sisi Baginda SAW selain Zainab binti Jahsy R.Anha.” Di samping itu, beliau juga berbangga dengan para isteri Nabi SAW yang lain dengan menyebutkan kepada mereka: “Sesungguhnya bapa-bapa kamu yang menikahkan kamu, tetapi yang menikahkanku ialah Allah SWT dari atas tujuh petala langit.”

Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah marah kepadanya kerana apa yang beliau katakan tentang Safiyyah binti Huyayy R.Anha iaitu (katanya): “Wanita Yahudi itu.” Maka Baginda telah mengasingkan diri daripadanya kerana perkara tersebut untuk bulan Zulhijjah, Muharram dan sebahagian bulan Safar. Kemudian Baginda mendatanginya selepas itu, dan keadaan kembali seperti sediakala sebagaimana asalnya. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1849-1850).

Bukan itu sahaja, Rasulullah SAW juga pernah memujinya kerana beliau rajin bersedekah di jalan Allah SWT, sehingga beliau digelar sebagai ‘panjang tangan.’ Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Masruq, daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ بَعْضَ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قُلْنَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيُّنَا أَسْرَعُ بِكَ لُحُوقًا؟ قَالَ: «أَطْوَلُكُنَّ يَدًا»، فَأَخَذُوا قَصَبَةً يَذْرَعُونَهَا، فَكَانَتْ سَوْدَةُ أَطْوَلَهُنَّ يَدًا، فَعَلِمْنَا بَعْدُ أَنَّمَا كَانَتْ طُولَ يَدِهَا الصَّدَقَةُ، وَكَانَتْ أَسْرَعَنَا لُحُوقًا بِهِ وَكَانَتْ تُحِبُّ الصَّدَقَةَ

Maksudnya: “Sebahagian daripada isteri-isteri Nabi SAW bertanya kepada Nabi SAW: ‘Siapakah antara kami yang paling cepat menyusulmu (meninggal dunia)?’ Baginda SAW menjawab: ‘Orang yang paling panjang tangannya antara kamu.’ Lalu mereka mengambil sebatang kayu untuk mereka mengukurnya (tangan mereka). Maka Saudah ialah orang yang paling panjang tangannya dalam kalangan mereka. Setelah itu, kami mengetahui bahawa yang dimaksudkan dengan panjang tangan sebenarnya adalah sedekah dan sememangnya beliaulah yang paling cepat antara kami menyusul Baginda, dan beliau sangat gemar bersedekah.”

Riwayat al-Bukhari (7421) dan Muslim (2452)

Selain daripada itu, Aisyah R.Anha juga pernah memuji Zainab binti Jahsy

R.Anha. Hal ini dapat dilihat menerusi riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

وَلَمْ أَرَ امْرَأَةً قَطُّ خَيْرًا فِي الدِّينِ مِنْ زَيْنَبَ. وَأَتْقَى لِلَّهِ. وَأَصْدَقَ حَدِيثًا. وَأَوْصَلَ لِلرَّحِمِ.وَأَعْظَمَ صَدَقَةً. وَأَشَدَّ ابْتِذَالًا لِنَفْسِهَا فِي الْعَمَلِ الَّذِي تَصَدَّقُ بِهِ، وَتَقَرَّبُ بِهِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى.

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat seseorang wanita yang lebih baik urusan agamanya, paling bertakwa kepada Allah, paling benar bicaranya, paling banyak menyambung silaturrahim, paling banyak bersedekah, dan paling memberi komitmen terhadap dirinya dalam amalan bersedekah yang beliau laksanakannya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT selain Zainab.”

Riwayat Muslim (2442)

Zainab bin Jahsy R.Anha merupakan isteri pertama yang wafat selepas kewafatan Baginda SAW dan paling cepat menyusul Baginda SAW. Beliau meninggal dunia pada tahun 20 Hijrah dan solat jenazahnya diimamkan oleh Umar bin al-Khattab R.A. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/212).

Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Waqidi yang berpendapat, Zainab binti Jahsy R.Anha meninggal dunia pada tahun 20 Hijrah. Selain itu, al-Tabarani meriwayatkan daripada jalur al-Sya‘bi bahawasanya ‘Abd al-Rahman bin Abza mengkhabarkan kepadanya bahawasanya dia mendirikan solat jenazah bersama Umar R.A ke atas jenazah Zainab binti Jahsy R.Anha, dan beliau merupakan isteri Nabi SAW yang pertama wafat selepas kewafatan Baginda.

Begitu juga dalam al-Sahihain dan lafaznya daripada riwayat Muslim, daripada jalur Aisyah binti Talhah daripada Aisyah R.Anha, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

 أسرعُكُنَّ لِحاقًا بِي أطْولُكُنَّ يدًا

Maksudnya: “Orang yang paling cepat menyusulku (selepas kewafatanku) di antara kamu ialah orang yang paling panjang tangannya.”

Riwayat Muslim (2452)

Setelah mendengar hal itu, mereka mengukur tangan mereka untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang mempunyai tangan yang lebih panjang. Aisyah berkata: “Orang yang paling panjang tangannya di antara kami ialah Zainab kerana beliau menggunakan tangannya untuk bekerja dan bersedekah.” (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/154). (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 298-303)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.”

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply