Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Mariah al-Qibtiyyah isteri Nabi SAW atau seorang hamba?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Namanya ialah Mariah binti Syam‘un. Dia merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh pembesar Iskandariyyah dan Mesir iaitu al-Muqauqis kepada Rasulullah SAW. Pembesar itu juga turut menghadiahkan bersamanya hamba yang lain iaitu saudara perempuannya, Sirin dan juga Khasi yang dipanggil sebagai Makbur. Kemudian, Rasulullah SAW menghadiahkan Sirin kepada Hassan bin Thabit, dan dia ialah ibu kepada ‘Abd al-Rahman bin Hassan. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifahal-Ashab, 4/1912).
Di samping itu, beliau mempunyai seorang anak lelaki bersama Rasulullah SAW yang diberi nama Ibrahim. Ibrahim bin Muhammad lahir pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Al-Zubair menyebutkan daripada syeikh-syeikhnya bahawa Ummu Ibrahim Mariah melahirkannya di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Orang yang menyambut kelahiran Ibrahim ialah Salma maulah Nabi SAW, yang merupakan isteri kepada Abu Rafi‘. Kemudian Abu Rafi‘ menyampaikan berita gembira tersebut kepada Nabi SAW, lalu Baginda menghadiahkannya seorang hamba.
Walau bagaimanapun, umur Ibrahim bin Muhammad tidak panjang kerana wafat ketika masih lagi kecil. Ibrahim meninggal dunia di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah ketika berusia 18 bulan iaitu pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Namun ada yang berpendapat, beliau dilahirkan pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah dan wafat pada tahun 10 Hijrah. Jenazahnya telah dimandikan oleh Ummu Burdah dan dibawa dari rumah Ummu Burdah di atas katil kecil. Rasulullah SAW telah mensolatkannya di Baqi‘.
Menurut al-Waqidi, Ibrahim telah meninggal dunia pada hari Selasa, setelah berlalunya sepuluh malam Rabi‘ul Awwal tahun 10 Hijrah dan dikebumikan di Baqi‘. Ibrahim telah wafat di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah binti al-Munzir daripada Bani al-Najjar, ketika berusia 18 bulan. Akan tetapi ada juga yang berpendapat, Ibrahim meninggal dunia ketika berusia 16 bulan 8 hari, dan juga yang berpendapat, 16 bulan 6 hari, pada tahun 10 Hijrah. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 1/54-56).
Terdapat dua pendapat berkenaan kisah pengislaman Mariah al-Qibtiyyah:
Pertama: Mariah al-Qibtiyyah memeluk Islam sebelum dibawa ke Madinah melalui dakwah utusan Rasulullah SAW iaitu Hatib bin Abu Balta‘ah. Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Sa‘ad dalam al-Tabaqat al-Kubra (8/212) dengan sanadnya daripada Abdullah bin ‘Abd al-Rahman bin Abu Sa‘sa‘ah, katanya: “Pembesar Iskandariyyah iaitu al-Muqauqis telah menghantar kepada Rasulullah SAW pada tahun 7 Hijrah Mariah dan saudara perempuannya, Sirin, seribu mithqal emas, 20 pasang kain yang lembut, baghal yang dinamakan sebagai al-Duldul, keldai yang dinamakan sebagai ‘Ufair dan dipanggil juga sebagai Ya‘fur. Bersama mereka juga Khasi (iaitu seorang hamba) yang dipanggil Makbur, seorang yang sudah lanjut usianya dan merupakan saudara lelaki kepada Mariah.
Al-Muqauqis telah mengutus kesemua itu bersama Hatib bin Abu Balta‘ah. Kemudian Hatib bin Abu Balta‘ah telah menerangkan kepada Mariah mengenai Islam dan mendorongnya untuk memeluk Islam. Maka, Mariah telah memeluk agama Islam, begitu juga dengan saudara perempuannya. Manakala Khasi pula tetap kekal dalam agama asalnya sehinggalah dia memeluk Islam di Madinah selepas itu pada zaman Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW tertarik kepada Ummu Ibrahim kerana beliau berkulit putih dan memiliki kecantikan. Maka Rasulullah SAW telah meletakkannya untuk tinggal di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Baginda pernah mendatanginya di sana dan memakaikannya hijab. Baginda menggaulinya sebagai seorang tuan dan hamba. Apabila beliau hamil, beliau melahirkan anak di sana dan orang yang menyambut kelahiran tersebut ialah Salma maulah Rasulullah SAW. Kemudian, Abu Rafi‘ suami kepada Salma datang bertemu Baginda untuk menyampaikan berita gembira mengenai kelahiran Ibrahim. Lalu Baginda SAW menghadiahkan kepadanya seorang hamba. Perkara tersebut berlaku pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah.” (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 320-323)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445