Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar bahawa Umar ibn al-Khattab kahwin dengan puteri Saidina Ali yang masih kecil?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Benar, beliau ialah Ummu Kulthum binti Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim al-Hasyimiyyah. Ibunya pula bernama Fatimah binti Rasulullah SAW. Beliau adalah adik-beradik kandung kepada al-Hasan dan al-Husain. Beliau dilahirkan pada penghujung tahun 6 Hijrah, dan sempat melihat Nabi SAW tetapi tidak meriwayatkan apa-apa hadith daripadanya.
Umar bin al-Khattab R.A masuk meminangnya, dan ketika itu Ummu Kulthum masih lagi kecil. Maka, ditanyakan kepada Umar R.A: “Apa yang kamu mahukan kepadanya?” Umar R.A menjawab: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ سَبَبٍ وَنَسَبٍ مُنْقَطِعٌ يَوْمَ القِيَامَةِ إِلاَّ سَبَبِي وَنَسَبِي
Maksudnya: “Semua sebab (asal usul) dan nasab akan terputus pada hari kiamat kecuali sebab dan nasabku.”
Riwayat al-Bazzar (274); al-Tabarani (2633); al-Zahabi dalam al-Muhazzab (5/2632) menilai sanadnya sebagai baik (soleh); Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (3/500) menilainya sebagai sahih; al-Bazzar dalam al-Ahkam al-Syar‘iyyah al-Kubra (3/75) menyebutkan, (dalam jalur ini) Abdullah bin Zaid bersendirian dalam meriwayatkannya daripada bapanya, manakala dalam jalur yang lain adalah mursal. Selain itu, Abdullah bin Zaid telah dinilai sebagai dhaif oleh Yahya bin Ma‘in, akan tetapi Ahmad bin Hanbal menilainya sebagai thiqah. Manakala Abu Hatim pula berpendapat, dia tidak ada masalah.
Tambahan lagi, Abdullah bin Zaid bin Aslam meriwayatkan daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Umar menikahi Ummu Kulthum dan memberinya mahar sebanyak 40 ribu dirham.
Diceritakan bahawa Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada Ali R.A: “Kahwinkanlah aku dengannya wahai Abu Hasan kerana sesungguhnya aku tertarik kepada kemuliaannya apa yang tidak ada pada orang lain.” Ali berkata: Kalau begitu, aku akan menghantarnya kepada kamu. Jika kamu redha dengannya, maka aku akan kahwinkan kamu dengannya — disebabkan oleh Ummu Kulthum ketika itu masih lagi kecil. Setelah itu, Ali R.A menghantar Ummu Kulthum R.Anha kepada Umar R.A dengan membawa bersamanya al-Burd (sejenis pakaian berbelang yang membaluti). Kemudian Ali berpesan kepada Ummu Kulthum: “Katakanlah kepadanya: ‘Ini adalah al-Burd yang aku pernah sebutkan kepadamu.’”
Maka Ummu Kulthum menyebutkan perkara tersebut kepadanya. Lalu Umar berkata: “Katakanlah kepadanya: ‘Sesungguhnya aku meredhainya, semoga Allah meredhaimu,’” dan Umar pun meletakkan tangannya pada betis Ummu Kulthum dan menyelaknya (yakni kain yang menutupi betis Ummu Kulthum). Maka, Ummu Kulthum berkata: “Adakah engkau melakukan perkara ini? Kalaulah bukan kerana engkau Amirul Mukminin, pasti aku dah pecahkan hidung engkau.” Kemudian beliau pergi kepada bapanya lalu memberitahunya apa yang berlaku, dan beliau berkata: “Sesungguhnya engkau telah menghantarku kepada seorang lelaki tua yang jahat.” Lalu Ali R.A berkata: “Wahai anak perempuanku, sesungguhnya dia adalah suamimu.”
Setelah itu, Umar bin al-Khattab R.A pergi ke majlis kaum Muhajirin di dalam al-Raudhah. Hal ini kerana di situ menjadi tempat kaum Muhajirin yang terawal biasanya duduk. Lalu Umar duduk bersama mereka dan berkata kepada mereka: “Berilah ucapan tahniah dan doa kepadaku.” Maka mereka bertanya: “Kenapa wahai Amirul Mukminin?” Umar menjawab: “Aku telah berkahwin dengan Ummu Kulthum binti Ali bin Abu Talib. Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Semua nasab, sebab dan hubungan kekeluargaan akan terputus pada hari kiamat kecuali nasab, sebab dan hubungan kekeluargaanku.’ Maka, aku (sudah) mempunyai sebab dan nasab dengannya, dan aku ingin pula berhimpun hubungan kekeluargaan (melalui perkahwinan) dengannya.” Maka, mereka (kaum Muhajirin) R.Anhum pun mengucapkan tahniah kepada Umar dan mendoakannya.
Al-Zuhri dan ulama selainnya menukilkan bahawa Ummu Kulthum R.Anha melahirkan buat Umar R.A seorang anak lelaki bernama Zaid. Namun, ada juga yang berpendapat, beliau melahirkan buatnya seorang anak perempuan bernama Ruqayyah. Anaknya yang bernama Zaid merupakan salah seorang pemuka Quraisy yang sangat dihormati. Akan tetapi Zaid bin Umar meninggal dunia ketika masih lagi muda dan tidak meninggalkan zuriat.
Setelah Umar bin al-Khattab R.A meninggal dunia, Ummu Kulthum berkahwin dengan ‘Aun bin Jaafar bin Abu Talib, dan beliau sangat mencintainya. Kemudian, setelah ‘Aun meninggal dunia, bapanya iaitu Ali R.A mengahwinkannya pula dengan Muhammad bin Jaafar. Setelah Muhammad meninggal dunia, bapanya mengahwinkannya pula dengan Abdullah bin Jaafar, dan Ummu Kulthum meninggal dunia ketika menjadi isterinya. Menurut al-Zahabi, beliau tidak melahirkan seoran gpun anak hasil perkahwinannya dengan tiga orang beradik tersebut.
Namun, al-Zuhri menyebutkan bahawa Ummu Kulthum ada melahirkan seorang anak perempuan buat Muhammad bin Jaafar, dan anak itu bernama Bathnah. Ibn Abi Khalid meriwayatkan daripada al-Sya‘bi, katanya: Aku datang dan Ibn Umar mendirikan solat jenazah ke atas saudara lelakinya Zaid bin Umar dan ibunya, Ummu Kulthum binti Ali. Manakala Hammad bin Salamah meriwayatkan daripada ‘Ammar bin Abu ‘Ammar bahawa Ummu Kulthum dan Zaid bin Umar meninggal dunia. Setelah kedua-duanya selesai dikafankan, jenazah kedua-duanya telah disolatkan oleh Sa‘id bin al-‘As yang merupakan gabenor Madinah ketika itu.
Akan tetapi dalam Mukhtasar Tarikh Dimasyq dinyatakan, riwayat yang lebih terpelihara (mahfuz) bahawasanya Abdullah bin Umar R.anhuma yang telah mengimamkan solat jenazah ke atas kedua-duanya di kediaman Sa‘id bin al-‘As, dan di antara mereka yang solat di belakangnya ialah al-Hasan, al-Husain, Ibn al-Hanafiyyah, Ibn Abbas dan ramai lagi. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/500-502; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/464-466; al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 4/237-238; Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 9/162).
Imam al-Nawawi menukilkan daripada Ibn Abi Hatim, katanya: Aku mendengar bapaku berkata: “Zaid dan ibunya, Ummu Kulthum meninggal dunia pada waktu yang sama, dan ketika itu dia masih lagi kecil, serta tidak diketahui yang mana antara keduanya yang terlebih dahulu meninggal dunia.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al- Lughat, 1/204; al-Jarh wa al-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim, 3/568).
Diceritakan bahawa berlaku peperangan atau pertelingkahan dalam kalanga nBani ‘Adi bin Ka‘ab. Lalu Zaid bin Umar datang untuk meleraikan antara mereka satu sama lain, maka dia telah bercampur dengan mereka yang bertelingkah itu. Tiba-tiba seseorang daripada mereka telah memukulnya pada bahagian kepala dalam kegelapan malam dan dia tidak mengenalinya. Maka kepala Zaid telah cedera kerana pukulan tersebut dan dia pun jatuh dari haiwan tunggangannya. Kemudian orang ramai pun menjerit: “Zaid… Zaid…” Lalu mereka yang bertelingkah pun bersurai. Kemudian, Abdullah bin Muti‘ datang, dan bila mana dia melihat Zaid dalam keadaan terbaring selepas terjatuh, dia pun turun dan membangunkannya sambil memanggil-manggil nama Zaid dua atau tiga kali, sehinggalah apabila Zaid menyahutnya, (barulah dia berhenti) dan Ibn Muti‘ pun bertakbir. Kemudian dia membawanya di atas baghalnya sehingga sampai di rumahnya. Di sana dia telah merawat kecederaan Zaid di kepalanya sehingga dia meninggal dunia. Dikatakan, dia sembuh lalu dia ditanya berkenaan orang yang memukulnya, tetapi dia tidak menyebutkan namanya. Kemudian, luka di kepala Zaid bin Umar terbuka kembali dan dia berterusan menanggung kesakitan tersebut, dan juga mengalami sakit pada perut. Lalu dia pun meninggal dunia.
Sebahagian ahli ilmu menyebutkan bahawa Zaid bin Umar dan ibunya, Ummu Kulthum binti Ali telah sama-sama jatuh sakit. Lalu sakit kedua-duanya semakin berat dan parah. Diceritakan bahawa seorang lelaki berjalan di antara keduanya bagi melihat siapakah antara mereka berdua yang akan wafat terlebih dahulu, lalu yang seorang lagi akan mewarisi pusakanya. Namun, kedua-duanya wafat pada waktu yang sama, sehingga tidak diketahui yang mana antara keduanya yang wafat terlebih dahulu. Justeru, kedua-duanya saling tidak mewarisi.
Begitu juga Imam al-Zahabi menyebutkan dalam kitabnya, dikatakan bahawa telah berlalu rusuhan atau kekacauan pada suatu malam, dan Zaid sedang menunggang di dalamnya. Lalu beliau telah terkena batu dan meninggal dunia disebabkan oleh batu itu. Perkara tersebut berlaku pada awal pemerintahan Mu‘awiyah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/502; Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 9/161; Tarikh Dimasyq, 19/487; al-Munammaq fi Akhbar Quraisy, hlm. 312). (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 347-350)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”
Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)
Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445