Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak tahu adakah terdapat mazhab yang membenarkan gelak ketawa dan sahutan sepanjang sesi penyampaian khutbah Jumaat diadakan? Adakah dibenarkan dengan sebab ingin menyegarkan para jemaah yang mengantuk selepas setengah hari bekerja?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنزَغُ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنسَانِ عَدُوًّا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang paling baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”

(Surah al-Isra’: 53)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata, Allah SWT memerintah Rasulullah SAW memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/87)

Sekiranya Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk menggunakan perkataan yang paling baik dengan penentang kebenaran, maka lebih awla dan utama untuk memilih perkataan yang terbaik ketika sesama orang yang beriman. Begitu juga ketika khutbah Jumaat yang mana ia merupakan suatu bentuk pengucapan awam di dalam rumah Allah SWT, diucapkan di hadapan sekalian mu’min yang menghadiri solat Jumaat, maka terlebih utama untuk seseorang khatib itu memilih seni kata yang baik dan penuh adab sopan semasa menyampaikan isi khutbahnya.

Sifat Khutbah Rasulullah SAW

Rasulullah SAW merupakan contoh dan suri tauladan utama dalam semua amal ibadah Islam. Baginda SAW telah menunjukkan kepada kita bagaimana sifat yang sewajarnya ada pada seseorang khatib itu agar isi yang ingin disampaikannya itu mudah difahami dan padat dengan informasi.

  1. Ringkas dan Padat

Inilah keistimewaan Rasulullah SAW, iaitu setiap butir bicara perkataan Baginda itu ringkas dan padat.

بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِمِ

Maksudnya: “Aku diutuskan (oleh Allah SWT) sebagai seorang yang mampu menuturkan makna yang paling luas dengan lafaz yang paling ringkas.”

Riwayat al-Bukhari (7013) dan Muslim (523)

Yakni Rasulullah SAW itu jika Baginda bertutur atau berkhutbah, Baginda memilih perkataan yang mudah difahami, mengumpulkan makna-makna yang agung, dan tidak berjela-jela. Sehinggakan datang satu riwayat daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ يُحَدِّثُ حَدِيثًا لَوْ عَدَّهُ الْعَادُّ لأَحْصَاهُ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika Baginda menyebutkan tentang sesuatu, jika ada orang yang mengira (perkataan Baginda), nescaya dia akan dapat kira (kerana ringkasnya percakapan Baginda).”

Riwayat al-Bukhari (3567) dan Muslim (2493)

  1. Tegas

Dalam pada perlunya kita menggunakan perkataan yang baik, ini tidak menafikan bahawa perlunya ketegasan dalam menyampaikan khutbah agar semua yang mendengar menumpukan perhatian pada isi khutbah yang disampaikan. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلاَ صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, keras marahnya, seakan baginda sedang memberi amaran tentang bahaya kedatangan tentera musuh”

Riwayat Muslim (867)

Mafhum daripada hadith di atas jelas menunjukkan Rasulullah SAW begitu serius ketika berkhutbah; sama ada dengan gayanya, atau suaranya. Ini juga menggambarkan bahawa Rasulullah SAW tidak lalai, leka, bergurau atau bercakap dalam bahasa biasa ketika menyampaikan khutbah. Itulah sifat Rasulullah SAW dalam  khutbahnya.

  1. Khutbah yang Ringkas

Sebaiknya, ikutilah saranan yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir R.A, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ طُولَ صَلاَةِ الرَّجُلِ وَقِصَرَ خُطْبَتِهِ مَئِنَّةٌ مِنْ فِقْهِهِ فَأَطِيلُوا الصَّلاَةَ وَاقْصُرُوا الْخُطْبَةَ

Maksudnya: “Sungguh panjang solat seseorang, dan ringkas dalam khutbahnya merupakan bukti kefahaman fiqhnya. Maka panjangkanlah solat kamu dan ringkaskanlah khutbah.”

Riwayat Muslim (869)

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin Samurah R.A, katanya:

كَانَتْ صَلاَةُ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ قَصْدًا وَخُطْبَتُهُ قَصْدًا يَقْرَأُ آيَاتٍ مِنَ الْقُرْآنِ وَيُذَكِّرُ النَّاسَ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat Rasulullah SAW itu sederhana (tidak panjang dan tidak pendek), dan khutbah Baginda itu sederhana, Baginda membacakan beberapa ayat daripada al-Quran dan memberi peringatan kepada manusia.”

Riwayat Abu Dawud (1101)

Gelak Ketawa dan Sahutan Ketika Khutbah

Melihat kepada situasi yang dinyatakan oleh saudara yang bertanya, kami katakan bahawa ini bukanlah adab yang sepatutnya ditunjukkan oleh jemaah, terutamanya jika mereka adalah dewasa muslim yang sepatutnya menjadi contoh terbaik untuk anak-anak dan generasi muda yang lain. Tidak ada pandangan atau mazhab yang mengharuskan perbuatan tersebut kerana ia secara jelas bertentangan dengan tuntutan syara‘.

Ketika mendengar khutbah, jemaah sepatutnya tahu akan adab-adab yang mesti dijaga dan dipelihara agar pahala Jumaat tidak menjadi sia-sia. Antara adab-adab tersebut adalah:

  1. Tidak Bercakap-cakap

Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith, riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).”

Riwayat al-Bukhari (934)

  1. Tidak Bermain dengan Perkara yang Melalaikan

Kebanyakan masjid di Malaysia sudah mula memberikan pesanan ini kepada para jemaah, agar tidak bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan. Nasihat ini hakikatnya menyerupai dengan nasihat yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang memegang (bermain) batu maka sesungguhnya dia telah lagha.”

Riwayat Muslim (857)

Dan di dalam riwayat lain daripada Ali R.A, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِي جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَيْءٌ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang lagha maka dia tidak mendapat bahagiannya daripada Jumaatnya itu.”

Riwayat Abu Dawud (1051)

  1. Mendengar Pengisian yang Disampaikan

Antara pengisian khutbah yang disampaikan oleh khatib pasti terkandung selitan ayat al-Quran sebagai hujjah dan dalil untuk maklumat yang disampaikan khatib. Maka hendaklah jemaah diam dan dengar pengisian tersebut, sekurang-kurangnya sebagai suatu bentuk penghormatan terhadap ayat Allah SWT yang dibacakan dan agar memperoleh rahmat-Nya.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A‘raf: 204)

  1. Menghadap Khatib yang Menyampaikan Khutbah

Disunnatkan juga bagi jemaah untuk menghadap khatib yang sedang menyampaikan khutbahnya. Syeikh Zakariyya al-Ansari mengatakan, disunnatkan bagi orang yang mendengar khutbah dan selain mereka untuk menghadap wajah-wajah mereka ke arah khatib kerana ia merupakan adab, dalam masa yang sama mereka akan menghadap kiblat. (Lihat Asna al-Matalib, 1/258)

Beginilah serba-sedikit adab-adab jemaah ketika mendengar khutbah yang dapat kami kongsikan.

Terdapat juga pengecualian dalam beberapa keadaan tertentu pada zaman Rasulullah SAW, khutbah Baginda SAW dipotong dengan percakapan seorang Arab yang mengadu tentang ujian yang mereka hadapi pada tahun tersebut, lalu memohon Baginda SAW berdoa kepada Allah SWT agar diturunkan hujan buat mereka.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلاً، دَخَلَ الْمَسْجِدَ يَوْمَ جُمُعَةٍ مِنْ بَابٍ كَانَ نَحْوَ دَارِ الْقَضَاءِ، وَرَسُولُ اللَّهِ ﷺ قَائِمٌ يَخْطُبُ، فَاسْتَقْبَلَ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَائِمًا ثُمَّ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكَتِ الأَمْوَالُ وَانْقَطَعَتِ السُّبُلُ، فَادْعُ اللَّهَ يُغِيثُنَا فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَدَيْهِ ثُمَّ قَالَ: ‏اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا

Maksudnya: “Ada seorang lelaki memasuki masjid melalui pintu yang berdekatan dengan Dar al-Qadha’. Ketika itu Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Lelaki itu terus berdiri menghadap Rasulullah SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, harta benda telah musnah dan jalan-jalan telah terputus hubungan. Berdoalah kepada Allah agar menurunkan hujan kepada kita. Rasulullah SAW pun terus mengangkat kedua-dua belah tangannya, lantas berdoa: ‘Ya Allah turunkanlah hujan untuk kami. Ya Allah turunkanlah hujan untuk kami. Ya Allah turunkanlah hujan untuk kami’.”

Riwayat al-Bukhari (1014) dan Muslim (897)

Meskipun begitu, seeloknya kehormatan khutbah itu dijaga dengan baik sama ada dari pihak khatib yang menyampaikan atau makmum yang mendengar, dengan menjaga adab dan akhlaq semasa menyampaikan dan mendengar khutbah. Tidak wajar untuk dijadikan mimbar khutbah itu sebagai pentas untuk kita sengaja menonjolkan diri, membuat lawak jenaka, dan mengundang jemaah untuk saling sahut-menyahut ketika khutbah disampaikan.

Semoga penerangan ringkas ini memberi manfaat kepada kita semua, di samping dapat terus beramal dengannya pada masa-masa yang akan datang.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply