Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, saya hendak bertanya berkenaan topik jual beli. Contohnya, harga asal barang adalah RM600.00. Saya beli barang tersebut sewaktu sale di mana harganya adalah RM250.00. Bolehkah saya menjual barang tersebut pada harga RM400.00 atau lebih. Adakah ini sah/salah dari segi agama? Sekian, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-bai’ (jual beli) dari segi bahasa ialah pertukaran sesuatu dengan sesuatu, sama ada kedua-duanya dalam bentuk harta atau pun tidak. Al-Bai’ dan al-Syira’ dalam bahasa Arab boleh digunakan untuk makna jual dan juga beli. Maksudnya, kedua-dua istilah ini boleh digunakan untuk merujuk kepada makna yang sama.

Menurut istilah fuqaha’: Jual beli ialah akad yang merujuk kepada pertukaran sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan yang kekal.  Maksudnya, dalam akad tersebut mestilah wujud pertukaran harta untuk tujuan pemilikan.

Jual beli juga mesti membabitkan sesuatu yang syara’ menilainya sebagai harta. Jual beli ini juga perlu membabitkan pemilikan dan penyerahan hak dan tidak boleh ditetapkan untuk tempoh tertentu sahaja. Semua perkara ini akan dibincangkan secara terperinci dalam perbincangan seterusnya.

 Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Firman Allah SWT lagi :

 فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ

Maksudnya: “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).”

(Surah al-Baqarah: 279)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Ali bin Talhah berkata: Daripada Ibn Abbas, katanya ‘ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ’, maksudnya siapa yang sentiasa berada dengan riba, dan dia tidak meninggalkannya, maka menjadi hak kepada pemerintah orang Islam untuk memintanya untuk bertaubat. Jika dia bertaubat, maka alhamdulilah, sebaliknya jika dia enggan, maka hendaklah dipancung lehernya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/550)

Allah SWT menghalalkan jual beli selagimana dipersetujui dan diredhai oleh pembeli dan penjual. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

(Surah al-Nisa: 29)

Begitu juga dalam hal ini telah dinyatakan melaui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’d al-khudri bahwa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّما البيعُ عن تراضٍ

Maksudnya: Hanyasanya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.

Riwayat Ibn Hibban: (4967)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan tidak menjadi satu kesalahan mengambil keuntungan dari jualan tersebut kerana konsep jual beli adalah untuk mendapat keuntungan. Jual beli yang sah adalah jual beli yang menjalankan transaksi  yang jauh dari gharar iaitu ketidakpastian sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

أنَّ النَّبِي صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang jual-beli gharar (tidak jelas statusnya).”

Riwayat Muslim (1513), Abu Dawud  (3376), al-Tirmizi (1230), al-Nasa’i (4518), dan Ibn Majah (2194).

Oleh yang demikian, dengan mempertimbangkan prinsip-prinsip ini, kami menyatakan bahawa mengambil keuntungan daripada jualan adalah sah dan dibolehkan dalam Islam. Hal ini bersandarkan perbuatan sahabat sebagaimana hadith Saidina Urwah, bahawasanya beliau berkata:

قَالَ أَعْطَاهُ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- دِينَارًا يَشْتَرِى بِهِ أُضْحِيَةً أَوْ شَاةً فَاشْتَرَى شَاتَيْنِ فَبَاعَ إِحْدَاهُمَا بِدِينَارٍ فَأَتَاهُ بِشَاةٍ وَدِينَارٍ فَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ فِى بَيْعِهِ فَكَانَ لَوِ اشْتَرَى تُرَابًا لَرَبِحَ فِيهِ

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW telah memberinya satu dinar untuk membeli haiwan korban atau seekor kambing. Lalu dia membeli dua ekor kambing, dan menjual salah satunya dengan satu dinar, maka dia datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa seekor kambing dan satu dinar. Kemudian, Rasulullah SAW mendoakannya dengan keberkatan dalam setiap penjualannya, maka seandainya dia menjual debu-debu tanah (sesuatu yang tidak berharga), maka dia pasti akan mendapat keuntungan daripadanya.

Riwayat Abu Daud (3384) dan al-Tirmizi (1258)

Begitu juga  Al-Zubair bin al-`Awwam RA pernah membeli sebidang tanah di hutan dengan harga 170,000 dirham, kemudian anaknya Abdullah RA menjualnya selepas kematian al-Zubair dengan harga 1,600,000 dirham. Jumlah itu adalah 9 kali ganda.

Syariah Islam meraikan keperluan umat untuk berekonomi dalam muamalat. Membeli barang modal dengan harga yang lebih murah daripada harga jualan untuk mendapatkan untung bukanlah satu bentuk kezaliman bahkan itulah takrif bagi bagi tijarah atau jual beli. Hal ini  sebagaimana yang  telah dinyatakan oleh Imam al-Jurjani bahwa: Suatu ibarat berkenaan membeli sesuatu dengan tujuan menjualnya (semula) untuk mendapatkan keuntungan.(Lihat Lihat al-Ta`rifat,1/56)

Yang demikian juga bersesuaian dengan kaedah yang menyebut:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). (Lihat al-Asybah wa al-Nazhoir, hlm.60 )

Justeru kami katakan di sini,  diharuskan untuk menjual barang dan mendapatkan keuntungan daripada jualan tersebut, selagi proses jual beli dijalankan dengan telus dan tanpa adanya unsur gharar padanya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segla titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *