#1113: Kisah Nabi Palsu Al-Harith

Soalan:

Boleh nyatakan kepada kami kisah nabi palsu al-Harith?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Sebelum kami menjawab persoalan ini, suka kami nyatakan bahawa nabi-nabi palsu telah mula muncul pada akhir hayat Rasulullah SAW. Antaranya, Musailimah al-Kazzab, al-Aswad al-Ansi, Sijah dan lain-lain.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Dajjal yang lain adalah al-Harith al-Kazzab. Dia muncul pada zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan. Nasibnya juga berakhir dengan dibunuh. Lalu kemudian, pada zaman Khalifah Abbasiyah, para dajjal muncul dalam jumlah yang sangat banyak. [1]

Ibn Kathir menyebut dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (12/285) berkenaan peristiwa yang berlaku pada tahun 79 H:

Pada tahun tersebut Khalifah Abdul Malik bin Marwan dapat membunuh al-Harith bin Sa’id yang mengaku menjadi nabi palsu. Beliau juga dikenali dengan nama al-Harith bin Abdul Rahman bin Sa’id al-Dimasyq iaitu maula Abi al-Julas al-‘Abdari dikatakan juga maula al-Hakam bin Marwan.

Beliau berasal dari perkampungan al-Hulah. Kemudian, pergi ke Damsyik dan beribadat di sana. Terkenal dengan rajin beribadat dan zuhud. Kemudian, beliau terpedaya dengan kehebatannya sendiri. Akhirnya, terpaksa pulang dalam keadaan berundur ke belakang.

Beliau telah membohongi ayat-ayat Allah SWT. Beliau juga telah memisahkan diri dari hizbu Allah SWT. Kemudian, beliau mengikut syaitan. Maka jadilah ia sesat. Syaitan sentiasa menggodanya dengan berakhir beliau mengalami kerugian bagi agamanya dan dunianya.

Semoga Allah mencela dan mencelakakannya. Sesungguhnya, kita semua adalah milik Allah SWT dan kepada-Nya kita kembali. Dan cukuplah Allah SWT bagi kita. Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan daripada Allah SWT.

Daripada Abdul Rahman bin Hasan berkata, “Adalah al-Harith pendusta dari penduduk Damsyik. Beliau adalah maula kepada Abi al-Julas. Ayahnya berasal dari perkampungan Hulah. Akhirnya, dia diperdaya oleh iblis walau pun pada asalnya seorang yang kuat beribadat, zuhud. Sekali pun jika dia memakai pakaian jubah daripada emas nescaya kamu melihat padanya terdapat zuhud dan kuat beribadat.”

Beliau jika mula bertahmid, nescaya tidaklah orang yang mendengarnya, tiada seperti tahmidnya. Tiadalah bahasa lebih baik daripada bahasanya. Beliau pernah menulis kepada ayahnya yang berada di Hulah. “Hai, ayahku, cepatlah datang kepadaku, kerana sesungguhnya aku melihat banyak perkara dan aku bimbang syaitan telah mempengaruhiku.” Katanya, maka bertambahlah ayahnya dalam kesesatan dan ayahnya menulis surat kembali. “Hai anakku, terimalah apa yang kamu diperintahkan kerana Allah SWT berfirman:

هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ الشَّيَاطِينُ ‎﴿٢٢١﴾‏ تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ ‎

Maksudnya: “Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa.”

(Surah al-Syu’ara’: 221)

Dan kamu bukanlah kaki pendusta dan maksiat. Justeru, terimalah apa yang diperintahkan kepadamu dengannya.” Maka datanglah ia kepada ahli masjid seorang, seorang dengan memberi nasihat kepada mereka dan mengkhabarkan apa yang berlaku kepadanya. Ia mengambil perjanjian dan kata seiya untuknya. Sebenarnya tidaklah ia lihat apa yang dia redha sebelum dan kalau tidak nescaya dia dustakannya.

Katanya, ia telah diperlihatkan pelbagai bentuk keajaiban, boleh jadi ia datang ke batu marmar dalam masjid lalu mengukir dengan tangannya. Maka dengarlah ternyata tasbih yang kuat sehingga orang ramai yang hadir gegak gempita. Aku berkata, aku pernah mendengar dari guru kami al-‘Allamah Abu al-‘Abbas ibn Taimiyyah Rahimahullah berkata, “Boleh jadi dia mencakar pada dinding merah yang berukir lantas terdengar darinya tasbih dan beliau adalah kafir zindiq.”

Ibnu Abi Khaithamah dalam riwayat berkata, “Pernah al-Harith memberi mereka makan buah-buahan musim sejuk pada musim panas. Dan sebaliknya, buah-buahan musim panas pada musim sejuk. Dan beliau berkata kepada mereka, “Keluarlah kamu semua untuk aku tunjukkan kepada kamu malaikat.”

Lalu, dia keluar bersama orang ramai ke arah biara al-Muran kemudian diperlihatkan kepada mereka, lelaki-lelaki berkuda. Justeru, ramailah orang terpengaruh dan mengikutnya. Kisahnya tersebar sampai ke dalam masjid, dan makin ramai pengikut dan rakan-rakannya sehinggalah hal ini sampai kepada Gabenor al-Qasim bin Mukhaimirah.

Katanya, lantas ditunjukkan kehebatannya kepada al-Qasim. Kemudian, al-Qasim telah diminta mengambil perjanjian dengannya dan mengikutnya. Jika sekiranya dia redha, perkara tersebut nescaya diterima dan jika dia benci, dia akan diam. Kemudian beliau berkata kepadanya, “Sesungguhnya, aku nabi.” Lantas jawab al-Qasim, “Kamu pembohong wahai musuh Allah, kamu bukan nabi.”

Dalam satu riwayat, kata al-Qasim, “Akan tetapi kamu salah seorang pendusta lagi dajjal yang Rasulullah SAW telah menyebutnya. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلاَثِينَ، كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللهِ.

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah dibangkitkan ‘dajjal-dajjal’ (para pendusta) yang jumlahnya menghampiri tiga puluh. Kesemuanya mengaku bahawa mereka adalah utusan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3609) dan Muslim (157)

Dan kamu salah seorang dari mereka. Dan tiada perjanjian untuk kamu. Lantas, al-Qasim bangkit keluar kepada Abi Idris. Ketika itu, beliau menjawat jawatan Qadhi di Damsyik. Dikisahkannya dengan apa yang dia dengar daripada al-Harith. Jawab Qadhi, “Kami telah mengetahuinya.” Kemudian, dia melaporkan iaitu Abu Idris (Qadhi Damsyik) kepada Khalifah Abdul Malik tentang perkara itu.

Dalam riwayat yang lain, bahawa Makhul dan Abdullah bin Abi Zakaria masuk menemui al-Harith. Maka, al-Harith mengajak keduanya untuk mengaku kenabiannya. Tetapi, keduanya mendustakannya dan membangkang dakwaannya. Bahkan, kedua-duanya melaporkan kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan berkenaan dengan al-Harith ini. Abdul Malik telah mengarahkan untuk menangkapnya.

Ketika itulah al-Harith bersembunyi dan dia lari ke sebuah rumah di Baitul Maqdis. Dia menyeru kepada dirinya secara sembunyi. Tetapi Khalifah Abdul Malik amat cakna akan halnya sehingga beliau sendiri menaiki kenderaan menuju Assannabrah. Di sana beliau menemui seorang lelaki Islam dari Basrah yang selalu menemui al-Harith yang berada di sebuah rumah di Baitul Maqdis. Lelaki itu memaklumkan kepadanya dan di mana dia berada.

Beliau juga memohon daripada Abdul Malik agar mengirim bersamanya sekumpulan tentera Turki untuk menjaganya dari tindakan al-Harith. Khalifah Abdul Malik mengirim bersamanya dan menulis surat kepada gabenor Quds. “Hendaklah kamu mentaati lelaki ini dan lakukanlah apa yang diperintahkan dengannya.” Bila mana lelaki ini telah sampai ke Baitul Maqdis dan menunjukkan surat kepada gabenor, maka segera dilaksanakan perintahnya.

Lelaki ini telah memerintah untuk menghimpunkan obor di mana setiap orang mempunyai obor. Apabila dia perintahkan untuk menyalakannya pada waktu malam. Lantas, mereka menyalakan di segenap penjuru jalan dan lorong sehingga tiada tempat yang tersembunyi. Lelaki tersebut pergi ke rumah yang terdapat padanya al-Harith. Lantas, dia berkata kepada pengawalnya, “Izinkan bagiku untuk menemui nabi Allah.” Jawab pengawalnya, “Pada waktu begini tidak seorang pun yang diizinkan sehingga waktu pagi.”

Dia berkata, “Nyalakan semua obor.” Dan mereka semua menyalakan sehingga seolah-olah malam bertukar menjadi siang. Ketika itulah, orang Basrah tersebut telah menerkam kepada al-Harith sedangkan dia bersembunyi di dalam lubang. Maka sahabat-sahabatnya berkata, “Jauhkan, apakah kamu mahu untuk sampai kepada nabi Allah? Sesungguhnya dia telah diangkat ke langit.” Kemudian, orang Basrah tersebut memasukkan tangannya ke dalam lubang. Maka dia dapat menarik bajunya, dan dikeluarkannya.

Kemudian berkata kepada pembantu-pembantunya daripada tentera Turki khalifah. Tangkaplah dia. Katanya, mereka mengambilnya, mengikat dan merantainya. Dikatakan, rantai-rantai dan tali yang mengikat jatuh dari lehernya berkali-kali. Dan mereka terus melakukannya berulang kali. Dan lelaki Basrah ini membaca firman Allah SWT:

قُلْ إِن ضَلَلْتُ فَإِنَّمَا أَضِلُّ عَلَىٰ نَفْسِي ۖ وَإِنِ اهْتَدَيْتُ فَبِمَا يُوحِي إِلَيَّ رَبِّي ۚ إِنَّهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ ‎

Maksudnya: Katakanlah lagi: “Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri, dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku; sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Dekat”.

(Surah Saba’: 50)

Kemudian, al-Harith berkata kepada tentera-tentera Turki:

أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَن يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ

Maksudnya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah?”

(Surah Ghafir: 28)

Mereka semua menjawab kepadanya dengan lidah dan bahasa mereka, “Ini semua Quran kami, maka datanglah Quran kamu.”

Apabila mereka membawanya kepada Khalifah Abdul Malik, lantas Khalifah memerintahkan untuk disalibnya pada sebatang kayu. Kemudian, seorang lelaki datang menikamnya dengan pisau, namun al-Harith tidak cedera dan hanya terkena pada salah satu rusuk secara sipi sahaja.

Khalifah Abdul Malik berkata kepadanya, “Celaka kamu, adakah kamu lupa menyebut nama Allah ketika mana kamu menikamnya?” Jawab lelaki tersebut, “Aku lupa.” Kata Khalifah, “Bacalah nama Allah kemudian tikamnya.” Katanya, lelaki itu membaca nama Allah kemudian menikamnya dan akhirnya berjaya.

Adalah Khalifah Abdul Malik mengarahkan untuk menahannya sebelum disalibnya dan memerintahkan ulama dan ahli fiqh untuk memberi pengajaran dan menyedarkannya bahawa ini adalah amalan syaitan. Tetapi al-Harith enggan menerima dari mereka kemudian disalibnya. Inilah dari kesempurnaan keadilan dan agama. Benarlah sabda Nabi SAW:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَخْرُجَ ثَلَاثُونَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، فَمَنْ قَالَهُ فَاقْتُلُوهُ، وَمَنْ قَتَلَ مِنْهُمْ أَحَدًا فَلَهُ الْجَنَّةُ .

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah keluar tiga puluh ‘dajjal-dajjal’ para pendusta. Kesemuanya mengaku bahawa mereka adalah nabi. Maka, siapa yang berkata kepadanya, hendaklah kamu bunuhnya dan siapa yang di kalangan kamu dapat membunuh salah seorang daripada mereka maka baginya syurga.”

Semoga Allah SWT selamatkan kita daripada terpengaruh dan terperdaya dengan mereka yang mendakwa sebagai nabi sedangkan mereka mendustakan ke atas Allah SWT dan nabi-Nya SAW.

 

 

[1] (Lihat Fath al-Bari, 10/410)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *