Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah haram hukumnya bagi suami membuka telefon isteri. Dan benarkah suami nak check handphone isteri kena minta izin dan di bawah pengawasan isteri? Hal ini kerana, memandangkan pada hari ini, ada komunikasi, informasi dan data kerja yang diamanahkan oleh majikan, yang bersifat kerahsiaan, jika isteri itu bekerja. Dan ada juga komunikasi dengan keluarga yang mungkin privacy keluarga seperti ada setengah group whatsapp ada gambar ahli keluarga tak tutup aurat.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Tajassus dari sudut istilah bermaksud: “Mencari cari keaiban dan mendedahkan apa yang telah disembunyikan oleh manusia.” (Lihat Tafsir al-Munir, 26/247)

Hukum asal bagi perbuatan ini diharamkan berdasarkan firman Allah:

وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا

Maksudnya: Dan janganlah kalian melakukan tajassus serta janganlah kalian saling mengumpat antara satu sama lain.

(Surah Al-Hujurat : 12)

Al-Maraghi berkata: Tajassus adalah mencari-cari keaiban yang tersembunyi. Beliau turut menambah: Sebaliknya kamu hendaklah berpuas hati dengan apa yang nyata bagimu mengenai dirinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6506)

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa suami tidak mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit anda atau membaca mesej isteri tanpa kebenaran; kerana itu adalah tindakan tajassus yang dilarang. Oleh itu, mengintip sama ada di antara pasangan suami isteri atau orang lain adalah haram, kecuali dalam beberapa keadaan di mana terdapat keraguan yang jelas, dan boleh dilakukan untuk menghalang kemungkaran atau menghindari kemudaratan.

Imam al-Ramli berkata: “Tidak boleh bagi seseorang untuk mencari-cari kesalahan dan melakukan tajassus serta memecah masuk ke dalam rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Ya, jika berat sangkaannya bahawa berlaku maksiat sekalipun dengan qarinah (petunjuk) yang jelas seperti perkhabaran dari seorang lelaki yang terpercaya maka dibolehkan untuknya melakukan tajassus. Bahkan wajib ke atasnya untuk melakukan tajassus sekiranya dia khuatir perkara tersebut terlepas dari pemerhatiannya seperti berlakunya pembunuhan dan perbuatan zina.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj (4/47-49)

Demikian juga al-Imam al-Qadhi Iyadh menyatakan keharusan untuk melakukan tajassus dalam keadaan apabila kita meningggalkan perbuatan tersebut akan berlakulah pencerobohan ke atas kehormatan seseorang yang kita akan terlepas pandang akannya. Sebagai contoh, apabila seseorang diberi khabar dari seorang lelaki yang terpercaya bahawa terdapat seorang lelaki yang berkhalwat dengan lelaki lain dengan tujuan untuk membunuhnya atau dengan seorang perempuan yang dia ingin berzina dengannya maka diharuskan baginya dalam keadaan ini untuk melakukan tajassus. (Lihat al-Ahkam al-Sultaniah, hlm. 366)

Dalam konteks ini, asasnya adalah bahawa dalam keadaan biasa, suami tidak seharusnya meminta kata laluan telefon isterinya dan memeriksa telefon isterinya. Tindakan ini membawa syak wasangka dan tuduhan, dan mungkin akan merosakkan hubungan antara suami isteri dengan cara yang sukar diperbaiki. Namun, jika suami mendapati bukti atau petunjuk yang menunjukkan bahawa pasangannya melakukan pelanggaran syariah tertentu, tidak ada masalah dalam meminta kata laluan khususnya untuk memeriksa telefonnya. Dalam hal ini, suami boleh mengambil langkah-langkah yang sesuai – tanpa pengetahuan isterinya – untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan cara yang akan mengungkapkan kebenaran.

Namun begitu, kami ingin menegaskan bahawa hubungan antara suami isteri sepatutnya berdasarkan kepercayaan dan pemahaman, kasih sayang, dan saling menghormati, dan bukannya atas dasar syak wasangka. Bahkan perkahwinan ini dibina dengan sakinah dan mawaddah sebagaimana firman-Nya:

 وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.

Kami katakan perkahwinan yang diasaskan kerana Allah SWT akan memberi sakinah, mawaddah, cinta dan rahmat. Di samping itu, ia dapat memelihara seseorang dari keruntuhan moral dan akhlak. Saat yang sama dapat memelihara generasi manusia yang sejahtera di samping menyumbangkan institusi kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama. (Lihat Baiti Jannati, hlm. 10-14)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply