Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan tentang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Qa’qa’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama penuh beliau ialah Qa’qa ibnu Amr al-Tamimi, seorang penyair Arab terkemuka. Dikatakan beliau seorang sahabat Nabi SAW. Justeru, terdapat banyal rujukan yang memasukkannya dalam kalangan sahabat antaranya kitab Mu’jam al-Sahabah oleh Ibn Qani’ 2/367, al-Istia’b oleh Ibn Abu Barr 3/1283, Ibn al-Athir dalam Usdu al-Ghabah 4/109 dan Ibnu Hajar dalam al-Isobah 5/342.

Beliau termasuk pemimpin pasukan berkuda dan pahlawan Arab di masa Jahiliyah dan masa Islam. Beliau adalah saudara Ashim bin Amr al-Tamimi, seorang penyair dan penunggang kuda yang handal.

Qa’qa’ pernah mengatakan, “Rasulullah pernah bertanya kepada saya,“ Apa yang telah kamu siapkan untuk berjihad?”

Aku menjawab: “Taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta seekor kuda,” jawab saya. “Itu merupakan persiapan yang paling maksimum,” kata beliau.

Abu Bakar pernah mengatakan, “Suara kuat Qa’qa’ di hadapan para askar lebih baik dari 1000 askar.”

Khalid bin al-Walid pernah meminta bala bantuan kepada Abu Bakar saat mengepung kota Al-Hirah. Kemudian Abu Bakar mengutus Qa’qa’ bin Amr sambil berkata, “Tidak ada satu pasukan musuh pun yang akan mengalahkan orang seperti dia.”

Dia bergabung bersama pasukan Ali bin Abi Talib dalam perang Siffin dan perang Al-Jamal. Beliau menetap di Kufah dan ikut dalam perang Al-Yarmuk dan perang Al-Qadisiyah. Ia pernah berhasil membebaskan Damsyik, Mesir, dan sebahagian besar wilayah Parsi.

Dalam perang Al-Yarmuk, Khalid bin Walid menyuruh Qa’qa’ dan Ikrimah untuk mengobarkan api perang untuk memulakan pertempuran. Beliau adalah salah satu di antara empat orang yang diutus Umar bin Khattab untuk membantu pasukan yang dipimpin Amr ibnu Ash di Mesir.

Pada ketika itu, Amr bin Ash meminta bala bantuan untuk membebaskan wilayah Mesir. Dalam surat yang ditulis oleh Khalifah Umar kepada Amr bin Ash tertulis, “Aku utus kepadamu beberapa orang askar.” Di tangan mereka, wilayah Mesir akhirnya berhasil dibebaskan.

Dalam perang Al-Qadisiyah, iring-iringan gajah Parsi mengganggu pasukan berkuda kaum Muslimin. Kuda yang ditunggangi lari kerana takut dengan gajah.

Qa’qa’ menyusun taktik untuk menghadapinya. Ia mendatangkan beberapa ekor unta dan menghiasinya dengan kain bulu biri-biri tebal dan kulit, lalu dipasang berguk, sehingga satu ekor unta dapat menutupi satu askar dan seekor kuda.

Unta yang dihiasi itu mirip dengan gajah. askar yang menunggangi unta itu meloncat ke pasukan berkuda musuh, lalu membunuhnya. Kuda yang ditunggangi musuh takut terhadap unta yang dihiasi tersebut. Pasukan muslim yang lain juga mengikuti taktik yang digunakan Qa’qa’ dan akhirnya taktik inilah yang juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan pasukan kaum muslimin meraih kemenangan dalam pertempuran ini.

Dalam perang Al-Qadisiyah, Qa’qa’ berhasil membunuh Rustam, panglima perang tentara Parsi. Umar bin Khattab pernah menulis sepucuk surat kepada Sa’ad bin Abi Waqas. Dalam surat itu, Umar bertanya, “Siapa pasukan berkuda yang paling hebat dalam perang Al-Qadisiyah?”

Sa’ad membalas surat tersebut dan berkata, “Aku tidak melihat askar yang sehebat Qa’qa’ bin Amr. Dalam satu hari, ia menyerang musuh sebanyak tiga puluh kali. Dalam setiap serangan, ia berhasil membunuh satu askar musuh.” (Lihat al-Isobah, 5/343)

Ia juga berhasil merampas pedang milik Hercules, Maharaja Rom; perisai milik Bahram, Raja Parsi dan pedang milik Na’mam.

Dalam pelbagai pertempuran, ia seringkali memakai pedang milik Hercules dan perisai milik Kisra sebagai perhiasan.

Dalam pembebasan Al-Madain, Sa’ad bin Abi Waqqash berdoa memohon keselamatan dan pertolongan dari Allah. Sa’ad adalah salah satu sahabat Nabi SAW yang doanya dikabulkan Allah. Dalam perang ini, tidak ada pasukan muslim pun gugur. Hanya ada satu pasukan yang terjatuh dari kuda tunggangannya, iaitu Qa’qa’ bin Amr.

Dalam pertempuran Jahula, Sa’ad bin Abi Waqqash menugaskan Qa’qa’ di garis depan pasukan atas arahan daripada Khalifah Umar bin Al-Khattab. Dalam pertempuran di Nahrawan, pasukan Parsi berhasil mengepung pasukan garis belakang kaum muslimin.

Saat itu, Nu’mam bin Muqarrin menyuruh Qa’qa’ untuk menerapkan strategi bersama ini diterapkan Qa’qa’ dengan cermat. Ia memanah pasukan Parsi, lalu mundur ke belakang. Pasukan Parsi mengejarnya, lalu ia mundur. Pasukan Parsi terus mengejarnya.

Ia menampakkan bahawa dirinya lari kerana kejaran mereka sampai akhirnya seluruh pasukan Parsi turut mengejarnya. Setelah itu, baru pasukan kaum muslimin menyerang mereka.

Pada akhir perang Nahrawan, Qa’qa’ melihat Fairuzan, panglima Pasukan Parsi, lari ke puncak bukit. Qa’qa’ mengekorinya dari belakang. Kerana jalan di bukit sukar dilalui, Fairuzan turun dari haiwan tunggangannya. Qa’qa’ pun turun dari tunggangannya dan mengejar Fairuzan hingga akhirnya ia berhasil membunuhnya.

Ali bin Abi Talib pernah mengutusnya untuk menemui Thalhah dan Zubair dalam perang Al-Jamal. Mereka akhirnya berdamai setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Qa’qa’.

Berakhirnya masa kekhalifahan Hasan bin Ali, dan beralihnya kekhalifan ke tangan Mu’awiyah bin Abu Sufyan, Al-Qa’qa’ bin Amr memutuskan untuk mengundurkan diri dan pindah ke wilayah Mesir, hingga ia wafat pada tahun 40 H. Ada pendapat menyatakan beliau meninggal dunia pada tahun 41 H. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply