Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bercadang untuk memberi nama “Ameena Huda” kepada anak perempuan saya. Adakah nama ini mempunyai maksud yang baik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik.

Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Berdasarkan carian kami, nama Ameena bermaksud kesetiaan dan yang dipercayai. Ia adalah variasi kepada nama ibu Rasulullah SAW iaitu Aminah. Manakala, Amin bermaksud selamat, sejahtera dan amanah. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, amin bermaksud orang yang dapat dipercayai dengan sesuatu amanah.

Bagi Huda pula, ia bermaksud petunjuk. Manakala dari segi istilah, para ulama memberikan pengertian yang berbagai-bagai apabila merujuk kepada al-huda. Al-Azhari berkata al-huda ialah “mengeluarkan sesuatu kepada sesuatu”. Al-Raghib al-Asfahani mendefinisikannya sebagai “memberi petunjuk secara halus”. Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula mentakrifkannya dengan “mengetahui kebenaran dan beramal dengannya.”

Perkataan al-Huda sering disebut di dalam Al-Quran apabila merujuk kepada hidayah. Ia banyak kali digunakan kerana Al-Quran itu sendiri merupakan kitab hidayah. Ia dibawa dalam pelbagai bentuk kalimah fi’il (perbuatan) atau ism (kata nama). Seawal surah yang pertama, Al-Fatihah ayat 6, telah disebutkan tentang hidayah dalam bentuk uslub al-du’a yang bermaksud:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Maksudnya: “Tunjukilah kami jalan yang lurus.”

Justeru, bagi pendapat kami tiada masalah untuk pihak puan untuk menamakan anak dengan nama Ameena Huda kerana ia mempunyai makna yang baik.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply