Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya harap Tuan dapat berikan penjelasan tentang kemaksuman para Nabi dan Rasul. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Maksum

Maksum merupakan salah satu kata pinjaman bahasa Arab yang dialih bahasa ke bahasa Melayu. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ia bererti terpelihara atau bebas daripada dosa, tidak tercela, dan tidak berdosa.

Di dalam bahasa Arab, maksum disebutkan sebagai al-‘ismah (العِصْمَةُ) yang berasal dari perkataan (عَصَمَ – يَعْصِمُ), bermaksud menghalang dan memelihara. Ibn Manzur menyebutkan, al-‘ismah menurut pertuturan orang Arab bermaksud menghalang, apabila dikatakan: “‘Ismah Allah terhadap hamba-Nya”, ia bermaksud Allah menghalang hamba-Nya daripada sesuatu yang membinasakannya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 12/403)

Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:

 قَالَ سَآوِي إِلَىٰ جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ ۚ

Maksudnya: “Anaknya menjawab: ‘Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air’.”

(Surah Hud: 43)

Al-‘ismah juga bermaksud memelihara. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dalam bab yang bertajuk: Orang yang Maksum Adalah Mereka yang Dipelihara oleh Allah, yakni dipelihara dari terjerumus ke dalam kecelakaan atau apa-apa yang membawa kepada kecelakaan itu. (Lihat Fath al-Bari, 18/454)

Kemaksuman Para Nabi

Sebelum menjawab persoalan di atas, suka untuk kami ketengahkan bahawa para Nabi dan Rasul itu merupakan utusan Allah SWT kepada kaum mereka sebagai perantara untuk menyebarluaskan kebenaran dan ajaran yang benar. Syari‘at yang dibawakan para Nabi dan Rasul itu merupakan sebuah amanah yang amat besar untuk disampaikan ke segenap penjuru muka bumi sebagai sebuah risalah yang agung, yang mampu menyelamatkan mereka di akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ۚ فَإِن يَكْفُرْ بِهَا هَٰؤُلَاءِ فَقَدْ وَكَّلْنَا بِهَا قَوْمًا لَّيْسُوا بِهَا بِكَافِرِينَ

Maksudnya: “Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan Hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya.”

(Surah al-An‘am: 89)

Ini juga seperti dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ۖ وَإِن لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ ۚ

Maksudnya: “Wahai Rasul (Muhammad)! Sebarkanlah (al-Quran) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika kamu tidak melakukannya, maka kamu tidak menyampaikan risalah-Nya.”

(Surah al-Ma’idah: 67)

Begitu juga yang disebutkan dengan jelas dalam firman-Nya yang lain:

 إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا ۚ وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.”

(Surah Fathir: 24)

Oleh kerana para Nabi dan Rasul diutuskan oleh Allah SWT sebagai pemegang amanah yang besar, sedangkan mereka juga manusia sepertimana kaum mereka juga manusia, pasti terkadang berlakunya kekhilafan yang mungkin tidak disengajakan. Istimewanya mereka ini dengan ketinggian martabat, Allah SWT mengurniakan kepada setiap daripada mereka al-‘ismah dalam 2 perkara:

Pertama: Al-‘ismah dari perkara yang terkait dengan urusan menyampaikan wahyu kepada manusia.

Antara contoh kesilapan yang terkait dengan urusan menyampaikan wahyu adalah, berlakunya tokok tambah atau pengurangan dalam risalah yang dibawa oleh mereka. Para Nabi dan Rasul terpelihara daripada melakukan kesilapan seperti ini. Bahkan Allah SWT memberikan jaminan ini sebagaimana firman-Nya:

وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْأَقَاوِيلِ ‎﴿٤٤﴾‏ لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ ‎﴿٤٥﴾‏ ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ ‎﴿٤٦﴾‏

Maksudnya “Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan, sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta).”

(Surah al-Haqqah: 44-46)

Bukti yang menguatkan lagi bahawa para Nabi dan Rasul itu terselamat dari kesilapan begini, kerana mereka tidak menyampaikan sesuatu itu melainkan berlandaskan wahyu daripada Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ ‎﴿٣﴾‏ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ ‎﴿٤﴾‏

Maksudnya: “Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadith) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

(Surah al-Najm: 3-4)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, ayat-ayat yang menunjuk kepada kenabian para Nabi membuktikan bahawa mereka adalah maksum (tidak menokok tambah) pada risalah yang mereka sampaikan daripada Allah, maka apa yang mereka sampaikan daripada Tuhan mereka tidak lain, adalah benar. Inilah makna kenabian, dan termasuk juga Allah memberitahu Nabi perkara yang ghaib dan mereka memberitahu kepada manusia perkara yang ghaib itu. Dan Rasul pula diperintahkan untuk menyeru manusia dan menyampaikan risalah tuhannya kepada mereka. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 18/7)

Kedua: Al-‘ismah dari kesilapan yang dilakukan manusia biasa.

Antaranya adalah al-‘ismah dari melakukan dosa-dosa besar. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata, majoriti ulama’ berpandangan bahawa nabi dan Rasul maksum daripada melakukan dosa-dosa besar, akan tetapi tidak maksum daripada melakukan dosa-dosa kecil. Beginilah pandangan kebanyakan para ulama tafsir dan hadith serta fuqaha’. Bahkan, tidak pandangan para salaf, imam, sahabat, tabi‘in dan orang-orang yang mengikuti mereka kecuali yang bertepatan dengan pendapat ini. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 4/319)

Perkara ini jelas di dalam al-Quran, dengan datangnya beberapa teguran Allah SWT kepada Nabi dan Rasul yang mungkin terlanjur melakukan kesilapan agar mereka dapat memperbetulkan kesilapan tersebut dan kelak menjadi contoh kepada umat Islam. Akan tetapi, kesilapan itu tidaklah terkait dengan penyampaian dakwah dan wahyu.

Ini sebagaimana dalam firman-Nya:

 وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَىٰ ‎﴿١٢١﴾‏ ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَىٰ ‎﴿١٢٢﴾

Maksudnya: “ dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.”

(Surah Taha: 121-122)

Dalam firman Allah SWT yang lain:

وَظَنَّ دَاوُودُ أَنَّمَا فَتَنَّاهُ فَاسْتَغْفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ رَاكِعًا وَأَنَابَ ۩ ‎﴿٢٤﴾‏ فَغَفَرْنَا لَهُ ذَٰلِكَ ۖ وَإِنَّ لَهُ عِندَنَا لَزُلْفَىٰ وَحُسْنَ مَآبٍ ‎﴿٢٥﴾

Maksudnya: “Dan Nabi Dawud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat). Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).”

(Surah Sad: 24-25)

Dan juga sebagaimana teguran Allah SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ ۖ تَبْتَغِي مَرْضَاتَ أَزْوَاجِكَ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Tahrim: 1)

Akan tetapi, kesemua kesilapan ini tidak sedikit pun menggugat kedudukan mereka sebagai Nabi dan Rasul yang membawa risalah ketuhanan. Al-Lajnah al-Daimah pernah ditanya, adakah Nabi dan Rasul melakukan kesilapan? Mereka menjawab: “Ya, mereka melakukan kesilapan tetapi Allah tidak membiarkan mereka berterusan dalam kesilapan mereka, tetapi Dia menunjukkan kesilapan mereka kepada mereka sebagai rahmat kepada mereka dan umat mereka, dan Dia mengampuni kesalahan mereka, dan menerima taubat mereka dengan fadhilat dan rahmat-Nya. Ini kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, sebagaimana yang jelas bagi sesiapa yang mempelajari ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang itu.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 3/194)

Istimewanya Rasulullah SAW, Allah SWT menjadikan al-‘ismah buat Baginda berbeza daripada Nabi dan Rasul sebelumnya. Ismah Baginda SAW adalah diselamatkan dari kejahatan orang yang ingin membunuhnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ ۗ

Maksudnya: “Dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia.”

(Surah al-Ma’idah: 67)

Imam Ibn ‘Atiyyah menukilkan kalam Muhammad bin Ka‘b al-Qurazi, ayat ini diturunkan kerana seorang A‘rabi yang mencabut pedang Rasulullah SAW untuk membunuh Baginda dengan pedang tersebut. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 2/218)

Beginilah serba sedikit kemaksuman para Nabi dan Rasul yang mulia. Semoga penerangan ringkas ini dapat menambahkan lagi kecintaan kita kepada para Nabi dan Rasul, dapat meneladani contoh-contoh baik serta akhlaq mulia yang diajarkan kepada kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah manfaat terhadap apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, ajarkan kepada kami sesuatu yang bermanfaat bagi kami, dan tambahkanlah kepada kami ilmu.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply