#3371: Menyesali Perbuatan Menepis al-Quran Ketika Kanak-Kanak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. dulu semasa kecil saya pernah menepis al-Quran dari meja hingga jatuh ke lantai. Saya akui perbuatan itu kerana terlalu mengikut perasaan marah kepada ayah disebabkan beliau terlalu tegas dalam tasmi’ hafazan saya. Apa yang perlu saya lakukan ustaz kerana saya sangat bimbang dan menyesal dengan perbuatan saya pada waktu itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan)

(Surah al-Waqiah:77)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya  mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#3220: Mengucup al-Quran Yang Terjatuh Di Lantai[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sebaik-baik penyesalan adalah orang yang mengakui kesalahannya dan tidak mengulanginya. Perbuatan saudara ketika kecil itu hakikatnya agak keterlaluan, namun ketika usia kanak-kanak sudah tentu ketika itu kita tidak matang dan lebih memahami adab dengan al-Quran. Oleh itu, hormatilah al-Quran dan banyakkan membacanya, moga dengan amalan baik tersebut, Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu.

Yakin dan percayalah setiap di kalangan kita mempunyai kelemahan masing-masing yang kadang-kadang membawa kepada dosa atau kesilapan. Benarlah sabda Rasulullah SAW: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.”

Riwayat Ibn Majah (4251) dan al-Tirmizi (2499)

Justeru, kami katakan hendaklah sentiasa beristighfar, bertaubat dan melakukan kebaikan-kebaikan yang banyak sebagai tanda untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bahkan, sebaiknya juga mempelajari dan mengkaji al-Quran di samping membeli al-Quran untuk diwakafkan di masjid, madrasah atau tempat-tempat yang mungkin umat Islam boleh memanfaatkan dengan bacaannya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/3220-mengucup-al-quran-yang-terjatuh-di-lantai/

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *