Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum lelaki memakai telefon bimbit yang bersadur emas 24 karat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, emas adalah sejenis perhiasan yang dibenarkan untuk digunakan oleh wanita, tetapi diharamkan untuk lelaki. Hal ini berdasarkan kepada banyak riwayat hadith yang menyatakan keharusan bagi wanita dan pengharaman bagi lelaki seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: “Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dalam kalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki. “

Riwayat al-Nasai’e(9387)

Begitu juga boleh dilihat melalui hadith tentang pengharaman pemakaian cincin bagi lelaki sepertimana  yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.

Riwayat Muslim (2089)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa kaum Muslimin telah berijma’ (bersepakat) akan keharusan perempuan untuk memaikai cincin emas dan telah berijma` juga akan pengharaman buat lelaki bagi memakai cincin emas. ( Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/65)

Dalam sebuah riwayat yang lain, Rasulullah SAW pernah melihat seseorang memakai cincin yang diperbuat daripada emas lalu Baginda SAW mencabut cincin tersebut dari tangan lelaki tersebut lalu mencampakkannya, kemudian Baginda SAW bersabda:

يَعْمِدُ أَحَدُكُمْ إِلَى جَمْرَةٍ مِنْ نَارٍ فَيَجْعَلُهَا فِي يَدِهِ

Maksudnya: “Seseorang dari kalian sengaja meletakkan bara dari api neraka ditangannya.

Riwayat Muslim (2029)

Menjawab persoalan di atas, kami ingin nyatakan  bahawa menggunakan telefon bimbit yang bersalut emas adalah tidak dibenarkan, baik bagi lelaki mahupun wanita. Hal ini berdasarkan pada hadith-hadith yang melarang penggunaan barang-barang yang bersalut emas, kerana tindakan ini menyerupai perilaku orang kafir yang sombong dan boleh menyebabkan hati orang miskin yang tidak mampu memiliki barang tersebut terasa terhina.

Diriwayatkan oleh Ummu Salamah

مَنْ شَرِبَ فِى إِنَاءٍ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ فِضَّةٍ فَإِنَّمَا يُجَرْجِرُ فِى بَطْنِهِ نَارًا مِنْ جَهَنَّمَ

Maksudnya :”Sesiapa yang minum (dan makan atau apa sahaja) daripada bekas (yang diperbuat daripada) emas atau perak. Maka perutnya akan menggelegak disebabkan api neraka.”

Riwayat Muslim (5509)

Imam al-Nawawi dalam isu ini beliau menyatakan bahawa: Pendapat dari ulama-ulama mazhab kami adalah bahawa penggunaan perhiasan emas dan perak adalah haram bagi lelaki dan wanita. Ini adalah pendapat yang umum dan tidak ada perbezaan dalam hal ini kerana hadith yang melarangnya bersifat umum dan mencakupi makna yang diharamkan penggunaan perhiasan ini.

Namun, perbezaan antara lelaki dan perempuan adalah dalam bab penghiasan, di mana perempuan diizinkan menggunakan perhiasan emas dan perak dengan tujuan untuk mempercantik diri untuk suami dan berhias untuk mereka. (Lihat al-Majmu’,1/306)

Ibn Qayyaim menyatakan bahawa: Pengharaman ini tidak terbatas pada makanan dan minuman saja, tetapi juga meliputi semua bentuk manfaat lainnya. Oleh itu, tidak dibenarkan untuk mandi menggunakan bekas bersalut emas ini, atau berwuduk dengan menggunakannya,tidak menggunakannya sebagai bekas minyak atau bercelak darinya. Ini adalah perkara yang tidak dipertikaikan oleh ulama yang berpengetahuan. (Lihat i’lam al-Muwaqqin,1/207)

Begitu juga Syeikh Ibn Baz dalam fatwanya menyatakan bahawa: Pensel dari emas dan perak tidak dibenarkan digunakan oleh lelaki dan perempuan, kerana ia bukan merupakan sebahagian daripada perhiasan, sebaliknya ia lebih kepada perkakas emas dan perak. Perkakas dari emas dan perak adalah haram bagi semua orang.(Lihat Majmu’ Fatawa,19/72)

Sebagai kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit yang bersalut emas adalah diharamkan dalam Islam, kerana ia dianggap perbuatan orang kafir yang perlu dihindari. Sebagai umat Islam seharusnya menjauhi tindakan-tindakan yang boleh membawa kepada kesombongan atau rasa bangga diri yang tidak sepatutnya. Lebih-lebih lagi, kita perlu mengutamakan sikap kesederhanaan dan mencari keberkatan dalam setiap aspek kehidupan kita.

Diriwayatkan  daripada Ibnu Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ‏

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San‘ani di dalam di dalam syarahnya menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan ke atas mereka yang menyerupai golongan fasiq, kafir atau pembuat bidaah pada setiap sesuatu yang dikhususkan dengan mereka seperti pakaian, tunggangan atau perilaku mereka maka dia adalah termasuk dari kalangan mereka. (Lihat Subul al-Salam, 2/646)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melakasanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply