Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya berkerja di tempat baharu. Di tempat kerja saya, majikan berbangsa cina telah membuat ruang solat, mini surau di dalam kawasan tandas. Maksudnya akan lalu/masuk tandas, dan kemudian pintu mini surau. Persoalannya bolehkah mini surau di dalam tandas. Selain itu, tandas tersebut tidaklah sebersih mana. Saya sertakan juga gambarnya melalui pautan berikut:

https://z-p3-scontent.fkul3-2.fna.fbcdn.net/v/t1.15752-9/274819056_2265367930271296_8882664916991636253_n.jpg?stp=dst-jpg_p280x280&_nc_cat=105&ccb=1-5&_nc_sid=ae9488&_nc_ohc=_bbNGuTtN3sAX9oKrqp&_nc_ht=z-p3-scontent.fkul3-2.fna&oh=03_AVKZWg1LSLNjn0f3QsoKTciVwgQC-xWq8eTlfXaTpBbFoQ&oe=625F9267

Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, di antara syarat sah solat adalah suci tempat bersolat daripada najis. Tempat bersolat bermaksud ruang yang digunakan oleh orang yang bersolat termasuk tempat berpijak hingga ke tempat sujud yang bersentuhan dengan badannya ketika bersolat. Sehubungan itu, tidak mengapa tempat yang bernajis sekiranya tidak bersentuhan dengan badan. Contohnya ruang yang bertentangan dengan dada ketika rukuk dan sujud. Hal ini berdasarkan suruhan Rasulullah SAW supaya menjiruskan air di tempat yang dikencing oleh seorang badwi di dalam masjid, dan berdasarkan qiyas hukum pakaian kepada tempat bersolat kerana kedua-duanya adalah sama-sama bersentuhan badan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/122-123).

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, Islam membenarkan umatnya untuk menunaikan solat di mana-mana sahaja bagi menyempurnakan perintah tersebut kecuali pada beberapa tempat seperti tandas atau bilik mandi. Hal ini dijelaskan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang untuk mendirikan solat di tujuh tempat iaitu tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Kaabah.

Riwayat al-Tirmizi (346)

Begitu juga disebutkan di dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبُرَةَ وَالْحَمَّامَ

Maksudnya: “Bumi seluruhnya adalah masjid (tempat untuk sujud/solat) melainkan perkuburan dan bilik mandi (atau tandas).

Riwayat al-Tirmizi (317)

Menurut al-Mubarakfuri, perkataan hammam (الْحَمَّامَ) merujuk kepada suatu tempat di mana seseorang mandi dengan air panas. Pada asalnya, perkataan itu merujuk kepada air panas (iaitu mandi dengan air panas), kemudian ia dikatakan atau digunakan bagi tempat mandi dengan apa-apa air sekalipun.

Kemudian, beliau menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada larangan untuk mendirikan solat di perkuburan dan bilik mandi (atau bilik air), dan para ulama berselisih pendapat mengenai hukumnya. Imam Ahmad berpendapat bahawa solat yang didirikan di dalamnya adalah tidak sah. Manakala jumhur ulama pula berpendapat, solat yang didirikan adalah sah dengan syarat bersih daripada najis dan ia dihukumkan sebagai makruh. Namun, al-Mubarakfuri kemudiannya menyatakan bahawa zahir hadith menunjukkan ia adalah dilarang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/219-220).

Selain daripada itu al-Syirazi ada menyatakan bahawa para ashab kami berselisih pendapat mengenai makna larangan solat di dalam bilik mandi. Sebahagian mereka berpendapat dilarang solat di bilik mandi (atau bilik air) adalah kerana ia tempat mensucikan najis. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu solat di tempat yang diyakini suci, maka sah solatnya, dan sekiranya dia solat di tempat yang diyakini kenajisannya, maka solatnya tidak sah. Namun, sekiranya dia syak (sama ada tempat itu suci daripada najis ataupun tidak), maka dalam hal ini terdapat dua pendapat sebagaimana halnya orang yang solat di perkuburan.  Manakala sebahagian mereka lagi pula berpendapat, dilarang solat di bilik mandi (atau bilik air) adalah kerana ia merupakan tempat tinggal syaitan, bila mana aurat terdedah di dalamnya. Oleh itu, dihukumkan sebagai makruh untuk mendirikan solat di dalamnya sekalipun diyakini suci daripada najis dan solatnya dikira sah kerana larangan tersebut tidak berkaitan dengan solat itu sendiri. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/122).

Seterusnya Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi di atas menyebutkan, pendapat yang paling sahih (asah) bahawa sebab larangan (solat di bilik mandi/bilik air) kerana ia adalah tempat tinggal syaitan, maka dihukumkan sebagai makruh tanzih dan solatnya adalah dikira sah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/159).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah selama mana ia adalah tempat yang berasingan. Dalam erti kata lain, tandas itu adalah tandas dan surau itu adalah surau, serta ia dapat dibezakan melalui dinding, partition atau sebagainya. Begitu juga mendirikan solat di dalamnya tidak dianggap sebagai mendirikan solat di dalam tandas kerana kawasannya telah dibezakan.

Sekalipun begitu, pada masa yang sama perlulah dipastikan kebersihan tempat untuk mendirikan solat. Ini kerana, memastikan kebersihan tempat solat agar suci atau bersih daripada najis adalah menjadi syarat sahnya solat itu. Begitu juga sebaik-baiknya pintu pemisah antara surau itu dan tandas hendaklah sentiasa ditutup supaya tidak ada sebarang perkara yang boleh mengganggu kekhusyukkan seseorang yang solat seperti keluarnya bau yang tidak menyenangkan dari tandas atau keluar masuknya orang ramai ke dalam tandas dan sebagainya.

Pada kesempatan ini juga, kami berpendapat bahawa sekiranya saudara yang bertanya dan rakan-rakan sekerja Muslim yang lain dapat mengajukan atau memberi cadangan kepada majikan saudara untuk menjadikan tempat atau ruangan lain yang lebih sesuai sebagai ruangan solat adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf serta lebih selesa. Ruangan tersebut pula tidaklah perlu terlalu luas (jika ruang pejabat yang ada sangat terhad), cukuplah sekadar seorang dapat mendirikan solat atau bilangan jemaah kecil.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply