Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah perempuan, selepas bersalin, dia boleh masuk ke dalam masjid? Atau ada tempoh tertentu, sebelum dia dibenarkan masuk ke dalam masjid. contohnya, untuk mendukung anaknya untuk tujuan tahnik, sedangkan tiada tempat lain, melainkan dalam masjid untuk dibuat tahnik.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, darah nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin. Tempoh minimum nifas ialah sekelip mata (لَحْظَة). Kadang-kadang ia berterusan hingga beberapa hari dan biasanya hingga 40 hari. Manakala tempoh maksimumnya pula ialah 60 hari. Berdasarkan kajian Imam al-Syafi’i, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut adalah darah penyakit. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/82)

Nifas menghalang seseorang perempuan itu untuk solat, puasa, dan bersetubuh sebagaimana haid. Adapun yang dimaksudkan dengan tahnik adalah mengunyah tamar atau selainnya kemudian disapukan kepada lelangit bayi. Hukum mentahnik bayi merupakan satu sunnah. Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Kata beliau : “Adapun berkaitan hukum hakam yang terdapat di dalam hadis ini, terdapatnya hukum sunat mentahnikkan anak yang baru lahir. Juga berkaitan keharusan mengambil berkat daripada orang yang soleh dan baik. Di dalam hadis itu juga terdapat hukum sunatnya membawa kanak-kanak menemui orang yang soleh untuk bertabarruk dengan mereka. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/143)

Dalam isu perempuan dalam keadaan haid dan nifas, para ulama terbahagi kepada dua pandangan, iaitu yang tidak membenarkan wanita haidh dan nifas memasuki masjid, dan yang mengharuskannya:

Pertama: Ulama yang Tidak membenarkannya

Jumhur fuqaha’ mengharamkan wanita haidh masuk ke masjid. (Lihat al-Mabsut, 3/153; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/173; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/358; al-Mughni, 1/195).

Selain itu, terdapat juga dua fatwa daripada institusi fatwa yang menegaskan hal ini:

  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49, yang bersidang pada 19 September 2000 telah memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada atau duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan.[1]
  • Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 30 Ogos 2001 telah membuat keputusan bahawa wanita yang sedang haid dan nifas adalah tidak dibenarkan duduk diam di dalam masjid walaupun dengan tujuan pembelajaran semata-mata. Hukum wanita haid dan nifas yang masuk ke dalam masjid adalah dibenarkan untuk sekadar melintasi atau melalui sekali lalu tanpa berulang-alik untuk keluar melalui pintu yang dimasukinya.[2]

Antara dalil yang menjadi sandaran bagi kelompok pertama ini ialah ayat al-Qur’an al-karim:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

(Surah al-Nisa’: 43).

Berdasarkan ayat ini, Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan junub tidak boleh duduk dalam masjid, dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Qur’an oleh al-Jassas, 3/168)

Begitu juga hadith daripada Ummu ‘Athiyyah, katanya:

أُمِرْنَا أَنْ نُخْرِجَ الحُيَّضَ يَوْمَ العِيدَيْنِ، وَذَوَاتِ الخُدُورِ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ، وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلُ الحُيَّضُ عَنْ مُصَلَّاهُنَّ، قَالَتِ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللهِ إِحْدَانَا لَيْسَ لَهَا جِلْبَابٌ؟ قَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا

Maksudnya: Kami diperintahkan supaya menyuruh perempuan-perempuan yang sedang haidh dan gadis-gadis pingitan untuk keluar pada dua hari raya, supaya mereka dapat menyaksikan perhimpunan orang-orang Islam dan doa mereka. Bagaimanapun perempuan-perempuan yang sedang haidh itu hendaklah berada di luar kawasan solat mereka. Seorang perempuan bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana kalau seseorang daripada kalangan kami tidak mempunyai jilbab?” Nabi SAW bersabda: “Rakannya yang mempunyai jilbab hendaklah meminjamkan kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (351) dan Muslim (890)

Adapun jika sekadar untuk lalu, mengambil suatu barang kemudian terus keluar dengan segera, maka hukumnya harus. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah R.Anha:

قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ نَاوِلِينِي الْخُمْرَةَ مِنَ الْمَسْجِدِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ فَقُلْتُ إِنِّي حَائِضٌ ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِي يَدِكِ ‏”

Maksudnya: Nabi SAW berkata kepadaku: Ambilkan aku tikar dari masjid. Aku menjawab bahawa aku sedang dalam haidh. Maka Nabi SAW membalas: Haidh kamu bukan terletak pada tangan kamu.

Riwayat Muslim (298), Abu Dawud (261), al-Tirmizi (134), al-Nasa’ie (272), dan Ibn Majah (632)

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa ‘Aisyah sedar bahawa wanita haid tidak boleh masuk ke dalam masjid, dan Nabi SAW juga mengiyakannya dan menyatakan bahawa sekadar menghulurkan tangan ke dalam masjid tidak dikira masuk ke dalam masjid.

Begitu juga dengan hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ

Maksudnya: Sesungguhnya masjid tidak halal untuk dimasuki oleh orang yang berjunub dan wnaita yang sedang dalam keadaan haidh.

Riwayat Ibn Majah (645). Hadith ini dinilai dhaif sebagaimana dalam Dhaif Ibn Majah (122)

Meskipun hadith ini tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama, namun Imam al-Syaukani telah membahaskan secara panjang lebar dan menegaskan bahawa hadith ini menjadi kuat kerana disokong oleh banyak faktor penguat (syawahid). (Lihat Nail al-Autar, 1/288)

Kedua: Ulama yang Mengharuskan

Terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan wanita haidh masuk ke masjid, antaranya ialah Imam al-Muzani (anak murid Imam al-Syafie), salah satu pandangan Imam Ahmad, Daud al-Zahiri dan Ibn Hazm al-Andalusi. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/628; al-Insaf, 1/347; al-Muhalla, 1/401-402)

Antara dalil yang menjadi sandaran mereka ialah hadith Nabi SAW sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, katanya:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: «مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ» قَالَتْ: وَضَحَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نِسَائِهِ بِالْبَقَرِ.

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: “Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?” Aku menjawab: “Ya.” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah.” Kata Aisyah R.Anha: “Rasulullah SAW mengorbankan seekor lembu bagi pihak isteri-isterinya.”

Riwayat al-Bukhari (294)

Selain itu, mereka juga berdalilkan hadith Nabi SAW:

إِنَّ الْمُسْلِمَ لاَ يَنْجُسُ

Maksudnya: Sesungguhnya seorang Muslim itu bukanlah najis.

Riwayat Muslim (372)

Kefahaman umum dari hadith ini menunjukkan bahawa seorang Muslim itu adalah suci dan tidak najis walau dalam apa jua keadaan, maka wanita yang haidh boleh masuk ke masjid.

Menurut Ibn Hazm lagi, penafsiran bagi surah al-Nisa’ ayat 43 di atas perlu difahami dalam erti kata wanita haidh tidak boleh solat, dan bukannya tidak boleh mendekati tempat solat. (Lihat al-Muhalla, 1/347 dan 400)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa permasalahan ini adalah khilaf dalam kalangan ulama’ dan pandangan yang tidak membenarkan wanita haid dan nifas duduk di dalam masjid adalah lebih selamat. Hal ini kerana jika dibenarkan mereka memasuki masjid secara bebas, dibimbangi akan mengotorkan ruangan solat. Begitu juga kerana nas yang mengharamkan duduk di dalam masjid adalah lebih kuat dan lebih banyak, selain keperluan untuk melihat isu ini dari sudut hukum ta’abbudi.

Kami cadangkan dalam isu ini supaya wanita yang dalam keadaan nifas ini, sekiranya ingin mentahnikkan anak, maka lakukanlah di luar kawasan dewan solat seperti di anjung masjid dan seumpamanya. Hal ini merupakan jalan yang selamat dalam menyelesaikan permasalahan ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam

[1] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15560

[2] https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-tahunan/pewartaan/2000-2004/139-fatwa-tentang-hukum-wanita-haid-dan-nifas-masuk-ke-dalam-masjid

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply