#3379: Simbah Cat Putih pada Anak Kucing

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya terbaca berita mengenai seekor anak kucing yang ditemui di sebuah universiti awam di Gombak dalam keadaan disimbah dengan cat berwarna putih. Soalannya, apakah hukum perbuatan orang yang menyimbah cat pada anak kucing tersebut sebab bukankah ia termasuk dalam perbuatan menganiaya haiwan? Di bawah ini, saya serta sekali gambar keadaan anak kucing tersebut (gambar daripada X Izzat Basyir).

Mohon pencerahan dan nasihat. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami juga meneliti laporan tersebut antara lain menyatakan bahawa seekor kucing yang disimbah cat putih seluruh badan telah dijumpai dalam keadaan lemah. Selain itu, difahamkan, anak kucing itu ditemui di sebuah universiti awam di Gombak. Rentetan daripada kejadian tersebut, Persatuan Haiwan Malaysia melalui Malaysia Animal Crime Transparency (MyAct) menawarkan ganjaran RM3,000 kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat dengan pembuktian lengkap, jelas dan sah mengenai individu yang menyimbah cat putih ke atas seekor anak kucing seperti yang tular di media sosial.

Menurut Arie Dwi Andika, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, ganjaran tunai itu diberikan sekiranya penganiaya haiwan terbabit berjaya ditangkap, didakwa dan dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Perbuatan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah mengancam nyawa kucing itu memandangkan cat adalah bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan kucing jika kucing menjilat badannya. Justeru, saksi kejadian atau penduduk Gombak boleh tampil menyalurkan aduan mengenai kejadian kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan ini ke hotline Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) di talian WhatsApp 0105394749.

Tambahan lagi, kes boleh disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana mendatangkan kemudaratan kepada kucing dengan peruntukan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda maksimum RM100,000 jika didapati bersalah.[1]

Dalam menjawab soalan di atas, sukalah kiranya untuk kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”

(Surah al-Nahl: 90)

Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) pula adalah nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya (suruhan) berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya (tidak dimakan). (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 447).

Agama Islam sangat menekankan soal berbuat baik (Ihsan) kepada seluruh makhluk termasuklah haiwan. Sehinggakan saat hendak menyembelihnya pun kita diperintahkan untuk mematikannya dengan cara yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirahatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127).

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

(Surah al-Taubah: 128)

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya:Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).

(Surah al-Ma’idah: 13)

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123).

Berbuat baik kepada haiwan juga boleh menjadi sebab pengampunan Allah SWT sebagaimana kisah seorang pelacur yang diampunkan dosa-dosanya disebabkan oleh perbuatannya memberi minum seekor anjing yang kehausan. Nabi SAW bersabda:

أنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا في يَومٍ حارٍّ يُطِيفُ ببِئْرٍ، قدْ أدْلَعَ لِسانَهُ مِنَ العَطَشِ، فَنَزَعَتْ له بمُوقِها فَغُفِرَ لَها

Maksudnya: “Seorang wanita pelacur telah melihat seekor anjing mengelilingi sebuah perigi pada suatu hari yang panas. Anjing tersebut telah menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita itu menanggalkan kasutnya (untuk menceduk air perigi tersebut) lalu memberinya minum. Oleh sebab perbuatannya itu, dia telah diampunkan dosanya.”

Riwayat Muslim (2245)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kita hendaklah mengetahui bahawa agama Islam melarang keras perbuatan menganiaya atau menzalimi haiwan. Nyawa haiwan adalah dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati melainkan bagi tujuan mendapat manfaat daripadanya yang diizinkan oleh syarak seperti bagi tujuan memakannya dan seumpamanya. Tindakan seseorang yang secara sengaja membunuh haiwan sekalipun ia halal dimakan, tetapi tujuannya bukan untuk mengambil mengambil manfaat daripadanya adalah dilarang dan dihukumkan sebagai haram. Rasulullah SAW pernah bersabda:

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ: يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”

Riwayat al-Nasa’i (4349)

Apatah lagi perbuatan yang jelas menyakiti dan menzalimi haiwan, maka tidak syak lagi ia termasuk dalam perbuatan yang diharamkan. Seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya:Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadith di atas iaitu dikatakan kepadanya:

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah.”

Riwayat al-Bukhari (2365)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa perbuatan atau tindakan seseorang yang secara sengaja menyimbah cat berwarna putih kepada seekor anak kucing adalah haram kerana ia termasuk dalam bentuk penganiayaan dan perbuatan menyeksa haiwan. Hal ini kerana perbuatan menyimbah cat itu adalah sejuzuk daripada jenis seksaan terhadap haiwan. Apatah lagi ia berkemungkinan boleh menyebabkan kematian anak kucing itu kerana cat adalah bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan kucing jika kucing menjilat badannya, di samping menyukarkan pergerakannya. Bahkan dalam laporan dinyatakan bahawa anak kucing itu ditemui dalam keadaan lemah dek kerana cat tersebut.

Kami mengambil kesempatan di sini turut menyatakan bahawa ingatlah kucing termasuk dalam jenis makhluk yang bernyawa dan jenis haiwan kesayangan. Tambahan lagi, Nabi SAW menggolongkan kucing termasuk dalam jenis haiwan yang sering berkeliaran di sekeliling manusia dan menjelaskan ketidaknajisannya, di samping mengingatkan agar tidak menyakiti dan menyeksanya.

Ini adalah sebagaimana riwayat Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik yang melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)

Begitu juga terdapat sebuah riwayat daripada Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda mendekatkan sebekas air kepada seekor kucing sehinggalah ia meminumnya. Kemudian Baginda berwuduk daripada lebihan air tersebut.[2] Selain itu, terdapat juga hadith lain daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْهِرَّةُ مِنْ مَتَاعِ الْبَيْتِ

Maksudnya: “Kucing termasuk dalam harta benda rumah.

Riwayat Ibn Majah (369); Ibn Khuzaimah (828) dengan lafaz yang panjang; al-Bazzar (8646) dan lafaz hadith daripadanya.[3]

Justeru, marilah sama-sama kita merenung semula satu hadith yang kami telah bawakan di atas, di mana Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”

Riwayat al-Bukhari (5997) dan Muslim (2318)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

[1] Lihat https://says.com/my/seismik/kalau-tak-suka-jangan-zalim-lelaki-ini-jumpa-kucing-disimbah-cat-putih-tepi-longkang, dan https://www.buletintv3.my/nasional/simbah-anak-kucing-dengan-cat-ganjaran-rm3000-bantu-kesan-penganiaya/. Diakses pada 2 Oktober 2023.

[2] Riwayat al-Daraqutni dalam sunannya (218) dan beliau menyebutkan bahawa sanadnya adalah hasan. (Lihat Tanqih al-Tahqiq oleh Ibn ‘Abd al-Hadi, 1/94-95)

[3] Ibn Daqiq al-‘Eid dalam al-Imam (1/239) menyatakan, di dalamnya terdapat perawi bernama Ibrahim bin al-Hakam dan dia termasuk dalam perawi yang dikritik oleh para ulama.

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *