Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tahu berkenaan anak angkat. Anak angkat itu anak luar nikah dan dijaga oleh ibu angkat hingga dewasa. Kemudian ibu kandung datang dan anak itu kembali pada ibu kandungnya. Ibu kandung ada anak perempuan yang berlainan bapa. Saya nak tanya adakah anak-anak ini halal bersentuhan sebab anak yang sulung anak haram, anak zina ibu kandungnya dengan lelaki lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa mahram membawa makna larangan. Ibn Manzur dalam kitabnya menyebut bahawa mahram itu adalah individu-individu yang tidak boleh dinikahi. (Lihat Lisan al-Arab, 12/119)

Dari sudut istilah para fuqaha’, mahram bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.”[5] Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114

Pada perkataan ‘’dalam bentuk al-ta’bid’’ membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).

Manakala perkataan ‘’bukan kerana kemuliaannya’’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi SAW. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.

Dan perkataan ‘’bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’ adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Dalam ayat yang panjang ini menjelaskan berkenaan beberapa adab dan batas yang perlu dijaga dan dipelihara oleh setiap orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. antaranya ialah memelihara aurat agar tidak diperlihatkan kepada orang yang bukan mahram. Begitu juga tidak diperbolehkan untuk melihat perkara yang haram apatahlagi melakukannya sehingga melanggar batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Syeikh Mustafa al-Maraghi menyebut bahawa para lelaki perlulah untuk sentiasa menjaga mata mereka dari melihat perkara  haram dan jika mereka melihatnya hendaklah segera mengalihkan  kerana hikmah daripada pengharaman tersebut adalah untuk menutup perkara kejahatan dan menghalang dari melakukan maksiat dan dosa. Beliau menyebut lagi bagi wanita-wanita tidak boleh untuk memperlihatkan perhiasan yang sepatutnya mereka sembunyikan dan juga tidak boleh mendedahkan aurat kepada orang selain yang telah disebutkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 18/97)

Imam al-Nawawi menyatakan dalam menghuraikan siapakah “saudara-saudara perempuan kamu”  dalam ayat di atas: “Dan saudara perempuan kamu (yang diharamkan atas kamu berkahwin dengannya) adalah setiap wanita yang diperanakkan oleh ibu bapa kamu atau salah seorang daripada mereka.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/108)

Imam al-Mawardi menukilkan kata-kata Imam al-Syafi’e yang menyebut: “Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan.”

Kemudian Imam al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya: Wanita yang mahram itu ada dua kategori berikut:

  • Pertama: Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Bahagian ini ada dua kategori pula iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan).
  • Kedua: Bahagian yang haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja). (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/196)

Dalam kitab Nihayah al-Matlab pula dijelaskan: Mahram adalah orang yang haram dikahwini dan diharamkan melakukan hubungan persetubuhan badan dengannya. Para ulama menjelaskan perkahwinan adalah akad yang menghalalkan persetubuhan, sekiranya individu yang mempunyai hubungan mahram dengan orang lain maka diharamkan berkahwin dengannya. Demikian juga diharamkan melakukan persetubuhan dengannya. Mahram terjadi melalui sebab pertalian darah, penyusuan dan persemendaan. Antara golongan yang diharamkan berkahwin dengan sebab pertalian darah ialah ibu, anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara dan anak saudara perempuan. (Lihat Nihayah al-Matlab, 12/222)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa mahram anak tak sah taraf ialah ibu kandungnya dan keluarga sebelah ibunya seperti nenek dan atuknya, adik beradik ibunya dan lain-lain. Adik beradiknya pula dikira sebagai adik beradik seibu. Oleh itu, walaupun adik beradiknya yang lain berlainan bapa, tetapi dia tetap dianggap adik beradik seibu.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply