Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh saya tahu apakah mentua dibenarkan untuk masuk campur dalam urusan rumahtangga suami isteri? Berdosakah kalau anak menantu tidak mengikut saranannya?
Sebagai contoh, menantu balik berpantang di mana, balik beraya berapa lama, bertanyakan kewangan anak menantu dan sebagainya.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sebelum meneruskan perbincangan tentang persoalan yang diajukan, kami ingin menekankan terlebih dahulu bahawa mentaati ibu bapa itu merupakan tuntutan agama selama mana ianya tidak bertentangan dengan syara‘. Oleh yang demikian, kita mendapati Allah SWT meletakkan ibu bapa ditempat kedua selepas ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Firman Allah SWT:
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Maksudnya: “Dan kamu sembahlah Allah, dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.”
(Surah al-Nisa’: 36)
Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa, Allah SWT mewasiatkan kepada semua hamba-Nya agar berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan mereka itu sebab lahirnya kita daripada yang dahulunya tiada kepada ada. Dan betapa banyak Allah SWT menyebutkan bersama antara beribadah kepada-Nya dengan berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/261)
Allah SWT juga berfirman:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
(Surah al-Isra’: 23)
Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajiban tersebut digenapkan dengan kewajiban supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.
Kemudian, fokus perintah supaya memelihara kedua-dua ibubapa itu disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk bentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun, yang diucapkan oleh seseorang yang telah berasa jemu terhadap mereka, sekalipun banyak hal yang menyebabkan timbulnya kejemuan tersebut. Bahkan sekalipun seseorang mengalami keadaan-keadaan yang hampir tidak dapat ditanggung oleh manusia untuk bersabar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932)
Berbalik kepada fokus utama, apabila membincangkan isu campur tangan mentua dalam rumah tangga anak menantu ini, kami cuba membahagikannya kepada 2 pecahan:
Pertama: Campur Tangan mentua dalam Urusan Agama
Urusan agama secara hakikatnya boleh berlaku campur tangan dari ramai pihak terutamanya mereka yang berautoriti dan berkelayakan untuk memberikan nasihat, panduan serta bimbingan berlandaskan jalan syara‘. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah al-Hujurat: 10)
Ini juga thabit dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Tamim al-Dari R.A:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: untuk siapa? Sabda Baginda: Untuk Allah, untuk Kitab-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”
Riwayat Muslim (55), Abu Dawud (4944) dan al-Nasa’ie (7/156)
Antara contoh yang disebutkan oleh syara‘ yang membenarkan campur tangan keluarga mentua dalam urusan rumah tangga adalah ketika berlakunya pertelingkahan antara suami isteri sehingga ke ambang penceraian, sedangkan penceraian itu adalah perkara halal yang paling dibenci. Ini berdasarkan hadith Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللهِ الطَّلَاقُ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah cerai.”
Riwayat al-Nasa’ie (14894) dan Abu Daud (2178)
Maka dalam isu yang berkait dengan kepentingan agama seperti ini, Allah SWT memberikan keharusan untuk adanya campur tangan keluarga mentua. Firman Allah SWT:
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perselisihan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua ‘orang tengah’ itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuan-Nya.”
(Surah al-Nisa’: 35)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau menukilkan kalam fuqaha’ yang mengatakan, apabila berlakunya perselisihan antara suami isteri, hakim perlu meletakkan keduanya sebagai orang yang dipercayai dengan melihat masalah ini dari kedua-dua pihak, dan menghalang orang yang zalim di antara keduanya dari berbuat zalim. Sekiranya perselisihan mereka bertambah teruk, hakim perlu melantik seorang yang dipercayai dari pihak perempuan dan seorang yang dipercayai dari pihak lelaki agar mereka berbincang bersama tentang urusan kedua suami isteri ini. Dan kedua mereka perlu melakukan apa-apa yang mendatangkan kebaikan dari apa yang mereka dapati, sama ada berpisah atau kekal bersama. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/259)
Antara contoh lainnya, sekiranya anak menantu tidak menitikberatkan urusan solat yang merupakan tiang agama, maka menjadi tanggungjawab mentua untuk campur tangan dalam urusan ini bagi memperingatkan mereka tentang solat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ
Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”
(Surah Taha: 132)
Ibrah di dalam ayat di atas adalah mengajak ahli keluarga kita atau sesiapa sahaja yang berada di bawah jagaan kita untuk mendirikan solat serta menjaga solat itu dengan baik. Maka, mentua juga secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam menasihati anak menantu agar mereka melazimi solat fardhu 5 waktu.
Kedua: Campur Tangan dalam Urusan Kehidupan Seharian
Urusan kehidupan seharian anak menantu merupakan salah satu perkara yang tidak sepatutnya disertai dengan campur tangan keluarga mentua. Ini adalah batas-batas yang digariskan oleh Islam agar keharmonian dan kesejahteraan hubungan keluarga tidak terjejas.
Oleh yang demikian, nasihat yang terbaik bagi pasangan yang baru berkahwin adalah untuk tinggal di rumah yang berasingan dengan keluarga mentua agar tidak berlaku perselisihan atau salah faham antara satu sama lain sehingga menyebabkan salah satu pihak tersinggung, merasa terabai dan sebagainya. Pasangan tersebut juga dapat berdikari dalam membina rumah tangga mereka sendiri tanpa campur tangan daripada keluarga. Ini tidak menafikan bahawa mereka juga memerlukan kepada nasihat orang yang lebih berpengalaman dalam menangani masalah rumah tangga mungkin berlaku.
Campur tangan dalam urusan begini juga boleh membawa kepada keretakan perhubungan rumah tangga yang dibina kerana terbukanya pekung rahsia mereka di kalangan keluarga. Hal ini akan menyebabkan berlakunya pertengkaran dan pergaduhan, yang mana mungkin menghadapi pengakhiran yang buruk. Bak kata pepatah seperti dalam Kamus Istimewa Bahasa Melayu: “Retak menanti belah”, yang bermaksud sesuatu yang pasti akan berlaku. Dalam erti kata lain, perkara kecil yang akan menjadi besar, tinggal menanti petaka yang lebih besar lagi. (Lihat Baiti Jannati, hlm. 92-93)
Sekiranya isu seperti berpantang di mana selepas bersalin, tempoh cuti balik beraya, atau kewangan anak menantu sering ditanya dan terkadang dipersoal, nescaya kelak akan terbinanya satu batu penghalang yang menyebabkan sukar untuk terjalin keselesaan dalam diri anak menantu.
Kami menasihatkan agar anak menantu berbincang dengan baik bersama mentua sekiranya berlaku sebarang campur tangan mereka yang mungkin menyebabkan diri kurang senang atau selesa. Gunakanlah bahasa yang sopan, intonasi yang lemah-lembut, berbincang dalam suasana yang tenang, dan menjelaskan sebab kita dengan baik serta jelas. Semoga Allah SWT membuka hati dan melapangkan dada mereka untuk memberikan peluang kepada anak menantu belajar hidup berdikari, seterusnya bermuamalah bersama mereka dengan cara yang lebih matang dan dewasa.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445