Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalammualaikum Dato Seri. Saya mempunyai dua org anak dan kedua dua anak saya adalah OKU autism dan juga hyperaktif. Kedua anak anak saya adalah lelaki dan sangat aktif. Anak-anak saya berumur 7 dan 6 tahun, masih berkeadaan non-verbal, juga suka memanjat dengan pantas dan mempunyai kemampuan menyeimbangkan tubuh walau berada di tempat yang tinggi.

Soalan saya, ketika saya solat mereka suka memanjat-manjat badan saya untuk duduk atau berdiri di bahu saya. Perbuatan mereka adakalanya tidak hanya membahayakan mereka tetapi saya juga kerana ada ketikanya di grip dengan kuat di bahagian tengkuk. Oleh itu saya terpaksa menahan, memegang dan menurunkan mereka, ketika di dalam solat dan pergerakan-pergerakan ini adalah pergerakan-pergerakan besar yang lebih daripada tiga perbuatan.

Saya tidak boleh bersolat sendirian didalam bilik kerana anak-anak mudah panik bila ditinggalkan dan juga terdedah dengan perbuatan-perbuatan lain yang membahayakan mereka. Apabila isteri ada pun, kami hanya mampu menahan salah seorang daripada anak-anak kami sahaja. Sah ke solat kami Ustaz, kerana keadaan kami benar-benar memaksa kami untuk bertindak sedemikian ketika solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Autisme dalam Bahasa Arab, ia dikenali sebagai al-tawahhud (التَّوَحُّد) atau al-zatawiyyah (الذَّاتَوِيَّة). Perkataan autism berasal daripada perkataan Autismus dalam bahasa Jerman, dicetuskan pada 1912 oleh seorang pakar psikiatri, Paul Bleuler daripada perkataan Greek iaitu autos (sendiri) +ismos (pengakhiran bagi tindakan atau kondisi). Secara umumnya, ia berkenaan seseorang yang mempunyai minat, kecenderungan dan fokus yang melampau kepada aktiviti-aktiviti individu semata-mata.

Autisme menurut garis panduan Pendaftaran Orang Kurang Upaya masalah pembelajaran sehingga memberi kesan terhadap hubungan sosial dan komunikasi serta menunjukkan tingkah laku yang tidak normal. Terdapat pelbagai ciri yang boleh dikenalpasti bagi menentukan individu autisme, akan tetapi kriteria utama adalah masalah berkomunikasi, masalah dalam bersosial serta keterbatasan dalam aktiviti dan minat.

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini dengan dua kisah seperti berikut:

Pertama, Rasulullah SAW sedang berada di atas mimbar dan beliau melihat Hasan dan Husain yang berjalan jatuh bangun. Dia tidak sampai hati dan terus turun dari mimbar dan memeluk dan mengangkatnya. Daripada Buraidah R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُنَا إِذْ جَاءَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ عَلَيْهِمَا السَّلاَمُ عَلَيْهِمَا قَمِيصَانِ أَحْمَرَانِ يَمْشِيَانِ وَيَعْثُرَانِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنَ الْمِنْبَرِ فَحَمَلَهُمَا وَوَضَعَهُمَا بَيْنَ يَدَيْهِ ثُمَّ قَالَ:‏ صَدَقَ اللَّهُ‏:‏ ‏{إنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ}‏ نَظَرْتُ إِلَى هَذَيْنِ الصَّبِيَّيْنِ يَمْشِيَانِ وَيَعْثُرَانِ فَلَمْ أَصْبِرْ حَتَّى قَطَعْتُ حَدِيثِي وَرَفَعْتُهُمَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menyampaikan khutbah kepada kami. Tiba-tiba, datanglah al-Hasan dan al-Husain dengan memakai baju berwarna merah; mereka berdua berjalan lalu tersadung dan jatuh. Maka, Rasulullah SAW pun segera turun dari minbar dan menggendong mereka berdua seraya bersabda: ‘Benarlah firman Allah, ‘إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ’ (Hanyasanya harta benda dan anak-anak kalian adalah fitnah).’ Aku telah memerhatikan dua orang kanak-kanak ini berjalan-jalan dan tersadung. Lalu, aku tidak dapat menahan sabar sehinggalah aku meninggalkan khutbahku dan mengangkat mereka berdua.”

Riwayat al-Tirmizi (3774)

Kedua, Hasan dan Husain datang ketika Rasulullah SAW solat, dan ketika itu Rasulullah SAW sedang sujud lantas dia menaiki dan mengendarai Rasulullah SAW, Baginda membiarkan dengan sujud yang lama. Para sahabat melihat dan setelah selesai, Hal ini sebagaimana riwayat daripada Syaddad R.A, katanya:

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي إِحْدَى صَلَاتَيِ الْعِشَاءِ وَهُوَ حَامِلٌ حَسَنًا أَوْ حُسَيْنًا، فَتَقَدَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعَهُ، ثُمَّ كَبَّرَ لِلصَّلَاةِ فَصَلَّى فَسَجَدَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ صَلَاتِهِ سَجْدَةً أَطَالَهَا، قَالَ: فَرَفَعْتُ رَأْسِي وَإِذَا الصَّبِيُّ عَلَى ظَهْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ سَاجِدٌ فَرَجَعْتُ إِلَى سُجُودِي، فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلَاةَ قَالَ النَّاسُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّكَ سَجَدْتَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ صَلَاتِكَ سَجْدَةً أَطَلْتَهَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ قَدْ حَدَثَ أَمْرٌ أَوْ أَنَّهُ يُوحَى إِلَيْكَ، قَالَ: “كُلُّ ذَلِكَ لَمْ يَكُنْ وَلَكِنَّ ابْنِي ارْتَحَلَنِي فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ”

Maksudnya: “Rasulullah SAW keluar untuk (solat jemaah) bersama kami pada salah satu solat di waktu petang, (tidak pasti) Zuhur atau Asar. Baginda SAW sedang mendukung (cucunya) iaitu Hasan atau Husain R.Anhuma. Baginda SAW bergerak ke hadapan (untuk menjadi imam) dan meletakkan cucunya. Kemudian Baginda SAW mengangkat takbir untuk solat, lalu mendirikan solat. Baginda SAW sujud di tengah-tengah solatnya dengan sujud yang sangat panjang.” Syaddad R.A berkata: “Aku pun mengangkat kepalaku, dan aku melihat kanak-kanak tadi berada di atas belakang Rasulullah SAW ketika Baginda SAW sedang sujud. Aku pun kembali sujud. Apabila Rasulullah SAW selesai mendirikan solat, para jemaah bertanya: ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya engkau telah sujud di tengah-tengah solatmu dengan sujud yang panjang. Kami menyangka sesuatu telah berlaku, atau wahyu telah dihantar kepada engkau.’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Semua itu tidak berlaku. Sebaliknya cucu aku ini sedang menunggangku. Aku tidak suka untuk segera (bangkit) sehingga dia telah selesai menunaikan hajatnya.’”

Riwayat al-Nasa’i (1141), Ahmad (16076, 27688), dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3558), al-Hakim dalam al-Mustadrak (4775, 6631)

Nabi SAW adalah yang paling baik akhlaknya dan baginda sangat penyayang terhadap umatnya. Salah satu contoh baik akhlak baginda dan kelembutan baginda adalah kerendahan hati baginda terhadap kanak-kanak kecil, kesabarannya terhadap mereka, dan permainan yang baginda mainkan bersama mereka untuk memberikan kebahagiaan kepada mereka.

Dalam hadith Syaddad R.A ini, ia adalah contoh berkenaan rahmat Rasulullah SAW terhadap anak-anak kecil. Baginda menunggu sehingga anak itu selesai melakukan apa yang dia ingin lakukan sebelum baginda mengangkat kepala dari sujudnya. Ini menunjukkan kelembutan dan perhatian Rasulullah SAW terhadap anak-anak.

Dalam hadith yang lain yang sahih, juga disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah membawa cucu perempuannya yang bernama Umamah semasa baginda sedang solat. Ini menggambarkan bahawa beberapa tindakan atau aktiviti kecil semasa solat tidak akan membatalkan solat seseorang, seperti apabila seorang anak duduk di atas bahu atau belakang seseorang yang sedang solat.

Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abi Qatadah Al-Ansari RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي وَهْوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah Binti Zainab Binti Rasulillah S.A.W, dan dia merupakan anak kepada Abu Al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya.

Riwayat Al-Bukhari (516) dan Muslim (543)

Dalam lafaz atau riwayat lain, Abu Qatadah berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ أَبِي الْعَاصِ عَلَى عَاتِقِهِ فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ سُجُودِهِ أَعَادَهَا

Maksudnya: Aku melihat Rasulullah SAW menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan beliau mendukung Umamah binti Abi Al ‘Ash di atas tengkuk baginda. Apabila baginda rukuk, baginda meletakkannya dan apabila baginda bangun baginda mengangkatnya semula.

Riwayat al-Nasa’ie (827)

Berdasarkan hadith di atas, kami melihat betapa tingginya sifat rahmat dan kasih sayang baginda SAW kepada cucu, kaum keluarga, serta anak-anak kecil. Ini yang dibawakan oleh Rasulullah dengan sifat baginda selaku rahmatan lil ‘alamin iaitu rahmat bagi sekalian alam.

Imam al-Nawawi di dalam syarahnya menyebutkan: Pada hadith ini terdapatnya dalil bahawa sahnya solat seseorang yang memikul anak Adam, atau haiwan yang suci seperti burung ataupun kambing dan selainnya. Selain itu, pakaian dan jasad anak-anak kecil adalah bersih sehinggalah dikenalpasti kenajisannya. Dan sesungguhnya perbuatan atau pergerakan yang sedikit itu tidak membatalkan solat, serta pergerakan itu sekiranya dilakukan berkali-kali akan tetapi tidak secara berturutan, bahkan dilakukan secara berpisah (berasingan) tidak membatalkan solat. Dan pada hadith ini juga terdapat petunjuk akan sifat tawadhu’ bersama dengan kanak-kanak dan keseluruhan golongan yang lemah, menyayangi mereka serta saling berlemah lembut kepada mereka. Menurut mazhab Imam Al-Syafie, hadith ini menjadi dalil bahawa dibolehkan untuk memikul kanak-kanak kecil baik lelaki atau perempuan, dan juga haiwan yang suci di dalam solat fardhu dan juga solat sunat. Ia boleh dilakukan oleh imam dan juga makmum, serta orang yang solat sendirian. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 5/198)

Ibn Rejab menukilkan bahawa al-Jauzajaniy berkata dalam kitabnya al-Tarjumah: Ismail bin Sa’id mengkhabarkan kepadaku: aku bertanya kepada Ahmad bin Hanbal tentang orang yang mendukung anak kecil dan meletakkannya dalam solat, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW. Maka beliau menjawab: “Dibolehkan untuk dilakukan di dalam solat.” Beliau kemudiannya menukilakan bahawa Ibn al-Mundzir menceritakan daripada Imam al-Syafi’ie dan Abu Thaur tentang bolehnya mendukung anak ketika solat fardhu.” (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab,  3/361)

Pada asasnya, pergerakan lebih daripada tiga kali secara berturut-turut di dalam solat adalah membatalkan solat mengikut mazhab Syafie kerana ia dikira pergerakan yang banyak.

Imam al-Nawawi menyebut di dalam al-Minhaj: “Jika seseorang itu sengaja melakukan perbuatan di dalam solatnya, selain daripada perbuatan-perbuatan asal di dalam solat, sekalipun perbuatan itu daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll), maka batallah solatnya, kecuali jika dia terlupa. Adapun jika perbuatan bukan daripada jenis perbuatan solat (rukun dan lain-lain) maka batal solat jika perbuatan (pergerakan) itu banyak pada uruf dan tidak batal jika perbuatan (pergerakan) itu sedikit pada uruf. Dua langkah atau dua pukulan itu adalah termasuk di dalam pergerakan sedikit, manakala tiga kali perbuatan (pergerakan) secara berturut-turut adalah banyak (maka ia membatalkan solat).” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 53-54)

Al-Khatib al-Syarbini pula menyebut: “Dan perkara kedua yang membatalkan solat ialah pergerakan yang banyak yang bukan daripada jenis perbuatan solat secara uruf. Apa yang dianggap uruf sebagai pergerakan yang sedikit seperti mencabut khuf, memakai pakaian yang ringan maka ia adalah sedikit. Begitu juga dua langkah yang sederhana dan juga dua pukulan. Pergerakan sebanyak tiga kali atau lebih adalah dikira banyak (dan membatalkan solat) jika ianya dilakukan secara berturut-turut. Sama ada pergerakan tersebut adalah dari jenis pergerakan itu seperti tiga kali langkah ataupun bercampur dari segala jenis pergerakan seperti satu kali langkahan, satu kali pukulan dan mencabut capal ataupun tiga kali langkahan yang dilakukan dengan satu langkah yang besar. Jika dia melakukan satu pergerakan dengan niat tiga kali pergerakan maka batallah solatnya.” (Lihat al-Iqna’ Fi Hill al-Alfaz Abi Syuja’, 2/268)

Imam al-Nawawi menyebut: “Secara ringkas tentang apa yang disebut oleh ashab kami bahawa pergerakan yang bukan dari jenis pergerakan solat jika ianya banyak maka batal solat tanpa ada khilaf (tentang perkara tersebut). Jika pergerakan itu sedikit, ianya tidak membatalkan solat.”

Beliau menambah lagi: “Adapun apa yang yang dianggap orang ramai sebagai pergerakan yang banyak seperti langkahan kaki dan pergerakan yang banyak serta berturut-turut maka terbatallah solatnya. Kata Ashab kami : Di atas dasar ini maka satu kali pergerakan seperti satu kali langkahan dan pukulan adalah pergerakan yang sedikit dan pergerakan sebanyak tiga kali adalah banyak.” (Lihat al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 4/25-26)

Namun begitu, terdapat beberapa keadaan yang diharuskan untuk bergerak dalam solat yang tidak membatalkan solat. Antaranya adalah sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin, katanya: “Adapun gerakan yang dibolehkan: Ia adalah gerakan yang ringan untuk keperluan, atau banyak untuk keperluan mendesak. Gerakan yang ringan untuk keperluan, seperti tindakan Nabi SAW ketika beliau sedang bersembahyang sambil memegang cucunya, Ummamah binti Zainab, cucu Rasulullah SAW, yang baginda juga merupakan Atuk daripada ibunya. Baginda SAW memegang Umamah ketika berdiri dan meletakkannya ketika sujud.” (Lihat Majmu’ Fatawa, 13/310)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz pula berpendapat, katanya:  “Mengenai penentuan gerakan-gerakan yang menafikan tama’ninah dan khusyuk dalam solat dengan tiga gerakan, itu bukanlah perkara yang ditetapkan daripada hadith Rasulullah SAW, tetapi itu merupakan ijtihad dan pendapat beberapa ulama, dan tidak ada dalil yang menyokongnya. Namun, bermain-main dalam solat adalah makruh, seperti menggerakkan hidung, janggut, pakaian, atau terlalu banyak sibuk dengan perkara tersebut. Jika bermain-main itu menjadi banyak, ia akan membatalkan solat. Namun, jika bermain-main itu sedikit atau terhad, atau jika ia tidak berterusan, maka solat tidak akan dibatalkan. Namun, seorang mukmin dianjurkan untuk menjaga khusyuk dan meninggalkan bermain-main, sama ada dalam jumlah yang sedikit atau banyak, dengan tujuan memastikan kesempurnaan solat. Salah satu bukti bahawa sedikitnya perbuatan dan gerakan dalam solat tidak akan membatalkannya adalah perbuatan Rasulullah SAW dan gerakan yang berselerak yang tidak berterusan dalam solat. Dalam hadith yang sahih, diceritakan bahawa Rasulullah SAW membuka pintu untuk Aisyah ketika sedang solat [Lihat Sunan Abu Dawud (922), al-Nasa’i (3/11), al-Tirmizi (601)]. Juga, terdapat hadith yang mengisahkan bahawa Rasulullah SAW pernah solat bersama orang ramai sambil membawa cucu perempuannya daripada anak Zainab. Ketika baginda sujud, baginda meletakkannya, dan ketika baginda berdiri, baginda mengangkatnya. (Lihat Fatawa Ulama’ al-Balad al-Haram, 162-164].

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa perbuatan anak-anak saudari yang memanjat badan saudari untuk duduk atau berdiri di bahu saudari adalah tidak membatalkan solat saudari. Hal ini kerana pergerakan saudari yang terpaksa menahan, memegang dan menurunkan mereka, ketika di dalam solat merupakan pergerakan yang perlu bagi memudahkan pergerak solat dan bukannya merupakan pergerakan yang dilakukan dengan tanpa tujuan. Situasi ini dibuktikan dengan Rasulullah SAW ketika dipanjat oleh cucu baginda sama ada Hasan atau Husain ketika baginda sujud dan juga peristiwa di mana baginda mendukung Umamah ketika baginda solat. Ini menggambarkan bahawa beberapa tindakan atau aktiviti kecil semasa solat tidak akan membatalkan solat seseorang, seperti apabila seorang anak duduk di atas bahu atau belakang seseorang yang sedang solat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply