Soalan
Adakah isteri saya dengan datuk tiri saya dikira mahram dan bolehkah mereka bersalaman?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)
Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT :
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah Al-Nisa’: 23)
Pengharaman berkahwin dengan wanita tertentu terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah Muabbad iaitu haram untuk bernikah selama-lamanya. Yang kedua ialah tahrim muaqqat iaitu haram berkahwin buat sementara waktu disebabkan ada faktor-faktor yang menghalang. Jika ia tetap dilakukan maka ia tergolong di dalam akad yang batil dan tidak sah pernikahan tersebut.
Datuk mertua tiri boleh didefinisikan sebagai nenek kepada suami, si isteri itu berkahwin dengan lelaki lain yang menjadi datuk tiri kepada si suami. Ini bermakna nenek mertua kandung itu berkahwin dengan lelaki lain. Justeru ia menjadi datuk mertua tiri kepada si isteri.
Di dalam ayat di atas, tidak dimasukkan kedudukan isteri kepada anak tiri sebagai mahram mu’abbad (kekal). Ini termasuklah isteri kepada cucu tiri. Maka, hubungan mereka dianggap mahram mu’aqqat (sementara) dan boleh berkahwin keduanya jika bercerai atau kematian pasangan. Perlu diperhatikan juga, jika cucu tiri berkenaan mendapat anak perempuan, maka hukum cicit tiri dengan moyang tiri adalah mahram kerana cicit tiri itu dianggap rabibah berdasarkan potongan ayat di atas:
وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم
Maksudnya: dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri.
(Surah Al-Nisa’: 23)
Berdasarkan persoalan di atas, seorang perempuan dengan datuk mertua tiri adalah bukanlah mahram, maka haram hukumnya bersentuhan tanpa lapik melainkan kerana hajat seperti perubatan dan lain-lain. Begitu juga hukum bersalaman, maka haram juga hukumnya. Pengecualian jika keduanya bersalaman dengan lapik, dengan syarat aman daripada fitnah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/188)
Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H