Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum mencuci kolam renang anjing? Sama ada sengaja ataupun tidak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, hukum asal bagi anjing adalah najis menurut Mazhab Syafi‘i adalah najis. Ini jelas sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.”

Riwayat al-Bukhari (172) dan Muslim (279)

Begitu juga dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.”

Riwayat Muslim (279) dan al-Nasa’ie (66)

Imam al-Nawawi berkata: “Menurut Mazhab kami (Mazhab Syafi‘i) kesemua jenis anjing adalah najis, sama ada anjing tersebut terlatih atau selainnya, kecil atau besar. Beginilah yang disebutkan oleh al-Auza‘ie, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaidah.” (Lihat al-Majmu‘, 2/569)

Kedua, ulama’ membincangkan tentang kesucian air itu sendiri dan membahagikannya kepada 2 keadaan, sama ada mencukupi 2 qullah atau kurang. Dr Wahbah al-Zuhaili menerangkan tentang kiraan 2 qullah ini seperti yang berikut:

  • Dari segi timbangan: iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam. 1 kati Syam pula bersamaan dengan 2.5 kg. Justeru, 2 qullah bersamaah 195.113 kg.
  • Dari segi sukatan: 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).
  • Dari segi ukuran: 1 ¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pandapat ulama’ Hanbali, ukurannya ialah 2 ½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/273)

Air yang Sedikit: iaitu kurang daripada dua qullah. Air ini menjadi najis sekiranya terjatuh najis ke dalamnya meskipun najis tersebut sedikit, dan meskipun ia tidak merubah sifat-sifat air dari segi warna, bau dan rasa.

Air yang Banyak: iaitu yang mencukup dua qullah atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan semata-mata terjatuh atau tersentuh najis, tetapi ia menjadi najis apabila berubah salah satu daripada sifat-sifatnya; warna, rasa atau bau.

Hukum ini diistinbat berdasarkan hadith riwayat Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

Maksudnya: “Apabila air itu mencukupi dua qullah, ia tidak akan menanggung najis.”

Riwayat Abu Daud (63), al-Tirmizi (67), al-Nasa’i (52), Ibn Majah (517), dan Ahmad (4803)

Dalam riwayat lain dengan lafaz yang sedikit berbeza:

فَإِنَّهُ لاَ يَنْجُسُ

Maksudnya: “Sesungguhnya air itu tidak menjadi najis.”

Riwayat Abu Daud (63)

Maksud berlawanan yang dapat difahami dari hadith di atas, sekiranya air tersebut kurang daripada 2 qullah, ia boleh menanggung najis, dan ia dinamakan sebagai air mutanajjis (air yang bernajis). Dan air yang mencukupi 2 qullah ini pula masih boleh menanggung najis jika berubah sifat-sifatnya, sepertimana dalam riwayat Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الْمَاءُ لاَ يَنْجُسُ إِلاَّ مَا غَيَّرَ رِيحَهُ أَوْ طَعْمَهُ

Maksudnya: “Air tidak boleh menjadi najis melainkan jika berubah bau atau rasanya.”

Riwayat al-Baihaqi (1274) di dalam al-Sunan al-Kubra

Menurut riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

 المَاءَ طَهُورٌ لا يُنَجِّسُه إِلَّا مَا غلَبَ عَلَى رِيحِهِ وَطَعْمِهِ وَلَوْنِهِ

Maksudnya: “Air itu suci dan menyucikan tiada sesuatu yang menajiskannya melainkan jika berubah salah satu sifat  bau, rasa dan warnanya.”

Riwayat Ibn Majah (521)

Mencuci Kolam Renang Anjing

Berbalik kepada persoalan utama yang diajukan, ia sebenarnya terkait rapat dengan hukum kenajisan anjing dan kesucian air yang kami bincangkan di atas. Kami membahagikan perbincangan ini kepada 2:

  1. Kesucian Air Kolam Renang Anjing

Oleh kerana anjing itu dihukumkan sebagai najis, maka air kolam renang anjing tersebut dihukumkan sebagai air mutanajjis sekiranya ia kurang daripada 2 qullah. Akan tetapi, jika air kolam tersebut mencukupi atau lebih daripada 2 qullah, maka air tersebut kekal suci.

Situasi yang hampir sama pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, dalam riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ‏: أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُطْرَحُ فِيهَا الْحِيَضُ وَلَحْمُ الْكِلَابِ وَالنَّتْنُ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ‏: الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْء

Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya: ‘Bolehkah kita berwuduk menggunakan telaga Budha‘ah, iaitu telaga yang dibuangkan ke dalamnya cebisan-cebisan kain yang digunakan oleh perempuan haid, daging anjing dan benda-benda yang berbau busuk?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Sesungguhnya air itu suci lagi menyucikan, tidak ada sesuatu yang menajiskannya’.”

Riwayat Abu Dawud (66)

  1. Kesengajaan Membersihkan Kolam Renang Anjing

Ulama’ telah membahaskan isu kesengajaan untuk bergelumang dengan perkara yang haram, sama ada ianya dibolehkan atau tidak. Fuqaha’ Mazhab Syafi‘i mengatakan bahawa hukum menyentuh anjing itu sendiri tanpa sebarang keperluan adalah haram. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/194; Nihayah al-Muhtaj, 1/185)

Hal ini kerana ia termasuk dalam kategori najis mughallazah (najis yang berat), sehinggakan cara menyucikan najis tersebut juga berat berbanding najis yang lain, iaitu dengan sekali basuhan air tanah dan 6 kali air biasa. Menyentuh najis tanpa sebarang keperluan juga adalah bertentangan dengan sifat orang Muslim itu sendiri. Hal ini kerana sifat seorang Muslim itu suka pada kebersihan dan menjauhi segala perkara kotor serta najis. Bahkan jelas dalam riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Allah SWT sukakan perkara yang baik sahaja. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Baik, Dia tidak akan menerima kecuali yang baik-baik sahaja.”

Riwayat Muslim (1015)

Terdapat pengecualian bagi anjing yang dipelihara kerana keperluan atau hajat yang tertentu, seperti menjaga ternakan, berburu dan menjaga tanaman. Hal ini kerana mungkin terdapat keadaan yang memerlukan seseorang itu untuk menyentuh anjing tersebut untuk mendidiknya atau memandikannya untuk mengelakkan daripada ia dihidapi sebarang penyakit.

Dalam sebuah hadith daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا إِلاَّ كَلْبَ صَيْدٍ أَوْ مَاشِيَةٍ نَقَصَ مِنْ أَجْرِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ

Maksudnya: “Barang siapa yang membela anjing, kecuali anjing untuk berburu, atau menjaga binatang peliharaan, berkuranglah pahalanya sebanyak 2 qirat pada setiap hari.”

Riwayat al-Bukhari (5481) dan Muslim (1574)

Dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا ‌كَلْبَ حَرْثٍ أَوْ ‌مَاشِيَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara anjing, maka akan berkurang pahalanya sebanyak satu qirat (seperti gunung Uhud) setiap hari kecuali anjing yang digunakan untuk tujuan keselamatan atau penternakan.”

Riwayat al-Bukhari (2322)

Imam al-Nawawi menyebutkan, kadar sebenar bagi satu qirat itu hanya diketahui oleh Allah SWT. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/239)

Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa mereka yang sengaja memilih pekerjaan sebagai pembersih kolam renang anjing – sebagai contoh -, dalam keadaan dia mempunyai peluang lain untuk mencari pekerjaan yang tiada padanya tegahan syara‘, maka perbuatan ini sebaiknya dielakkan kerana dikhuatiri akan melanggar apa-apa larangan Islam.

Adapun mereka yang membela anjing kerana terdapat keperluan tertentu, dan mereka perlu untuk membersihkan kolam mandian anjing tersebut, maka mereka ini telah mendapat pengecualian oleh syara‘.

Cara pembersihan dan cuciannya pula mesti bertepatan dengan kaedah yang telah disebutkan oleh syara‘. Jika air kolam itu melebihi 2 qullah, cukup sekadar membuang air tersebut dan membersihkan bekas takungan air seperti biasa.

Jika air kolam itu kurang daripada 2 qullah pula, buang air tersebut dan sertu bekas takungan air dengan 1 kali basuhan air bercampur tanah serta 6 kali basuhan dengan air biasa.

Semoga pencerahan ini dapat menjadi panduan kepada kita, di samping sentiasa berhati-hati dalam isu yang berkaitan dengan anjing atau seumpamanya supaya keharusan yang diberikan tidak disalah gunakan sewenang-wenangnya tanpa tujuan yang dibenarkan oleh syara‘.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply