Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kadang-kadang, kami terbeli buah kurma semasa di kota Madinah dan didapati di dalamnya ada ulat. Adakah harus kita memakan ulat tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالنَّخْلَ بَاسِقَاتٍ لَّهَا طَلْعٌ نَّضِيدٌ

Maksudnya: “Serta pohon-pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis, lagi lebat putiknya;

(Surah Qaf: 10)

Definisi kurma: Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kurma adalah sejenis pohon palma yang buahnya manis dan boleh dimakan. Nama saintifik pohon ini ialah Phoenix dactylifera.

Pada asasnya, dalam mazhab Syafi‘i, hukum memakan ulat adalah diharamkan melainkan ulat yang berada dalam keju, cuka, kacang hijau, buah-buahan dan seumpamanya yang terdiri daripada makanan, yang mana ulat-ulat berkenaan lahir daripada bahan-bahan suci tersebut. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa terdapat tiga pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berkenaan kehalalan ulat ini iaitu:

Pendapat pertama, ia adalah halal untuk dimakan.

Pendapat kedua pula, ia adalah haram untuk dimakan.

Pendapat ketiga, ia halal dimakan bersama makanan yang ia lahir daripadanya, bukan secara terasing kerana haram memakannya secara terasing. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/15)

Begitulah juga sekiranya ulat-ulat itu mati dalam makanan atau benda yang ia dilahirkan daripadanya. Mengikut mazhab Syafi‘i ia dikira sebagai najis disebabkan oleh kematiannya. Akan tetapi mengenai hukum memakannya terdapat tiga pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i iaitu:

Pendapat pertama, halal memakannya bersama benda yang ia dilahirkan daripadanya, bukan secara terasing.

Pendapat kedua, halal memakannya secara mutlak.

Pendapat ketiga, haram memakannya secara mutlak. Justeru, pendapat yang sahih ia dikira sebagai najis tetapi tidak memudaratkan pada memakannya. Oleh itu, terdapat pengecualian dalam hal ini, di mana ia dihalalkan untuk dimakan bersama makanan yang ia dilahirkan daripadanya. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/36-37)

Kami telah menajwab persoalan ini dengan panjang lebar pada soalan 432 Memakan Ulat dalam Buah[1].

Dalam menjawab persoalan di atas, kami memilih pendapat yang menyatakan bahawa ulat yang terdapat di dalam buah-buahan seperti kurma adalah hukumnya tidak najis dan halal dimakan kerana ia termasuk dalam serangga yang tiada darah atau tidak mengalir darah dengan sebab sedikit. Akan tetapi, seelok-eloknya hendaklah dibuang ulat tersebut kerana keluar daripada khilaf. Kaedah menyebut:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Berkenaan dengan kurma yang terdapat padanya ulat, juga kembali kepada seseorang itu atau individu. Boleh jadi seseorang tidak merasa jijik dan boleh memakannya terutamanya ketika termakan. Sedangkan sebahagian yang lain menganggap jijik dan tidak boleh memakannya sehingga boleh membawa kepada muntah. Justeru, hal tersebut terpulang kepada seseorang.

Kami berpendapat, seelok-eloknya dibuangkan ulat tersebut dan bolehlah dimakan kurma seperti biasa.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/432-memakan-ulat-dalam-buah/

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply