Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah orang yang melampau batasan kebenaran dan melakukan kejahatan boleh membawa kepada banyak mudarat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ ۖ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

(Surah al-Baqarah: 7)

Imam al-Baghawi menyebutkan, yakni Allah SWT menutup rapat hati mereka (yang mengingkari), sehinggakan mereka tidak dapat menerima sebarang kebaikan atau memahaminya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/64)

Ayat ini menceritakan berkenaan hukuman terhadap mereka yang kufur dengan ayat-ayat Allah SWT dan rasul-Nya. Kemudian, Allah SWT berfirman:

 فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

Maksudnya: “Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

(Surah al-Baqarah: 10)

Imam al-Qurtubi menafsirkan (مَّرَضٌ) sebagai kerosakan pada akidah, kerana ia berlaku sama ada dengan syak wasangka dan kemunafikan, atau pengingkaran dan pendustaan. Maksudnya, Hati-hati mereka itu telah rosak kerana hilangnya al-‘ismah, taufiq, pemeliharaan dan juga sokongan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 1/197)

Ayat ini mengisahkan berkenaan dengan sikap dan sifat golongan munafik atas tindakan mereka yang bercanggah dengan perintah Allah SWT bahkan mereka lebih bahaya daripada golongan kufur. Ramai ahli tafsir telah menerangkan dengan panjang lebar berkenaan dengan ayat-ayat tersebut.

Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata: “Kesombongan dan kezaliman menghalang seseorang daripada memahami. Semakin seseorang itu bersifat kejam, Allah akan membutakan hatinya daripada melihat kebenaran sehingga dia memusnahkan dirinya sendiri.

كَذَٰلِكَ نَطْبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.

(Surah Yunus: 74)

Betapa pengingkaran mereka dan perdebatan mereka dengan cara yang batil di samping memperolok-olokkan ayat-ayat Allah SWT dan mempersendakannya merupakan antara yang zalim. Allah SWT berfirman:

 إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا ۖ وَإِن تَدْعُهُمْ إِلَى الْهُدَىٰ فَلَن يَهْتَدُوا إِذًا أَبَدًا

Maksudnya: “Sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.

(Surah al-Kahfi: 57)

Marilah sama-sama kita menyuburkan hati kita dengan mendoakan kepada Allah SWT agar sentiasa diberi taufik dan hidayah, ditunjukkan jalan yang benar di samping menjadikan al-Quran al-karim sebagai peneman dan penyejuk mata hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply