Soalan

Adakah isteri boleh memperlekehkan keperluan batin suami?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ianya sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya. Ini seperti hadis daripada Abdullah bin Amr RA, sabda Nabi SAW:

الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia merupakan keseronokan sementara dan keseronokan yang paling baik ialah wanita yang solehah.”

Riwayat Muslim (1467)

Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya: Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka

(Surah al-Baqarah, 187)

Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau al-Fiqh al-Manhaji (4/13-16) menyatakan hikmah perkahwinan di antaranya ialah:

  • Memenuhi keperluan fitrah manusia
  • Mengembangkan masyarakat islam dengan keturunan
  • Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
  • Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
  • Memelihara generasi manusia yang sejahtera
  • Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama

Berdasarkan persoalan di atas, Isteri sama sekali tidak boleh bersikap sedemikian. Islam menyuruh agar isteri sentiasa taat dan patuh pada arahan suami, menolongnya, dan membantunya selagi mana tidak disuruh berbuat maksiat kepada Allah SWT. Para suami diarahkan Allah SWT untuk bermu’asyarah (bergaul) dengan baik terhadap isteri seperti mana firman-Nya:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

(Surah al-Nisa’: 19)

Begitu juga bagi para wanita, Allah mengarahkan mereka bertanggungjawab ke atas keperluan suami mereka:

لَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak);”

(Surah al-Baqarah: 228)

Bahkan perbuatan tersebut boleh membawa kepada nusyuz seorang isteri. Dr. Muhammad Zuhaili mentakrifkan Nusyuz bermaksud derhaka. Dan nusyuz seseorang perempuan ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya. Dan Nusyuz bagi lelaki ke atas wanita adalah meninggalkan tanggungjawabnya dan menyakiti pasangannya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/90)

Firman Allah SWT:

اللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).

(Surah al-Nisa’: 34)

Perbuatan Nusyuz yang dilakukan isteri adalah haram dan ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Ini seperti mana hadis daripada Abi Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: Apabila suami mengajak isteri untuk tidur bersama-sama, kemudian isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, maka malaikat melaknati isterinya sehingga ke pagi.

Riwayat Muslim (1436)

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan Nusyuz seorang itu berlaku dalam pelbagai keadaan dan gambaran. Seperti seorang isteri tidak taat dan tidak patuh kepada suaminya, sebagai contoh keluar rumah tanpa keizinan suaminya tanpa ada keuzuran yang membenarkannya seperti keluar berjumpa dengan qadi dan mencari nafkah bagi membantu suami yang susah. Atau enggan bersetubuh dalam keadaan uzur syarie’ dan sakit. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/92)

Kerasnya ancaman ini menunjukkan betapa pentingnya peranan isteri dalam membantu suami dalam menguruskan naluri seksualnya dan agar tidak terjebak dengan kerosakan akhlak yang tidak diingini seperti zina dan lainnya. Ini juga bererti dalam menunaikan keperluan suami itu dikira ibadah yang diberikan ganjaran oleh Allah SWT.

Justeru, kami nyatakan bahawa adalah tidak wajar seseorang isteri memperlekehkan keperluan seksual suami, ataupun keperluan lain, tanpa alasan yang kukuh seperti mudarat, kerana itu ialah suatu bentuk maksiat dalam agama dan kezaliman antara sesama manusia.

Namun begitu, Jika isteri mengadu kepada qadhi untuk mendapatkan penjelasan ataupun penghakiman mengenai keperluan batin tanpa niat untuk memperlekehkan suami, maka ianya dibenarkan oleh syara’ sebagaimana kisah seorang wanita yang mengadu kepada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ امْرَأَةَ رِفَاعَةَ الْقُرَظِيِّ جَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ رِفَاعَةَ طَلَّقَنِي فَبَتَّ طَلَاقِي، وَإِنِّي نَكَحْتُ بَعْدَهُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الزَّبِيرِ الْقُرَظِيَّ، وَإِنَّمَا مَعَهُ مِثْلُ الْهُدْبَةِ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (لَعَلَّكِ تُرِيدِينَ أَنْ تَرْجِعِي إِلَى رِفَاعَةَ؟ لَا، حَتَّى يَذُوقَ عُسَيْلَتَكِ وَتَذُوقِي عُسَيْلَتَهُ

Maksudnya: Isteri Rifa‘ah al-Qurazi datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Rifa‘ah menjatuhkan talak kepadaku dengan talak tiga. Kemudian, aku bernikah dengan ‘Abd al-Rahman bin al-Zabir al-Qurazi selepasnya, tetapi bersamanya (kemaluan) seperti hujung kain.” Rasulullah SAW bersabda: “Kemungkinan engkau ingin kembali kepada Rifa‘ah? Tidak boleh, sehingga beliau (‘Abd al-Rahman bin al-Zabir) merasai madumu dan engkau merasai madunya (iaitu setelah mereka berdua bersetubuh).”

Riwayat al-Bukhari (5260), Muslim (1433), al-Tirmidzi (1118), al-Nasaie (3408) dan Ahmad (24144)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply