Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ke mana-mana ahli keluarga yang bukan Islam menziarahi kubur ahli keluarganya yang beragama Islam? Jika boleh, apakah yang seharusnya atau patut dilakukan oleh ahli keluarganya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Umat Islam digalakkan untuk menziarahi kubur kerana ia mampu mengingatkan kita bahawa dunia ini hanyalah sebuah tempat persinggahan yang bersifat sementara, dan akhirat adalah tempat pulang yang akan kekal abadi. Dengan menziarahi kubur juga mampu mengingatkan agar sentiasa mempersiapkan diri untuk akhirat.
Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمُ الْآخِرَةَ
Maksudnya: “Pergilah menziarahi kubur, sesungguhnya ia mengingatkan kamu kepada akhirat.”
Riwayat al-Nasa’ie (2034) dan Ibn Majah (1569)
Hukum Orang Bukan Islam Menziarahi Kubur Ahli Keluarganya yang Islam
Pada asasnya, tiada larangan untuk orang bukan Islam untuk memasuki perkuburan orang Islam. Disebutkan juga oleh para ulama bahawa tidak dilarang untuk orang bukan Islam sama-sama mengiringi jenazah orang Islam ke tanah perkuburan dan mendoakan kesejahteraan jenazah. (Lihat Minah al-Jalil, 1/534; Syarh al-Talqin ‘ala al-Fiqh al-Maliki, 4/119)
Al-Khurasyi juga berkata: “Adapun bagi orang kafir yang mengiringinya jenazah orang Islam dan berdoa untuknya, itu tidak ada masalah, dan tidak ada halangan untuk hadir ketika dia dimandikan atau dikafankan, seperti membantu dengan membawa air atau hal sejenisnya. (Lihat Syarh al-Khurasyi ‘ala Mukhtasar al-Khalil, 2/146)
Dalam kitab al-Durar al-Bahiyyah Min al-Fatawa al-Kuwaitiyah, berkenaan fatwa orang bukan Islam masuk ke kawasan perkuburan Islam, mereka menjawab: “Tiada halangan untuk orang bukan Islam memasuki kubur orang Islam untuk mengambil bahagian dalam pengebumian seorang Muslim, asalkan mereka mengikuti adab dan tatacara ziarah kubur dan memasukinya, seperti tidak duduk di atas kubur dan memijaknya.”(Lihat al-Durar al-Bahiyyah Min al-Fatawa al-Kuwaitiyah, 1/237
Tuntasnya, sekali lagi dinyatakan bahawa tiada larangan dalam al-Quran dan al-Hadith yang menegah orang bukan Islam daripada memasuki perkuburan orang Islam, lebih-lebih lagi jika mereka ingin menziarahi kubur ahli keluarganya dalam keadaan berniat baik dan tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan atau menghina maruah orang Islam. Mereka juga dialu-alukan untuk datang jika untuk menziarahi kubur saudara-mara mereka yang Islam, namun sebarang amalan ritual keagamaan bukan Islam adalah dilarang sama sekali.
Namun para petugas tanah perkuburan dan orang Islam umumnya perlu mengingatkan orang bukan Islam akan adab-adab yang perlu dijaga sewaktu berada di tanah perkuburan orang Islam, antaranya:
- Memakai pakaian yang sopan.
- Tidak duduk di atas binaan kubur, melangkah dan memijak tempat jenazah ditanam.
- Tidak meludah dan perkara-perkara lain yang boleh mengotorkan kawasan kubur.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Wallahua`lam.
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445