Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Betul ke jika pakaian kita banyak dan kita tidak pakai pakaian itu, nanti akan disoal di akhirat kelak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا
Maksudnya: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”
(Surah al-Furqan: 67)
Ayat ini menunjukkan bahawa berlebih-lebihan dalam membelanjakan harta — dan lain-lain perkara sehingga membazir — merupakan sebahagian daripada hasutan dan godaan syaitan. Justeru jika seseorang itu membazir, maka sebenarnya dia telah mentaati dan mengikuti syaitan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 368)
Oleh itu, berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan setiap perkara yang kita lakukan di dunia, akan disoal dan dihisab oleh Allah SWT. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:
لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ، وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ
Maksudnya: “Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya tentang umurnya, kemana dihabiskan, tentang ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya untuk apa digunakannya.”
Riwayat al-Tirmidhi (2417)
Oleh itu, berpada-padalah dalam membelanjakan harta agar tidak terjerumus ke lembah pembaziran. Kami nasihatkan sebaiknya apabila terdapat lebihan baju, maka pilihlah baju yang sudah jarang untuk dipakai dan sedekahlah pada mereka yang memerlukan. Boleh jadi orang itu menggunakan pakaian kita dalam beribadah, secara tidak langsung kita perolehi pahala, dengan izin-Nya. Pada hari ini juga, telah banyak stesen/tong untuk barangan terpakai yang telah disediakan seperti di Petronas, Aeon dan sebagainya. Maka, hal ini memudahkan lagi untuk kita memberi sumbangan kepada yang memerlukan.
Kami juga mengesyorkan agar pakaian yang tidak digunakan boleh disedekahkan kepada fakir miskin dan juga orang-orang yang berkeperluan terutamanya pelarian dan mereka yang susah. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya kita meringankan beban mereka.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam beragama dan memahaminya dengan sebaik-baik mungkin. Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا رِزْقًا حَسَنًا وَاسِعًا حَلاَلاً طَيِّبًا مُبَارَكًا وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah berilah kami rezeki yang baik, luas, halal, bersih, diberkati. Dan sesungguhnya Engkau adalah sebaik-baik Pemberi rezeki.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445