Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah mujaddid wujud dalam pelbagai bidang yang memberi sumbangan kepada Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Abi Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلَّ مِئَةٍ سَنَةٍ مَنْ يُجَدَدَ لَهَا دِينَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah membangkit untuk ini umat (Islam) pada kepala bagi tiap-tiap 100 tahun akan seorang (alim atau sekumpulan ulama) yang membaharui baginya akan agamanya.”

Sunan Abi Daud (4270), al-Hakim (522/4) dan Al-Bani dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah (599).

Yang dimaksud dengan “Tajdid al-Din” di sini adalah seperti yang diter angkan oleh beberapa orang ulama yang mu’tabbarin, antaranya:

  • Diriwayat dari faqih Syafi’i yang arif dengan ilmu hadis, al-Allamah Muhamad al- Alaqami (wafat 979 hijrah) berkata: “Sesungguhnya makna at-Tajdid ialah menghidupkan semula perkara yang telah pudar atau lenyap daripada beramal dengan al-Kitab dan as-Sunnah serta berurusan dengan kepastian kedua-duanya.” (Lihat Al-Siraj al-Munir/411, Faidh al-Qadir lil Manawi 281/2)
  • Al-Munawi (wafat 1031 hijrah) berkata mengenai tajdid: “Usaha at-Tajdid ialah usaha menerangkan as-Sunnah daripada al-Bid’ah, dan memperbanyakan sebaran ilmu yang benar serta menolong ahli ilmu dan mematahkan hujah-hujah dan usaha-usaha ahli al-Bid’ah serta menghinakan mereka. Mereka itu berkata dan tidak dapat melakukan usaha tajdid itu, kecuali orang yang alim dengan ilmu-ilmu agama yang zahir dan batin.” (Lihat Faidh al-Qadir lil Manawi 281-282/2)

Hadis di atas secara umumnya menyatakan bahawa akan muncul pada setiap permulaan seratus tahun mereka yang akan mentajdidkan urusan agama bagi umat Islam. Nas nabawi menggunakan perkataan مَنْ yang merupakan di antara lafaz mutlak. Ini menjadikan bahawa, mujaddid (tokoh pembaharuan) itu tidak semestinya bersifat individu semata-mata, dan boleh jadi ianya merupakan sekelompok dari kalangan para ulama.

Imam Al-Zahabi (w. 748 h.) apabila mengulas hadis ini beliau berkata: Pendapat yang aku pegang dari hadis ini adalah, lafaz مَنْ يجَدِدُ itu merujuk kepada jamak (sekumpulan manusia) bukannya individu. (Lihat Tarikh Al-Islam, Al-Zahabi, 23/180).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Muhammad Rasyid Ridha dalam majalah al-Manar berkata: Telah zahir ramai mujaddid yang lain pada setiap kurun dan tajdid mereka bersifat khusus pada satu tempat atau bangsa atau kawasan yang luas atau pun sempit.

Hal ini seperti Abi Ishak al-Syatibi pengarang al-Muwafaqat dan al-I’tisam di Andalus. Waliyullah al-Dihlawi dan Sayyid Muhammad Siddiq Khan di India, Maula Muhammad bin Bir Ali al-Barkawi di Turki, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab di Najd. Al-Muqbili, al-Syaukani dan Ibn al-Wazir di Yaman.

Begitu juga, terdapat mujaddid dalam bidang jihad untuk memepertahankan Islam atau tajdid dalam kerajaannya serta pembukaan negeri. Begitu juga, membangunkan negara. Hal ini cukup ramai di TImur, Barat dan Asia Tengah. Antara mereka seperti Salahuddin al-Ayyubi yang dapat memecahkan penguasaan tentera Salib di samping melenyapkan kerajaan Batiniyyah Ubaidiyyah yang bertapak di Mesir. Begitulah seterusnya di sepanjang zaman sehingga ke zaman kita.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita untuk bersama dengan Islam. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply