Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seorang perawat lelaki yang buta meletakkan tangannya ke atas wanita ajnabiyyah ketika meruqyahnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, kami katakan bahawa seseorang perawat atau peruqyah hendaklah bertakwa kepada Allah, mematuhi perintah-Nya, dan menjauhi larangan-Nya. Mereka juga harus berhati-hati terhadap tipu daya syaitan dan makarnya untuk memfitnah manusia dengan segala jalan dan cara.
Guru kami Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menyebutkan, sesungguhnya syaitan mampu untuk mempengaruhi orang yang melakukan ruqyah dengan perasaan waswas dan lintasan-lintasan. Ia akan mendekati mereka melalui pintu-pintu yang tidak difikirkan sebelumnya, bahkan mungkin dari pintu yang mereka kira sebagai pintu kebaikan, tetapi ternyata ia adalah pintu fitnah dalam agama dan dunia mereka. (Lihat Syarh Zad al-Mustaqni‘, 243/7).
Keduanya, ruqyah mestilah bebas daripada segala larangan dalam agama dan perkara yang diharamkan. Melihat aurat seseorang ketika melakukan rukyah adalah haram, dan menyentuh aurat seseorang ketika meruqyah adalah lebih tegas lagi pengharamannya. Mengenai hal ini, Burhanuddin al-Hanafi ada menyebutkan, tidak halal (yakni tidak boleh) bagi seseorang lelaki untuk menyentuh wajah wanita (ajnabiyyah) mahupun kedua telapak tangannya sekalipun dia aman daripada syahwat. (Lihat Bidayah al-Mubtadi, hlm. 222).
Selain itu, Ibn Nujaim juga dalam kalangan ulama mazhab Hanafi turut menyebutkan, tidak boleh bagi seseorang lelaki untuk menyentuh wajah wanita (yang tidak halal baginya) mahupun tapak tangan wanita tersebut, sekalipun dalam keadaan aman daripada syahwat disebabkan kehadiran mahram (kepada wanita itu) dan bukan dalam keadaan darurat. (Lihat al-Bahr al-Ra’iq, 8/219).
Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa para ashab kami (ulama Syafi‘iyyah) menyebutkan, setiap orang yang diharamkan untuk dilihat, turut diharamkan untuk disentuh, bahkan larangan untuk menyentuhnya adalah lebih tegas lagi. Sesungguhnya dibolehkan seorang lelaki untuk melihat wanita ajnabiyyah jika dia bermaksud untuk mengahwininya, begitu juga ketika dalam konteks jual beli, ketika mengambil dan memberi sesuatu dan seumpamanya. Akan tetapi tetap tidak boleh seseorang lelaki itu menyentuhnya dalam apa-apa urusan tersebut. (Lihat al-Azkar, hlm. 266).
Selain itu, Waliyuddin al-‘Iraqi juga ada menyebutkan, sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah sama sekali tangannya menyentuh tangan wanita selain daripada para isterinya dan hamba-hamba perempuan miliknya, tidak ketika bai‘ah mahupun ketika selainnya. Jadi, apabila Baginda tidak melakukan perkara tersebut dalam keadaan Baginda maksum dan tiadanya keraguan hal itu pada haknya, maka orang lain adalah lebih utama untuk tidak melakukannya. Secara zahirnya, Baginda SAW menjauhi daripada melakukan perkara tersebut kerana hal itu telah diharamkan ke atas dirinya. Oleh itu, keharusan melakukannya tidak dikira termasuk dalam keistimewaannya (ciri-ciri khusus). Para fuqaha dalam kalangan ashab kami dan selain mereka menyebutkan, sesungguhnya haram bagi seseorang lelaki untuk menyentuh wanita ajnabiyyah sekalipun pada bukan aurat mereka seperti wajah, meskipun para ulama berselisih pendapat mengenai keharusan melihatnya ketika mana tanpa syahwat dan tidak ditakuti timbulnya fitnah. Bahkan keharaman menyentuh adalah lebih tegas berbanding keharaman melihat. Pengharaman menyentuh itu adalah selagi mana tidak ada keperluan mendesak seperti bagi tujuan merawat, fasdu (flebotomi), berbekam, mencabut gigi, merawat mata dan seumpamanya yang mana tidak ada dalam kalangan wanita yang mampu untuk melakukannya. Maka dalam situasi darurat (keperluan mendesak) tersebut, dibolehkan bagi seorang lelaki ajnabi untuk menyentuh wanita ketika merawatnya — setakat yang diperlukan dan tidak boleh lebih daripada itu. (Lihat Tarh al-Tathrib, 7/45-46).
Begitu juga seorang lelaki dewasa tidak boleh menyentuh perempuan ajnabiyyah yang bukan mahramnya sekalipun secara berlapik. Mengenai hal ini, Ibn Muflih menyebutkan dalam kitabnya dengan menukilkan daripada Muhammad bin Abdullah bin Mihran bahawa Abu ‘Abdillah — iaitu Imam Ahmad — pernah ditanya mengenai seseorang lelaki bersalaman dengan seorang wanita. Maka, beliau menjawab: “Tidak boleh,” dan beliau sangat tegas dalam hal itu. Aku bertanya: “Bagaimana pula kalau dia bersalaman dengan wanita itu melalui pakaiannya — yakni dalam keadaan berlapik?” Beliau menjawab: “Tidak boleh.” Tambahan lagi, pendapat yang menyatakan haram ini adalah pendapat yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin, dengan alasan bahawa sentuhan adalah lebih berat berbanding melihat. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 2/257).
Di samping itu, menurut Syeikh Ibn Baz, pendapat yang lebih kuat adalah dilarang (yakni haram) untuk melakukan perkara itu (iaitu bersalaman dengan wanita secara berlapik) secara mutlak berdasarkan kepada keumuman hadith Nabi SAW, di mana Baginda SAW bersabda:
إِنِّي لاَ أُصَافِحُ النِّسَاءَ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan para wanita.”
Riwayat Ibn Majah (2984)
Larangan itu juga adalah sebagai mengambil jalan Sadd al-Zari‘ah — yakni menutup pintu atau jalan yang membawa kepada kemudaratan yang lebih besar. (Lihat Hasyiah Majmu‘ah Rasa’il fi al-Hijab wa al-Sufur, hlm. 69).
Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, seorang peruqyah lelaki tidak boleh meletakkan tangannya atau menyentuh pada mana-mana bahagian wanita ajnabiyyah ketika meruqyah, tidak kira secara berlapik mahupun tidak berlapik kerana ia membawa kepada timbulnya fitnah sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas sebelum ini. Malah, larangan dan pengharaman untuk menyentuh adalah lebih tegas berbanding larangan dan pengharaman untuk melihat.
Ahli majlis fatwa al-Lajnah al-Da’imah pernah ditanya mengenai menyentuh badan seorang wanita seperti pada tangannya, dahinya atau lehernya secara langsung tanpa berlapik, dengan alasan untuk memberikan tekanan atau mempersempit keberadaan jin di dalamnya, lebih-lebih lagi tindakan seperti ini dilakukan oleh para doktor di hospital?
Mereka menjawab, tidak boleh bagi seseorang peruqyah lelaki untuk menyentuh mana-mana bahagian pada badan wanita ajnabiyyah yang diruqyahnya, bila mana perkara itu membawa kepada timbulnya fitnah. Sebaliknya peruqyah hendaklah membacakan ayat-ayat ruqyah kepada wanita tersebut tanpa perlu menyentuhnya. Di sana ada perbezaan di antara perbuatan peruqyah dan perbuatan atau amalan doktor. Hal ini kerana doktor boleh jadi dia tidak dapat melakukan rawatan melainkan dengan dia menyentuh tempat yang ingin dirawat. Berbeza pula halnya dengan seorang peruqyah yang mana amalannya hanya melibatkan bacaan ayat-ayat ruqyah dan meniup/menghembus, serta tidak memerlukan kepada sentuhan. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 1/90-91).
Di samping itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga pernah mengingatkan kepada para peruqyah agar tidak meletakkan tangan mereka pada mana-mana bahagian tubuh wanita ajnabiyyah, sama ada secara langsung mahupun secara berlapik. Sesungguhnya jika Allah SWT menghendaki kebaikan dalam bacaan ayat-ayat ruqyah mereka, maka ia akan terjadi tanpa perlu kepada sentuhan. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 22/2).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa seorang peruqyah lelaki tidak boleh menyentuh atau memegang pada mana-mana bahagian wanita ajnabiyyah ketika melakukan rawatan/meruqyah. Ini kerana haram untuk seseorang lelaki menyentuh wanita ajnabiyyah tanpa sebarang keperluan mendesak (darurat). Bahkan bacaan ruqyah boleh terhasil tanpa perlu seorang peruqyah itu menyentuh mana-mana bahagian tubuh wanita itu.
Begitu juga di sana tidak ada bezanya mahupun rukhsah (kelonggaran) diberikan, dari segi hukumnya (larangan menyentuh) kepada peruqyah, sama ada dia dapat melihat atau tidak dapat melihat (buta). Bahkan hukumnya adalah bersifat umum (iaitu sama sahaja) untuk dirinya dan juga orang lain. Apatah lagi melalui sentuhan itu berkemungkinan dapat mendatangkan sesuatu fikiran/lintasan jahat dalam dirinya. Oleh sebab itu, larangan untuk menyentuh adalah lebih tegas berbanding larangan untuk melihat.
Lebih-lebih lagi, hal itu turut menimbulkan fitnah, mendatangkan nafsu syahwat dan boleh memberikan persepsi buruk dan tohmahan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada diri wanita yang dirawat serta ahli keluarganya. Fitnah adalah sesuatu yang mesti dihindari oleh semua pihak. Namun, jika tetap ada keperluan untuk menyentuhnya, mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada beberapa orang wanita atau mahram kepada wanita yang diruqyah itu seperti untuk melihat keadaannya, mengetahui gejala-gejala yang terhasil kesan daripada bacaan ayat-ayat ruqyah dan seumpamanya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445