Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami sifat khutabh Baginda SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا ۚ قُلْ مَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ مِّنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ ۚ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:” Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.

(Surah al-Jumu’ah: 11)

Allah SWT membenarkan mereka untuk mencari rezeki dan apa sahaja yang mereka perlukan dari limpahan dan kurniaan-Nya yang dihalalkan bagi mereka. Namun Allah SWT memerintahkan mereka supaya berzikir mengingati Allah sebanyak-banyaknya dalam semua keadaan mereka. Sama ada mereka berada di masjid atau di luar masjid, mereka perlu sentiasa mengingati Allah dalam apa jua urusan mereka. Semoga dengan banyak mengingati Allah, mereka akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Kemudian, Allah SWT menjelaskan satu peristiwa yang berlaku pada hari Jumaat di dalam Masjid Nabawi di Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Para jemaah Jumaat bergegas keluar dari masjid ketika Baginda sedang menyampaikan khutbah Jumaat di atas mimbar. Mereka keluar untuk menyambut ketibaan rombongan peniaga yang baru sampai ke Madinah dengan membawa banyak barang-barang dagangan atau kerana mereka mendengar sesuatu hiburan lalu mereka keluar dari masjid untuk menyaksikannya.

Kebanyakan dari mereka meninggalkan Nabi SAW berdiri di atas mimbar menyampaikan khutbah. Hanya sebilangan kecil sahaja yang tetap duduk dan setia mendengar khutbah Nabi SAW tersebut. Lalu, Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya menjelaskan kepada mereka bahawa pahala dan ganjaran yang ada di sisi Allah SWT adalah lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan yang mereka saksikan itu. Allah SWT adalah Tuhan yang sebaik-baik pemberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya. (Lihat  Taisir Al-Karim Ar-Rahman, hlm. 863; al-Tahrir wa al-Tanwir, 28/229; al-Tafsir al-Wasit, 14/391; Tafsir al-Bayan, 5/737)

Dalam Islam terlalu banyak ucapan yang disampaikan di khalayak ramai, sama ada secara rasmi sebagai mana yang disebut dalam nas atau secara himpunan beramai-ramai. Dalam Islam, terdapat pelbagai jenis khutbah, antaranya:

  • Khutbah Jumaat
  • Khutbah 2 Hari Raya
  • Khutbah Istisqa’ (Solat Minta Hujan)
  • Khutbah Khusuf (2 gerhana; matahari dan bulan)
  • Khutbah perang
  • Khutbah haji seperti haji wada’ di Arafah dan lain-lain lagi

Antara petunjuk dan pedoman bahawa Rasulullah SAW apabila ingin menyampaikan khutbah, beliau menaiki mimbar atau di tempat yang tinggi, kemudian menghadap manusia atau orang ramai. Kemudian, beliau duduk dan selepas bilal azan, kemudian beliau duduk. Seterusnya, beliau bangun berdiri dan memulakan khutbahnya dengan pujian kepada Allah SWT dan mengucap syahadah. Kemudian, beliau mengingatkan manusia dengan pelbagai nikmat kurniaan Allah SWT. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.A ketika menggambar dan mensifatkan khutbah Rasulullah SAW seraya berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلاَ صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, keras marahnya, seakan baginda sedang memberi amaran tentang bahaya kedatangan tentera musuh”

Begitu juga, Baginda SAW akan menyebut:

أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Maksudnya: “Amma ba‘d, sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah Kitab Allah, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, dan seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan, dan setiap perkara bid’ah itu sesat.”

Riwayat Muslim (867)

Imam al-Nawawi menyebutkan, adalah wajar bagi khatib untuk menghuraikan isi khutbah, meninggikan suaranya, dan menggunakan kalam yang fasih, dan konsisten dengan bahagian di mana dia bercakap, sama ada nasihat berbentuk dorongan atau ancaman. Boleh jadi kemarahan Baginda SAW sangat keras ketika dia memberi amaran tentang sesuatu yang besar. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/156)

Beliau juga memilih pada khutbahnya ucapan yang pendek tetapi mengandungi maksud yang banyak lagi tepat, dikenali sebagai jawami’ul kalim. Beliau mengajarkan sahabatnya mengenai kaedah Islam atau asasnya dan mewasiatkan kepada mereka supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping menerangkan nikmat yang kekal abadi dalam syurga serta melarang mereka daripada kemurkaan Allah SWT dan nerakanya. Itulah sifat khutbah Nabi SAW.

Di samping itu, dikatakan khutbah Nabi SAW tidak sunyi daripada ayat-ayat al-Quran terutamanya peringatan bertaqwa dan pernah sekali dalam khutbahnya beliau membaca surah yang sempurna di atas mimbar.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply