Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada orang kata, khutbah yang pendek tanda khatib atau penyampainya seorang yang faqih atau alim.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا ۚ قُلْ مَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ مِّنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ ۚ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:” Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.”
(Surah al-Jumu’ah: 11)
Allah SWT membenarkan mereka untuk mencari rezeki dan apa sahaja yang mereka perlukan dari limpahan dan kurniaan-Nya yang dihalalkan bagi mereka. Namun Allah SWT memerintahkan mereka supaya berzikir mengingati Allah sebanyak-banyaknya dalam semua keadaan mereka. Sama ada mereka berada di masjid atau di luar masjid, mereka perlu sentiasa mengingati Allah dalam apa jua urusan mereka. Semoga dengan banyak mengingati Allah, mereka akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Kemudian, Allah SWT menjelaskan satu peristiwa yang berlaku pada hari Jumaat di dalam Masjid Nabawi di Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Para jemaah Jumaat bergegas keluar dari masjid ketika Baginda sedang menyampaikan khutbah Jumaat di atas mimbar. Mereka keluar untuk menyambut ketibaan rombongan peniaga yang baru sampai ke Madinah dengan membawa banyak barang-barang dagangan atau kerana mereka mendengar sesuatu hiburan lalu mereka keluar dari masjid untuk menyaksikannya.
Kebanyakan dari mereka meninggalkan Nabi SAW berdiri di atas mimbar menyampaikan khutbah. Hanya sebilangan kecil sahaja yang tetap duduk dan setia mendengar khutbah Nabi SAW tersebut. Lalu, Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya menjelaskan kepada mereka bahawa pahala dan ganjaran yang ada di sisi Allah SWT adalah lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan yang mereka saksikan itu. Allah SWT adalah Tuhan yang sebaik-baik pemberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya. (Lihat Taisir Al-Karim Ar-Rahman, hlm. 863; al-Tahrir wa al-Tanwir, 28/229; al-Tafsir al-Wasit, 14/391; Tafsir al-Bayan, 5/737)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya, dengan syarat khutbah tersebut mempunyai isi dan inti pati untuk mengajak manusia ke arah ketaqwaan, keimanan, perbuatan dan amalan soleh serta menjarakkan daripada sebarang bentuk maksiat dan kemungkaran.
Diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir R.A, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ طُولَ صَلاَةِ الرَّجُلِ وَقِصَرَ خُطْبَتِهِ مَئِنَّةٌ مِنْ فِقْهِهِ فَأَطِيلُوا الصَّلاَةَ وَاقْصُرُوا الْخُطْبَةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya panjang solat seseorang, dan ringkas dalam khutbahnya merupakan bukti kefahaman fiqhnya. Maka panjangkanlah solat kamu dan ringkaskanlah khutbah.”
Riwayat Muslim (869)
Jelas menunjukkan di atas bahawa khutbah yang pendek menunjukkan dan tanda kefaqihan seseorang kerana beliau atau khatib telah memilih jawami’ al-afaz. Lantas, diibaratkannya dengan lafaz yang ringkas lagi jelas, penuh dengan balaghah, tetapi mempunyai maksud yang mendalam. Inilah juga petunjuk Nabi SAW ketika berkhutbah.
Dalam riwayat Jabir bin Samurah R.A berkata:
كَانَتْ صَلاَةُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَصْدًا وَخُطْبَتُهُ قَصْدًا يَقْرَأُ آيَاتٍ مِنَ الْقُرْآنِ وَيُذَكِّرُ النَّاسَ .
Maksudnya: “Adalah solat Rasulullah SAW secara qasdan (sederhana) dan khutbahnya secara qasdan (sederhana). Baginda SAW membaca beberapa ayat daripada al-Quran dan memberi peringatan kepada orang ramai.”
Riwayat Muslim (866), Abu Dawud (1101), al-Nasa’ie (1582) dan Ahmad (21026)
Para ulama mengertikan makna قَصْدًا dengan maksud pertengahan di antara panjang dan pendek. Justeru, dapatlah difahami khutbah Rasulullah SAW tidak menjemukan tetapi sebaliknya menarik perhatian para sahabat untuk menekuni dan mengambil iktibar di samping mendapat istifadah yang banyak.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445