Soalan
Siapakah yang lebih berhak untuk mendapatkan hak jagaan anak selepas bercerai?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Penjagaan anak atau dari segi istilah syara’ disebut sebagai hadhanah bermaksud:
- Menurut Syeikh Ali al-Jurjani, “hadhanah” ialah: “تربية الولد” (pengasuhan anak). (Lihat al-Ta`rifat, hlm. 88)
- Menurut al-Mu`jam al-Wasit (1/182) kalimah “hadhanah” bermaksud:“Wilayah kuasa ke atas kanak-kanak untuk mendidiknya dan menguruskan urusannya.”
- Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab (13/122) menyebut: “Al-Hidhnu ialah bahagian badan di bawah ketiak hingga rusuk. Dikatakan; ia adalah dada dan dua lengan serta kawasan antara keduanya. Kata jamaknya ialah ahdhan. Disebut juga sebagai ihtidhan, yang bererti “engkau menanggung sesuatu dan menjadikannya di bawah jagaan engkau,” seperti mana seorang perempuan menjaga anaknya lalu mendokongnya di salah satu daripada bahagian sisinya.”
- Imam al-Nawawi berkata: “al-Hadhanah dengan difatahkan ha’, ialah “pengasuhan kanak-kanak”; ia diambil daripada (kalimah) al-hidhn dengan dikasrahkan had itu dan (perkataan) jamak/pluralnya ialah ahdhan, yang bererti “sisi”, kerana pengasuhan itu mengumpulkan dia (yakni penjaga) bersama individu yang dijaganya. Justeru disebut ahdhantu al-syai’ bermaksud “aku jadikannya dalam jagaan aku” dan hadhantu al-sobiyy ertinya aku menjaga bayi kecil.” (Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm.30)
- Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/181):“Perkataan hadhanah bermakna penjagaan anak. Dari segi bahasa, hadhanah bermaksud tepi atau sisi. Hal ini demikian kerana penjaga anak mengambil anak yang dijaga ke sisinya.”
Manakala menurut definisi istilah Syarak, maksudnya tidak jauh berbeza daripada sudut bahasa
- Dalam Raudhah al-Talibin oleh Imam al-Nawawi, “hadhanah” bererti:“Mendirikan (hak-hak) dengan menjaga orang yang tidak mumaiyiz dan tidak berdikari untuk dengan urusan diri sendiri, dan mengasuhnya dengan apa yang layak untuknya dan memeliharanya daripada apa yang menyakitinya.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/98)
- Imam al-Nawawi berkata dalam Minhaj al-Talibin: “Penjagaan individu yang tidak dapat berdikari serta mendidik atau mengasuhnya.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 266)
- Imam al-Khatib al-Syarbini menghuraikan definisi di atas dengan kata beliau: “(Makna “hadhanah”) daripada sudut Syarak ialah [menjaga individu yang tidak dapat berdikari] daripada menguruskan diri sendiri, (dan) memeliharanya daripada setiap sesuatu yang menyakitinya lantaran ketidakmampuan jagaan itu untuk melakukan tamyiz (membezakan baik dan buruk), seperti kanak-kanak dan orang gila yang dewasa; [serta mendidik atau mengasuhnya] yakni membesarkan anak jagaan dengan apa yang sesuai dan munasabah, pada perlaksanaannya, dengan memberikan makan, minum dan seumpamnya… dan belanja untuk penjagaan itu datang dari harta anak jagaan, jika tiada baginya harta, maka tanggungjawab itu adalah ke atas individu yang menanggung nafkahnya. Ini kerana penjagaan itu adalah salah satu sebab kifayah seperti nafkah; dan oleh kerana itu bab penjagaan disebut selepas bab nafkah-nafkah. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/191)
- Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji: “Menurut Syara’, ianya bermaksud menjaga seseorang yang belum berupaya mengurus diri dan mendidiknya dengan pelbagai cara yang sesuai dengan pembesarannya. Bagi kanak-kanak yang masih kecil, hadhanah berakhir sehingga umur mumayyiz.”
Penjagaan kanak-kanak selepas umur mumayyiz sehingga baligh dinamakan kafalah, yang bermakna memelihara.”
Daripada Abdullah bin `Amr R.Anhuma ketika mana datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي
Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, putting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah”
Riwayat Abu Dawud (2276). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Syarh al-Sunnah, (9/332-333) menyatakan sanad ini hasan.
Berdasarkan dalil di atas begitu juga dengan dalil-dalil yang lain, telah ijma` sekalian muslimin akan pensyariatan hadhanah ini bagi menjaga kebajikan si anak yang masih kecil setelah berlaku penceraian di antara sepasang suami isteri.
Siapa Yang Berhak Mendapat Hak Jagaan Anak
Islam telah menetapkan bahawa yang paling layak mendapat hak jagaan anak setelah terbubarnya sebuah perkahwinan adalah ibu kepada anak-anak tersebut selagi mana si ibu tersebut belum berkahwin dengan suaminya yang baru. Sabda Nabi SAW: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي menunjukkan bahawa ibulah yang berhak mendapatkan jagaan bagi anak kecil tersebut.
Keputusan hadhanah ini akan diputuskan oleh pihak Mahkamah Syariah dan sekiranya si ibu didapati oleh pihak mahkamah hilang kelayakan untuk menjaga anak tersebut, maka ianya akan berpindah kepada salah seorang yang berikut:
- nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
- bapa;
- nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
- kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
- kakak atau adik perempuan seibu;
- kakak atau adik perempuan sebapa;
- anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
- anak perempuan dari kakak atau adik seibu;
- anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
- ibu saudara sebelah ibu;
- ibu saudara sebelah bapa;
- waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:
Dengan syarat jagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.
Kelayakan Yang Diperlukan Untuk Jagaan
Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika:
- dia adalah seorang Islam;
- dia adalah sempurna akal;
- dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
- dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
- dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Hilangnya Hak Jagaan
Seperti yang disebutkan sebelum ini, hak jagaan anak selepas berlakunya perceraian akan diberikan kepada si ibu, namun dalam beberapa keadaan tertentu, hak jagaan itu boleh hilang dan diantaranya:
- jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
- jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
- jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
- jika perempuan itu murtad;
- jika perempuan itu mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.
Berterusannya hak jagaan bermula daripada lahirnya anak itu sehingga mumayyiz, iaitu bolehnya kanak-kanak tersebut menyelesaikan urusannya yang khusus tanpa memerlukan bantuan orang lain seperti boleh makan dan minum dengan sendiri, boleh menguruskan diri sendiri ketika qadha’ hajat, membersihkan dirinya dari kotoran dan juga bleh melakukan ibadah taharah (bersuci) daripada wudhu’ dan sebagainya.
Ditetapkan umur bagi mumayyiz itu setelah sampai umurnya 7 tahun kerana pada kebiasaannya pada umur inilah kanak-kanak itu dikira sebagai mumayyiz. Boleh jadi juga setelah sampai umurnya 8 tahun mengikut keadaan kanak-kanak tersebut dan mumayyiz ini bukanlah semata-mata ditentukan dengan nilaian umur. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/306-307)
Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan sedikit maklumat bagi mereka diluar sana dalam memahami isu hak jagaan anak yang masih kecil sekiranya berlaku perceraian. Hadhanah ini tidak lain dan tidak bukan adalah bagi menguruskan tanggungjawab berkaitan kemaslahatan anak kecil tersebut sehingga tidak berlaku kezaliman ke atas mereka dan juga tidak terabai. Wallahu a’lam.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H