Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah pasangan yang belum halal keluar makan berdua di tempat awam dengan niat untuk berkenalan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Imam Ibn Kathir mengatakan, Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya dari perbuatan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. “Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji”, yakni dosa yang besar dan suatu jalan yang buruk. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/67)

Antara perkara-perkara yang boleh mendekat diri seseorang kepada zina termasuklah dengan pandangan, ucapan, dan bayangan serta keinginan dalam hati. Ini thabit berdasarkan hadith yang daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6243) dan Muslim (2657)

Berdasarkan dalil di atas, jelas menunjukkan bahawa perintah Allah SWT supaya “jangan mendekati zina” melalui apa cara atau jalan sekalipun yang boleh membawa kepadanya seperti pandangan mata, sentuhan, pertuturan yang memikat, dan berkhalwat. Semua perkara ini jika bertujuan untuk memenuhi syahwat hati maka hukumnya adalah haram dan wajib dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil.

Berkenaan isu ini, kami juga telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2607: Berbalas Surat dengan Orang yang Kita Sukai[1]

#3146: Cara Berkenalan (Taaruf) Sebelum Berkahwin[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum makan atau keluar berduaan tanpa ikatan yang halal (berkahwin) meskipun di tempat awam adalah haram hukumnya kerana ia boleh mendatangkan fitnah dan seumpamanya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW pernah memalingkan wajah al-Fadhl bin ‘Abbas apabila dia melihat seorang wanita, seraya Baginda SAW bersabda:

رَأَيْتُ شَابًّا وَشَابَّةً فَلَمْ آمَنِ الشَّيْطَانَ عَلَيْهِمَا

Maksudnya: “Aku melihat seorang pemuda dan seorang pemudi, dan syaitan tidak akan meninggalkan keduanya aman.”

Riwayat al-Tirmizi (885) dan Ahmad (1348)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, prinsip asasnya adalah apa-apa yang menjadi punca kepada fitnah adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, pintu kepada keburukan perlu ditutup, kecuali jika terdapat manfaat yang kuat yang tidak bertentangan dengan syara‘. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 15/419)

Nasihat kami sekiranya mahu bertaaruf atau berkenalan, sebaiknya adalah dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Islam tidak larang untuk mencintai/menyukai kerana fitrah manusia untuk mencintai sesama pasangan lelaki dan perempuan. Namun, terdapat batasan dan landasan yang telah diletakkan oleh syarak agar ia tidak mengundang kepada perkara-perkara yang buruk. Terdapat sebuah hadith yang boleh menjadi pedoman kepada kita agar sentiasa menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita. Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid dan Sa‘id bin Zaid R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِي النَّاسِ فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Selepas aku meninggal, tidak ada fitnah yang lebih memudharatkan pada manusia melainkan fitnah perempuan ke atas lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5096) dan Muslim (2741)

Oleh itu, meskipun makan di tempat awam, ia tetap dikira berdosa kerana berduaan. Maka, sekiranya ingin makan bersama, maka bawalah mahram perempuan tersebut seperti ayah atau ibu atau adik-beradiknya dan makan dalam satu meja bersama.

Semoga dengan penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam memahami syariat Islam dengan lebih baik. Wallahu a’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/2607-berbalas-surat-dengan-orang-yang-kita-sukai/

[2] https://maktabahalbakri.com/3146-cara-berkenalan-taaruf-sebelum-berkahwin/

 

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply