Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya hendak bertanya; jika saya tidak hafal doa qunut, sahkah solat Subuh saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik beliau berkata :

مَا زَالَ رُسُولُ اللهِ ﷺ يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ حَتَّى فَارَقَ الدُنْيَا

Maksudnya: Rasulullah SAW masih membaca doa qunut dalm solat subuh sehingga Baginda wafat.

Riwayat Ahmad (12657), Ibn Hajar al-A’sqalani menilai hadith ini sebagai Hasan dalam Futuhat al-Rabbaniyyah, hlm.2/287)

Doa qunut ini disunatkan dibaca di dalam solat sunat witir dan juga solat fardhu subuh berdasarkan mazhab al-Syafi’e. Bacaan di dalam qunut ini warid daripada Nabi SAW sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Hasan bin Ali R.anhuma, katanya:

 عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي قُنُوتِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ.

Maksudnya: Rasulullah SAW mengajarkan kepadaku kalimah-kalimah yang aku baca dalam qunut witir: “Ya Allah, berikan petunjuk kepada ku sebagaimana orang-orang yang telah Kau berikan hidayah. Berikan aku keselamatan sebagaimana orang-orang yang telah Kau berikan keselamatan. Jadikan aku sebagai wali sebagaimana mereka yang telah Kau jadikan wali. Berkati untuk aku apa yang telah Kau berikan kepada ku, selamatkan ku daripada keburukan yang telah Kau takdirkan. Sesungguhnya Kau yang mentakdirkan dan tiada sesiapa mentakdirkan ke atas Mu. Tidak akan dizalimi orang yang Kau jadikan wali. Tiada kekuatan untuk sesiapa yang engkau Musuhi. Tuhan kami, Kau yang penuh keberkatan dan maha tinggi.

Riwayat Abu Dawud (1425), al-Tirmidzi (464), al-Nasaie (1745), dan Ahmad (1718)

Al-Khatib al-Syarbini menyatakan: Disunatkan membaca qunut subuh ketika I’tida’ pada rakaat yang ke dua selepas membaca doa I’tidal’, ini juga sepertimana yang disebutkan oleh al-baghawi dan dibenarkan oleh al-Isnawi. Beliau menukalkan lagi bahawa al-Mawardi menyatakan : Tempat untuk membaca qunut adalah selepas selasai dari membaca “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَك الْحَمْدُ”. (Lihat Mughni al Muhtaj, 1/368)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum membaca doa qunut adalah sunat Aba’d menurut mazhab Syafi’e dan apabila seseorang itu tertinggal atau terlupa doa qunut, maka disunatkan untuknya sujud sahwi. Oleh itu, seseorang yang tidak hafal doa qunut, sah solatnya kerana hukum membaca qunut adalah sunat. Namun, nasihat kami sebaiknya berusahalah untuk menghafalnya agar ia dapat dipraktikkan di dalam solat. Begitu juga, sekiranya saudara menjadi imam di surau/masjid, maka alangkah baiknya saudara dapat membacanya ketika solat dan dapat mengikut uruf setempat kerana lazimnya masyarakat di Malaysia mengamalkan mazhab Syafi’e.

Kami syorkan agar saudara selalu ke masjid untuk solat Subuh kerana dengan cara itu anda dapat mengingati doa Qunut dan mengaminkannya. Begitu juga, saudara boleh rujuk dalam Youtube atau melalui cakera padat yang menghimpunkan doa Qunut untuk diulang-ulang bagi mengingatinya.

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply