Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Betul ke orang yang mengamalkan surah al-Waqiah tidak akan ditimpa kefakiran? Minta penjelasan Dr.
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ
Maksudnya: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.
Riwayat al-Tirmizi (2910)
Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.
Riwayat Muslim (804)
Kelebihan Membaca Surah al-Waqiah
Terdapat pelbagai hadis dan riwayat tertentu yang menceritakan tentang kelebihan dan fadhilat beramal dengan surah tertentu bagi mendapat manfaat di dunia serta akhirat.
Ini seperti pengamalan membaca surah al-Waqiah, Imam Syaukani menyatakan di dalam tafsirnya bahawa Surah al-Waqiah mengandungi Sembilan puluh tujuh ayat atau sembilan puluh enam ayat dan diturunkan di Makkah. (Lihat Fathu al-Qadir, 5/176).
Di antara kelebihan membaca surah al-Waqiah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” (Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)
Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya menukilkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW:
سُورَةُ الْوَاقِعَةِ سُورَةُ الْغِنَى، فَاقْرَؤُوهَا، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ
Maksudnya: Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu. (Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176)
Selain itu, Dr Wahbah Zuhaili menukilkan sebuah hadith yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:
أَتَخْشَى عَلَى بَنَاتِي الْفَقْرَ؟ إِنِّي أَمَرْتُ بَنَاتِي يَقْرَأْنَ كُلَّ لَيْلَةٍ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ، إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ كُلَّ لَيْلَةٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَدًا
Maksudnya: Apakah kamu risau akan putri-putriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan putriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)
Sesungguhnya, ramai para ulama yang memberi kecaknaan berkenaan dengan surah al-Waqiah untuk diamalkannya. Terutamanya, yang terkait dengan amalan yang dilazimi seterusnya usaha yang peru dilaksanakannya.
Justeru itu, kami katakan meskipun hadith berkenaan membaca Surah al-Waqiah ini bertaraf dhaif, namun tidak menjadi masalah untuk mengamalkannya, moga-moga dengan membacanya kita dapat perolehi syafaat dan kelebihan darinya. Begitu juga, ramai ulama yang mengesyorkan untuk membacanya, maka sama-samalah kita mengamalkannya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445