Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud talaqqi sebenarnya? Apakah hukum membaca alquran tanpa talaqqi? Saya tiada tahu ilmu talaqqi, saya tahu membaca alquran dan terjemahan dia sahaja dan saya tahu sebutan saya ada yang tidak berapa betul. Bagaimanakah dengan bacaan alquran saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Membaca al-Quran termasuk dalam ibadah. Pada setiap ayat dan kalimatnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ: آلِمُ حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلْفُ حَرْفٍ وَمِيمٍ حَرْفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2360: Mempelajari al-Quran Tanpa Guru[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan maksud talaqqi dari segi bahasa bermaksud bersemuka/berjumpa. Ertinya seseorang yang belajar ilmu secara berhadapan/langsung dengan gurunya. Oleh itu, sebaiknya dalam kita mempelajari sesuatu ilmu terutamanya ilmu-ilmu berkaitan agama, maka sebaiknya belajarlah dengan guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut. Dengan cara itu, bacaan kita akan lebih tepat dan betul kerana dapat dibetulkan secara langsung oleh guru. Malah, dengan bertalaqqi juga seseorang itu mendapat keberkatan ilmu.

Sekiranya hanya sekadar untuk melihat terjemahan dari ayat al-Quran yang dibaca, maka ianya dibolehkan. Namun, sekiranya mahu memahami dengan lebih mendalam lagi (tadabbur), maka bergurulah dengan guru yang mendalami dalam bidang tafsir. Sebagaimana firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

Surah al-Nahl (43)

Kami katakan bahawa para salafussoleh bahkan bermula dengan Rasulullah SAW menerima al-Quran secara bertalaqqi dan ia berlangusngan sehingga ke hari ini. Kami nukilkan dari buku kami seperti berikut:

Bacaan Rasulullah SAW bukanlah hafazan semata-mata, tetapi bacaan untuk difahami dan diingati. Imam al-Bukhari ada menceritakan bahawa pada peringkat awal penurunan wahyu, Rasulullah SAW sentiasa menggerakkan lidahnya mengulangi ayat-ayat al-Quran walaupun ayat tersebut belum sempurna dibaca oleh Jibril AS dan ini mengganggu bacaan Jibril AS. Baginda SAW bersungguh-sungguh melakukan itu hanya kerana mahu segera mengingati ayat-ayat tersebut dan bimbang ayat tersebut mungkin dilupainya. Lantas Allah SWT menasihati Baginda SAW agar berhenti daripada melakukan perkara tersebut. Seterusnya Allah SWT menjamin akan memastikan Rasulullah SAW dapat menghafaz segala ayat al-Quran dengan baik sebagaimana firman Allah SWT:

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ ‎﴿١٦﴾‏ إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ‎﴿١٧﴾‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu menggerakkan lidahmu untuk membaca al-Quran kerana hendak cepat (dan terburu-buru untuk menguasainya). Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulnya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacanya maka ikutilah bacaan itu.

(Surah al-Qiyamah: 16-18)

Untuk menjamin ketepatan dan keutuhan ayat-ayat al-Quran di dada Rasulullah SAW, Jibril AS juga turut membantu dengan sentiasa datang bertadarus bersama Baginda SAW. Imam al-Bukhari ada meriwayatkan sebuah kisah daripada Ibn Abbas R.Anhuma, secara ringkasnya, Ibn Abbas R.Anhuma berkata bahawa Jibril AS datang menemui Rasulullah SAW pada setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka berdua secara bertadarus membaca al-Quran. Ketika Jibril AS membaca al-Quran, Rasulullah SAW akan mendengar dengan teliti bacaan tersebut dan begitulah sebaliknya.

Fatimah R.Anha juga pernah meriwayatkan sebuah hadis di mana Rasulullah SAW sendiri menyebut bahawa Jibril AS mendatanginya sekali setiap tahun untuk bertadarus al-Quran dan Jibril AS mendatanginya dua kali pada tahun kematiannya untuk bertadarus al-Quran. (Lihat Tips Hafazan al-Quran, hlm. 34-35)

Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kepada hati kefahaman dalam agama serta cintakan al-Quran dan dapat mentadabburinya.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

[1] https://maktabahalbakri.com/2360-mempelajari-al-quran-tanpa-guru/

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply