#345 Hafazan al-Quran Sebagai Mahar

Soalan

Adakah dibolehkan untuk menggunakan hafazan al-Quran sebagai mahar.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Mahar ialah pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan ianya juga dinamakan dengan mas kahwin[1]

Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib  sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.”[2]

Syeikh Muhammad Al-Zuhayli menyatakan bahawa Mahar di sisi istilah fiqh pula membawa maksud sesuatu harta yang wajib diserahkan oleh pihak lelaki kepada perempuan kerana berlakunya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya. Istilah mahar juga disebut juga dengan al-Sodaaq di dalam kitab-kitab fiqh bahkan terdapat juga nama-nama yang lain diberikan untuk mahar yang mana kesemua istilah tersebut terdapat di dalam Al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.[3]

Firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya: Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.[4]

Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati.[5]

Orang yang diperintahkan untuk memberi mas kahwin ini ialah para suami. Begitu juga firman Allah SWT:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُم بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajipan.[6]

Seterusnya, Allah SWT berfirman:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: Tidak ada kewajiban membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya.[7]

Mas Kahwin dengan Hafalan al-Quran

Melihat keadaan mas kahwin ini, yang namanya mahar itu, pada asalnya ialah benda. Melainkan kepada orang yang tidak mempunyai benda sesuatu. Contohnya seseorang itu mempunyai kepakaran untuk mengajar mengaji dan sebagainya maka ianya dibolehkan.

Tetapi pada asalnya, hendaklah memberikan sesuatu benda  yang berharga. Disebabkan itulah Nabi SAW menyebut:

الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya“Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi”[8]

Iaitu walaupun sebentuk cincin besi, sebagai benda yang kita boleh lihat maka itulah yang sebenarnya.

Berdasarkan persoalan di atas, menjadikan hafazan al-Quran itu sebagai mahar adalah dengan maksud suami mengajar isterinya akan al-Quran sehingga dia boleh membaca sepertimana disebut di dalam hadith.

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, beliau berkata:

أَتَتِ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا لِى فِى النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ. فَقَالَ رَجُلٌ زَوِّجْنِيهَا. قَالَ: أَعْطِهَا ثَوْبًا. قَالَ لاَ أَجِدُ. قَالَ: أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ. فَاعْتَلَّ لَه. فَقَالَ: مَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ. قَالَ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Aku tidak berhajat kepada perempuan.” Lalu seorang lelaki berkata: “Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu.” Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya.”

Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.” Lelaki itu menjawab dia tidak memilikinya. Baginda bersabda: “Adakah ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal?” Dia menjawab: “Ada sekian dan sekian.” Baginda pun bersabda: “Aku kahwinkan engkau dengan perempuan itu dengan ayat-ayat al-Quran yang ada padamu.”[9]

Di dalam satu riwayat Muslim, disebutkan:

انْطَلِقْ فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا فَعَلِّمْهَا مِنْ الْقُرْآنِ

Maksudnya“Pergilah, aku telah menikahkanmu dengan wanita itu. Ajarkanlah dia daripada al-Qur’an.”[10]

Imam al-Nawawi berkata: “Di dalam hadith ini terdapat dalil akan bolehnya mahar berupa pengajaran al-Qur’an.” [11]

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah[12] menyatakan:

“Jumhur fuqaha daripada mazhab Maliki, Syafi’ie dan Hanbali menyatakan bahawa segala sesuatu yang bernilai atau bayaran maka ia dibenarkan untuk dijadikan sebagai mas kahwin, manakala Mazhab Hanafi menyatakan bahawa mas kahwin itu apa-apa jenis harta yang bernilai di sisi manusia. Jika ia dinamakan sebagai harta, maka sah maharnya. Jika tidak dinamakan sebagai harta, maka tidak sah maharnya.

Jumhur ulama’ berpandangan bahawa mahar adalah faedah dan manfaat yang boleh diambil pampasan daripadanya.

Mazhab Syafi’ie, Hanbali, dan Mazhab Maliki pada pandangan masyhur berpandangan bahawa dibolehkan untuk manfaat dijadikan sebagai mas kahwin, berdasarkan prinsip mereka bahawa segala sesuatu yang boleh diambil sebagai pampasan: maka sah untuk dipanggil mahar. Sah untuk suami menjadikan manfaat sebagai mahar seperti memberikan rumahnya, tunggangannya atau hambanya selama setahun untuk manfaat isterinya, atau suami menjadikan khidmat dia sebagai mahar seperti dia berkhidmat untuk bercucuk tanam, atau membina rumah atau menjahit baju, atau memberinya khidmat untuk musafir haji sebagai contohnya.

Berdasarkan persoalan di atas, sekiranya suami tersebut menjadikan hafazan al-Quran sebagai mahar, hukumnya adalah tidak sah kerana hafazan al-Quran seorang lelaki atau suami hanya manfaat untuk dirinya dan bukanlah manfaat yang boleh diberikan oleh suami kepada isterinya untuk dijadikan sebagai mahar. Melainkan jika suami menjadikan maharnya untuk dia mengajarkan al-Qur’an kepada isterinya, maka ia boleh dijadikan mahar berdasarkan pandangan yang tepat. Hal ini kerana pengajaran melibatkan kesusahan, dan juga masa, dan kebiasaannya proses pengajaran ini bernilai dan kebiasaannya akan dibayar atas perkhidmatan tersebut.

Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa harus memberikan mahar dengan mengajar isteri sehingga dia pandai membaca al-Quran. Hal ini kerana mengajar isteri al-Quran merupakan satu manfaat yang boleh isteri dapatkan sehingga dia boleh membaca al-Quran dengan lancar dan memahaminya. Namun, perlu diingat, bahawa keutamaannya adalah dengan memberikan harta kebendaan yang bernilai seperti wang ringgit, emas, hartanah dan seumpamanya. Sekiranya tidak berkemampuan, barulah diberi mahar tersebut dengan pengajaran al-Quran sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith Sahl bin Sa’ad RA yang kami nyatakan di atas.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat Kamus Dewan Edisi ke-4, hlm. 975.

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75

[3] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/109-110

[4] Surah al-Nisa’: 4

[5] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235

[6] Surah al-Nisa’: 24

[7] Surah al-Baqarah: 236

[8] Riwayat al-Bukhari (5135)

[9] Riwayat al-Bukhari (4741)

[10] Riwayat Muslim (1425)

[11] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/214

[12] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 39/155-156

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *