Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 56 daripada surah al-Ahzab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

(Surah al-Ahzab: 56)

Imam Bukhari mengatakan, Abul Aliyah telah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan selawat dari Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Di kalangan para malaikat, dan selawat dari para malaikat ialah doa mereka untuknya. Ibn Abbas mengatakan bahawa makna يُصَلُّونَ ialah memberikan keberkatan. Demikianlah menurut apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari secara ta’liq (merujuk pandangan) yang bersumber dari keduanya (Abul Aliyah dan Ibn Abbas).

Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Ja’far al-Razi, dari al-Rabi’ Ibn Anas, dari Abul Aliyah. Hal yang sama telah diriwayatkan pula dari al-Rabi’. Ali Ibn Abu Talhah telah meriwayatkan hal yang sama dari Ibn Abbas. Kedua riwayat yang terakhir diketengahkan oleh Ibn Abu Hatim.

Abu Isa al-Tirmizi mengatakan, telah diriwayatkan dari Sufyan al-Thauri dan lainnya yang bukan hanya seorang dari kalangan ulama; mereka mengatakan bahawa selawat dari Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.

Kemudian Ibn Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Amr al-Audi, telah menceritakan kepada kami Waki’, dari al-A’masy, dari Amr Ibn Murrah yang mengatakan bahawa ia merasa yakin bahawa al-A’masy meriwayatkannya dari Ata Ibn Abu Rabah sehubungan dengan makna firman-Nya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. (Al-Ahzab: 56) bahawa selawat dari Allah SWT ialah firman-Nya, “Maha Suci, rahmat-Ku mendahului azab-Ku.”

Makna yang dimaksud dari ayat ini ialah Allah SWT memberitahu kepada hamba-hamba-Nya tentang kedudukan hamba dan Nabi-Nya di kalangan makhluk-Nya yang tertinggi (para malaikat), bahawa Dia memujinya di kalangan para malaikat yang terdekat dengan-Nya, dan bahawa para malaikat pun ikut berselawat untuknya. Kemudian Allah SWT memerintahkan kepada penghuni alam bawah (bumi) untuk berselawat dan bersalam untuk Nabi SAW. Dengan demikian, maka terhimpunlah baginya pujian dari kalangan penduduk alam atas dan alam bawah.

Ibn Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali Ibn al-Husain, telah menceritakan kepada kami Ahmad Ibn Abdur Rahman, telah menceritakan kepadaku ayahku, dari ayahnya, dari Asy’as Ibn Ishaq, dari Ja’far Ibnl Mugirah, dari Sa’id Ibn Jubair, dari Ibn Abbas, bahawa salah seorang nabi kaum Bani Israil berkata kepada Musa AS, “Apakah Tuhanmu pernah mengucapkan selawat?” Maka Tuhan menyeru Musa, “Hai Musa, mereka menanyakan kepadamu, apakah Tuhanmu pernah mengucapkan selawat? Katakanlah, ‘Ya.’ Aku selalu berselawat dan juga para malaikat-Ku buat para nabi dan para rasul-­Ku.” Dan Allah SWT menurunkan kepada Nabi-Nya firman berikut: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

Menjawab persoalan di atas, kami bahagikan dua khabar iaitu:

Pertama: Allah mengkhabarkan tentang zat-Nya Yang Maha Tinggi bahawa Dia berselawat kepada Nabi SAW.

Kedua: Dia mengkhabarkan tentang malaikat-Nya yang mulia semuanya berselawat ke atas Nabi SAW.

Ini menunjukkan bahawa Allah SWT berselawat ke atas Nabi SAW dan para malaikat juga berselawat ke atas Nabi SAW.

Dua perintah iaitu:

Pertama: Firman Allah SWT “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ” Yang memberi maksud, “wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya,” Ini merupakan perintah daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman supaya selawat ke atas Nabi-Nya Muhammad SAW.

Kedua: Firman Allah SWT “ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ” Yang memberi maksud, “serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” Hendaklah kamu mengucap salam ke atas nabi ini dengan penghormatan yang sempurna.

Kedua-dua perintah ini kepada khalayak masyarakat adalah perintah kemuliaan dan taklif. Berbanding dengan malaikat yang hanya diperintahkan secara kemuliaan sahaja. Dua perkhabaran ini telah mengangkat dari ahli kemuliaan yang tinggi. Sedangkan dua perintah yang penitng bagi khalayak yang rendah untuk mengikuti apa  yang dilakukan pada kemuliaan yang tinggi.

Ini menunjukkan pujian yang diperolehi oleh Rasulullah SAW dari Yang Maha Tinggi dan dari hamba Allah SWT di muka bumi. (Lihat Sawanih fi Ma’ani, hlm. 13-15)

Ayat ini dimulakan dengan jumlah ismiyyah sebagai mana firman Allah SWT:

“إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ” Antara faedah jumlah ismiyyah adalah bersifat dawam dan istimrar yakni kekal dan berterusan. Justeru, maksudnya bahawa Allah SWT dan para malaikat-Nya yang mulia sentiasa dan selama-lamanya tanpa henti berselawat ke atas Nabi SAW.

Kemudian datang jumlah fi’liyyah selepas jumlah ismiyyah iaitu firman Allah SWT:

“يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ” Di antara faedah jumlah fi’liyyah ialah berlakunya tajdid atau pembaharuan. Maka, Allah SWT dan malaikat-Nya setiap waktu atau masa mentajdidkan selawat  ke atas Nabi SAW. Justeru, kefahaman keseluruhannya ayat ini menghimpunkan dua jumlah; ismiyyah dan fi’liyyah yang membawa maksud berterusannya selawat Allah SWT dan malaikat-Nya kepada Nabi SAW dan sentiasa diperbaharui waktu demi waktu tanpa terputus.

Ayat ini dimulakan dengan “إِنَّ اللَّهَ” dengan lafaz al-jalalah dan tidak disebut Tuhan kamu atau Tuhan yang bersifat al-Rahman kerana kehendak lafaz al-jalalah menunjukkan kesempurnaa, keagungan dan kehebatan. Ini adalah pandangan jumhur iaitu ism a’zam (agung) bagi Tuhan yang sebenar. Makanya, perintah atau khabar yang datang selepas itu adalah munasabah dengan sebelumnya, menunjukkan kesempurnaan, keagungan dan kehebatan Tuhan.

Perkhabaran tentang selawat Allah SWT dan malaikat kemudian perintah kepada orang beriman supaya berselawat ke atas Rasulullah SAW yang kedua-duanya terbit dengan lafaz yang mulia yang nyata jelas menunjukkan kepentingan perintah dan keagungannya.

Ayat seterusnya disebut “ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ” maka datang dengan sifat kenabian atau nubuwwah bukan dengan nama yang menjadi khilaf ghalib di mana hikayat Allah SWT biasanya menyebut nama-nama nabi-Nya. Ini menandakan satu gambaran jelas khas untuk nabi yang mulia ini bagi kemuliaan dan tinggi kedudukannya.

Kembali kepada persoalan, makna selawat ke atas Nabi SAW pada bahasa dengan makna doa. Justeru, mustahil bagi Allah SWT berdoa untuk yang lain kerana maksud doa memohon manfaat daripada yang lain. Justeru, para ulama telah khilaf dalam menafsirkan maksud selawat daripada Allah SWT dan malaikat kepada beberapa pendapat:

  • Ibn Abbas R.Anhuma memberi pendapat dengan maksud memberkatinya. (Lihat Sahih al-Bukhari, 8/532)
  • Ia adalah rahmat jika daripada Allah SWT dan istighfar jika dari malaikat.
  • Ada pendapat menyebut pujian Allah SWT ke atas Nabi SAW di sisi para malaikat di samping memuliakannya di dunia dengan meninggikan sebutannya, menzahirkan agamanya dan mengekalkan syariahnya. Sedangkan di akhirat pula, akan dikurnia kepadanya syafaat untuk umatnya dan membalas dengan pahala yang besar di samping melebihkannya berbanding dengan mereka yang lain dengan makam yang terpuji.

Berkenaan selawat daripada malaikat, ia juga dengan nama doa kepada Nabi SAW. Al-Allamah al-Alusi menukilkan daripada sebahagian ulama dengan berkata, “Makna selawat adalah berbeza berdasarkan keadaan yang berselwata itu dan yang diselawat baginya dan yang diselawat ke atasnya.”

Fadhilatul Syeikh Abdullah Sirajuddin berkata, “TIdak syak lagi bahawa semua dari ulama salaf tentang makna selawat ke atas nabi adalah sebenar dan sahih. Pandangan dan ucapan mereka tidaklah menyalahi antara satu sama lain hanya ibarat masing-masing sahaja berbeza.”

Justeru, marilah sama-sama kita membanyakkan selawat ke atas Nabi SAW terutamanya pada hari Jumaat sebagai mana perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply