Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ada pertanyaan. Di tempat kerja saya, ada pekerja yang sering di cari bank melalui panggilan telefon pejabat dan saya di suruh untuk memberitahu pegawai bank bahawa beliau bercuti tetapi sebenarnya beliau tidak cuti. Adakah saya berdosa? Apa yang perlu saya lakukan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

‎فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya:Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.”

 Surah al-Hajj (30)

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa telah jelas nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia termasuk dalam perbuatan dosa yang buruk dan suatu keaiban yang keji. Malah, para ulama telah menyatakan ijma‘ akan pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas. (Lihat al-Azkar, hlm. 377)

Lebih-lebih lagi terdapat sebuah hadith mengingatkan supaya menjauhi amalan berdusta agar tidak tercatat di sisi Allah SWT sebagai seorang pendusta. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya:Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.

 Riwayat al-Bukhari (6094)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160)

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan perbuatan menipu merupakan suatu perbuatan yang jelas dilarang dalam Islam dan dianggap berdosa. Oleh itu, dalam isu ini, saudara secara tidak langsung terpalit dalam perbuatan menipu dan itu perkara yang perlu dijauhi. Hal ini kerana sudah menjadi kelaziman dalam pekerjaan, pasti akan ada yang datang untuk merujuk. Justeru, jauhilah perbuatan sebegitu kecuali terdapat tiga situasi yang dibenarkan untuk berbohong bagi kemaslahatan sebagaimana sabda Nabi SAW:

قَالَ ابْنُ شِهَابٍ :وَلَمْ أَسْمَعْ يُرَخَّصُ فِي شَىْءٍ مِمَّا يَقُولُ النَّاسُ كَذِبٌ إِلاَّ فِي ثَلاَثٍ الْحَرْبُ وَالإِصْلاَحُ بَيْنَ النَّاسِ وَحَدِيثُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ وَحَدِيثُ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا

Maksudnya: Kata Ibnu Syihab, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membolehkan orang berdusta melainkan dalam 3 keadaan: Ketika dalam peperangan, dalam mendamaikan dua orang yang berselisih dan percakapan suami kepada isterinya dan percakapan isteri kepada suaminya.”

Riwayat Muslim (2605)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply