Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mohon bertanya berkaitan status cerita taubat seorang ahli Ibadah dan seorang wanita pelacur yang kemudian telah melahirkan 7 orang Nabi daripada keturunan wanita tersebut. Apakah cerita ini sahih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibn al-Jauzi dalam Zam al-Hawa dengan sanadnya berkata: Abd al-Malik bin Abdullah al-Karukhiy mengkhabarkan kepada kami, Abu Abdullah Muhammad bin Ali al-’Umairi menceritakan kepada kami, Muhammad bin Ahmad al-Famiy menceritakan kepada kami, Muhammad bin Ahmad al-Marawaniy menceritakan kepada kami, Muhammad bin al-Munzir Syukr menyampaikan kepada kami, al-Fadhl bin Abd al-Jabbar al-Bahili menyampaikan kepada kami, Ibrahim bin al-Asy’ath menceritakan kepada kami, al-Mu’tamir bin Sulaiman menceritakan kepada kami, katanya: Aku mendengar Abu Ka’ab menyampaikan daripada al-Hasan al-Basri, katanya:

كَانَتِ امْرَأَةٌ بَغِيٌّ لَهَا ثُلْثُ الْحُسْنِ لَا تُمَكِّنُ مِنْ نَفْسِهَا إِلا بِمِائَةِ دِينَارٍ وَإِنَّهُ أَبْصَرَهَا عَابِدٌ فَأَعْجَبَتْهُ فَذَهَبَ وَعَمِلَ بِيَدَيْهِ وَعَالَجَ فَجَمَعَ مِائَةَ دِينَارٍ فَجَاءَ فَقَالَ إِنَّكِ قَدْ أَعْجَبْتِنِي فَانْطَلَقْتُ فَعَمِلْتُ بِيَدَيَّ وَعَالَجْتُ حَتَّى جَمَعْتُ مِائَةَ دِينَارٍ، فَقَالَتِ ادْفَعْهَا إِلَى الْقَهْرَمَانِ حَتَّى يَنْتَقِدَهَا وَيَتَّزِنَهَا فَفَعَلَ فَقَالَتِ انْتَقَدْتَ مِنْهُ مِائَةَ دِينَارٍ قَالَ نَعَمْ قَالَتِ ادْخُلْ وَكَانَ لَهَا مِنَ الْجَمَالِ وَالْهَيْئَةِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِهِ وَكَانَ لَهَا بَيْتٌ مُتَّخَذٌ وَسَرِيرٌ مِنْ ذَهَبٍ فَقَالَتْ هَلُمَّ لَكَ فَلَمَّا جَلَسَ مِنْهَا مَجْلِسَ الْخَائِنِ ذَكَرَ مَقَامَهُ بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ فَأَخَذْتُهُ رَعْدَةٌ وَمَاتَتْ شَهْوَتُهُ فَقَالَ اتركيني فلأخرج وَلَك الْمِائَة دِينَار قَالَتْ مَا بَدَا لَكَ وَقَدْ رَأَيْتَنِي كَمَا زَعَمْتَ فَأَعْجَبْتُكَ فَذَهَبْتَ وَعَالَجْتَ وَكَدَدْتَ حَتَّى جَمَعَتْ مِائَةَ دِينَارٍ فَلَمَّا قَدَرْتَ عَلَيَّ فَعَلْتَ الَّذِي فَعَلْتَ، قَالَ فَرَقٌ مِنَ اللَّهِ وَمَقَامِي بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَقَدْ أُبْغِضْتِ إِلَيَّ، قَالَتْ لإِنْ كُنْتَ صَادِقًا مَالِي زَوْجٌ غَيْرَكَ، قَالَ ذَرِينِي لأَخْرُجَ، قَالَتْ لَا إِلا أَنْ تَجْعَلَ لِي عَهْدًا أَنْ تَزَوَّجَنِي، قَالَ لَا حَتَّى أَخْرُجَ، قَالَتْ فَلِي عَلَيْكَ إِنْ أَنَا أَتَيْتُكَ أَنْ تَزَوَّجَنِي، قَالَ أَجَلْ، قَالَ فَتَقَنَّعَ بِثَوْبِهِ ثُمَّ خَرَجَ إِلَى بَلَدِهِ وَارْتَحَلَتِ الأُخْرَى بِدُنْيَاهَا نَادِمَةً عَلَى مَا كَانَ مِنْهَا حَتَّى قَدِمَتْ بَلَدَهُ فَسَأَلَتْ عَنِ اسْمِهِ وَمَنْزِلِهِ فَدُلَّتْ عَلَيْهِ فَقِيلَ لَهُ الْمَلِكَةُ جَاءَتْ تَسْأَلُ عَنْكَ فَلَمَّا رَآهَا شَهَقَ شَهْقَةً فَمَاتَ، قَالَ فَأُسْقِطَ فِي يَدَيْهَا فَقَالَتْ أَمَّا هَذَا فَقَدْ فَاتَنِي فَهَلْ لَهُ مِنْ قَرِيبٍ قِيلَ أَخُوهُ رَجُلٌ فَقِيرٌ فَقَالَتْ إِنِّي أَتَزَوَّجُكَ حُبًّا لِحُبِّ أَخِيكَ قَالَ فَتَزَوَّجَتْهُ فَوَلَدَتْ لَهُ سَبْعَةُ أَنْبِيَاءَ

MaksudnyaSeorang wanita pelacur yang memiliki sepertiga kecantikan ini tidak boleh didapati kecuali dengan membayar dirinya dengan seratus dinar. Seorang ahli ibadah telah terlihatnya dan dia tertarik padanya. Dia kemudian pergi dan bekerja dengan usahanya sendiri, mengumpulkan seratus dinar, lalu datang kepada wanita tersebut dan berkata, “Kamu menarik perhatianku, aku kemudian pergi dan bekerja dengan usahaku sendiri dan mengumpulkan seratus dinar ini”.

Wanita itu berkata, “Bayarkan wang itu kepada qahraman sehingga dia boleh memeriksa dan menimbangnya.” Dia melakukannya, lalu dia berkata, “Kamu telah memeriksa seratus dinar darinya?” Dia menjawab, “Ya.” Dia berkata, “Masuklah.” Dan dia memiliki kecantikan dan bentuk yang Allah lebih mengetahuinya.

Wanita itu berkata padanya, “Masuklah.” Dia masuk dan wanita itu memiliki tempat tidur dari emas. Kemudian wanita itu berkata, “Marilah padaku.” Ketika dia duduk di sisi wanita itu, dia teringat akan kedudukannya di hadapan Allah. Akibatnya, dia ditimpa petir dan nafsunya pun mati. Dia berkata pada wanita itu, “Biarkan aku keluar, dan seratus dinar itu akan menjadi milikmu.” Wanita itu berkata, “Kenapa kamu melakukan ini setelah kamu telah melihatku dan tertarik padaku, lalu pergi dan bekerja keras untuk mengumpulkan seratus dinar? Ketika kau memiliki kemampuan atasku, kau melakukan apa yang kau lakukan ini?. Dia menjawab, “Ini adalah ketentuan Allah dan kedudukan aku di hadapan-Nya. Kamu sudah membenci aku.” Dia berkata, “Jika kamu berkata jujur, maka tidak ada yang akan menikahimu selain aku.” Dia berkata, “Biarkan aku keluar.”

Wanita itu berkata, “Tidak, kecuali jika kamu setuju untuk menikahiku.” Dia berkata, “Tidak sehingga aku keluar.” Wanita itu berkata, “Oleh itu, hendaklah kamu berjanji bahawa jika aku datang kepadamu, kamu akan berkahwin denganku.” Dia menjawab, “Baiklah.” Lalu dia mengambil pakaiannya dan pergi ke negerinya sendiri. Wanita itu menyesal atas apa yang telah dia lakukan, sehingga wanita itu sampai ke negeri si ahli ibadah itu. Dia kemudian bertanya kepada penduduk negeri itu tentang nama ahli ibadah itu dan tempat tinggalnya, dan ditunjukkan kepada. Ahli ibadah itu diberitahu bahawa ratu (al-Malikah) datang untuk menanyakan tentang kamu. Ketika dia melihatnya, dia terkejut dan meninggal dunia. Dia jatuh di tangan wanita itu, dan wanita itu berkata, “Aku telah kehilangan orang ini. Apakah dia memiliki saudara terdekat?” Mereka berkata, “Saudaranya adalah seorang lelaki miskin.” Wanita itu berkata kepada saudara ahli ibadah itu, “Sesungguhnya aku akan bernikah dengan kamu sebagai kasih sayang kepada saudara kamu.” Wanita itu pun menikahinya, dan Allah mengutus tujuh nabi daripada keturunannya.

Kisah ini diceritakan oleh Ibn al-Jauzi dalam kitab Zam al-Hawa (hlm. 248-249) dengan sanadnya, Ibn Qudamah dalam al-Tawwabin (hlm. 51) dengan sanadnya dalam tajuk (تَوْبَةْ الْعَابِد وَالْمَرْأَة الْبَغِيّ) iaitu ‘Taubat seorang Ahli Ibadah dan Wanita Pelacur’. Juga dinukilkan daripada Ibn al-Qayyim al-Jauzi dalam kitab Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin (hlm. 503) yang mana kisah ini diceritakan al-Hasan al-Basri.

Namun begitu, kami tidak dapat memastikan berkenaan status kisah ini, tetapi kisah ini boleh dijadikan sebagai iktibar dan pengajaran berkenaan seorang ahli Ibadah yang hampir terjerumus ke lembah dosa, kemudian dia tersedar akan kesilapannya dan bertaubat kepada Allah SWT. Begitu juga taubat seorang perempuan cantik yang melacurkan dirinya untuk mendapatkan kemewahan dunia, yang mana disebabkan oleh ahli ibadah ini, Allah membuka hatinya untuk menyesal akan perbuatannya dan terus bertaubat kepada Allah dan berhijrah daripada dunia gelapnya itu.

Mereka yang bertaubat kepada Allah SWT pasti akan diterima taubatnya dengan syarat dilakukan dengan penuh penyesalan dan berazam untuk tidak melakukannya lagi. Diriwayatkan juga daripada Abu Sa‘id bin Abu Fadhalah al-Ansari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ

Maksudnya: “Orang yang telah bertaubat dari dosanya seperti orang yang tidak mempunyai dosa.”

Riwayat Ibn Majah (4250) dan al-Tabarani (10281)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْإِسْلَامُ يَجُبُّ مَا قَبْلَهُ وَالتَّوْبَةُ تَجُبُّ مَا قَبْلَهَا

Maksudnya: Islam itu menghapuskan apa yang sebelumnya dan taubat itu menghapuskan dosa-dosa yang lampau.

Riwayat Bukhari (6921) dan Muslim (120)

Bahkan berlaku pada zaman Rasulullah SAW berkenaan taubat seorang penzina wanita yang mana Rasulullah SAW bersabda:

لَقَدْ تَابَتْ تَوْبةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْن سبْعِينَ مِنْ أَهْلِ المدِينَةِ لوسعتهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan satu taubat yang jika dibahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah akan meliputi semua mereka”.

Riwayat Muslim (1696)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply