Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya anak saya dah letak nama Muhammad Nuh Isyraf. Ada yang kata maksud Isyraf kurang elok. Jadi nak gantikan Isyraf dengan nama lain. Boleh atau tidak ustaz?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik. Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ
Maksudnya: ”Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”
Riwayat Abu Daud (4948)
Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
Maksudnya: Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abd al-Rahman.
Riwayat Muslim (6/169), Abu Daud (2/307), al-Tirmizi (4/29), al-Nasa’ie (2/119), Ibn Majah (2/404), al-Darimi (2/294), Ahmad (4774) dan al-Hakim (4/274)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa menurut Mu’jam al-Ghani perkataan إٍشْرَاف merupakan kata terbitan أَشْرَفَ yang membawa makna pengawasan atau penyeliaan dan juga membawa makna bimbingan. Manakala أَشْرَفَ pula membawa maksud kemuliaan atau kedudukan yang tinggi.
Perkataan Asyraf telah disebutkan dalam hadith di beberapa tempat antaranya ialah:
- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أشرفُ العِبادةِ الدُّعاءُ
Maksudnya: Semulia-mulia Ibadah adalah doa.
Riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad (713)
- Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِكُلِّ شَيْء شَرَفًا وَإِنَّ أَشْرَفَ الْمَجَالِس مَا اسْتقْبل بهِ الْقبْلَة
Maksudnya: Sesungguhnya pada setiap perkara itu ada kemuliaannya, dan sesungguhnya majlis yang paling mulia adalah majlis yang menghadap ke arah kiblat.
Riwayat al-Hakim(7706), Albani menilai hadith ini sebagai dhaif dalam Dhaif al-Jami’
Justeru kami katakan nama isyraf juga membawa makna yang baik, namun kami syorkan supaya ditukar nama Isyraf kepada Asyraf kerana ia lebih membawa maksud yang cantik dan sesuai digabungkan dengan nama yang telah diberikan. Di kesempatan ini kami juga ingin menasihati bahawa dalam pemilihan nama anak, faktor utama yang harus diutamakan adalah memilih nama yang bermakna baik dan sejajar dengan identiti sebagai seorang muslim, serta harus dihindari makna-makna yang menyimpang dari nilai-nilai agama. Semoga nama yang dipilih bagi anak saudara membawa berkat dan kebahagiaan dalam kehidupannya.
Marilah kita berdoa semoga Allah kurniakan zuriat kita sebagai zuriat yang soleh dan solehah.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan:74)
Wallahua’lam
Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445