Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan hadith yang disebut oleh Imam Nawawi iaitu hadith 30 dan bagaimana cara applikasinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Tha’labah al-Khusyani Jurthum (جُرْثُومُ) bin Nasyib (نَاشِب) R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

إنَّ اللَهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلَا تَعْتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa perkara, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa perkara sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mengungkitnya.”

Riwayat al-Daraqutni (42) dan dihasankan oleh al-Nawawi, al-Hakim (3/115) dan al-Baihaqi (10/12). Ibn Solah mengatakan hadis ini sahih.

Aplikasi Hadis Dalam Kehidupan

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah-lah yang mengfardukan sesuatu perintah di mana wajib bagi kita mentaati-Nya. Jangan sekali-kali cuba menceroboh apa yang Allah taklifkan kepada kita. Sifat taat dan patuh kepada segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya merupakan sifat mukmin yang sejati. Janganlah kita menyibukkan diri untuk mengkaji sesuatu yang Allah tidak nyatakan sebagai rahmat kerana akan menyukarkan kita sendiri. Cukuplah kita sebagai hamba-Nya yang sentiasa menyebut ‘kami dengar dan kami patuh’.

Sebahagian ulama pernah berkata: “Adalah Bani Israel bertanya dan memohon pasti dijawabnya dan diberi apa yang mereka minta, hingga hampir-hampir menjadi fitnah bagi mereka. Ini membawa kepada kebinasaan mereka.”

Dengan sebab itulah para sahabat memahami demikian itu dan berhenti daripada bertanya dan meminta kecuali perkara yang perlu semata-mata atau mesti. Daripada ini maka sebahagian ulama begitu tegas memberi pendapat bahawa tidak harus bertanya dalam perkara yang belum berlaku kepada para ulama sehingga berlaku. Ini semata-mata kerana mengikut cara salaf al-Soleh yang berpendapat: “Tinggalkan dahulu sehingga ia berlaku”.” Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar (3/398)

Hadis ini menekankan bahawa syariat Islam bersifat mudah dan tidak menyusahkan. Ia terhindar daripada sebarang perintah dan tegahan yang melemahkan manusia atau ketidakmampuan manusia untuk mentaatinya. Bahkan secara ringkasnya, setiap kewajipan perlu dilaksanakan dan setiap perkara yang haram perlu ditinggalkan.

Justeru, laksanakanlah segala yang wajib, jauhilah yang haram dan kurangkan pertanyaan yang tidak berfaedah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply