Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar hadith yang kedua puluh dalam Matan Arba’in menyebut tentang malu dan ada kisah seorang ulama yang menyebut hadith ini dan akhirnya dia bertaubat. Boleh ustaz jelaskan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi Mas’ud Uqbah bin Amr al-Anshari al-Badri RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ الْأُولَى: إذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: “Bahawa di antara yang didapati oleh manusia daripada perkataan Nabi yang terdahulu ialah: Jika engkau tidak malu, buatlah apa yang engkau suka.”

Riwayat al-Bukhari (3483)

Kisah Taubat al-Qa’nabi Apabila Bertemu Syu’bah bin al-Hajjaj

Imam Ibn Qudamah di dalam kitab al-Tawwabin (orang-orang yang bertaubat) menceritakan satu kisah yang menarik tentang  tokoh yang bernama al-Qa’nabi dan kisah taubatnya, diceritakan: “Dahulu ayahku seorang peminum nabiz (sejenis arak) dan berkawan dengan anak-anak muda. Pada suatu hari, beliau mengundang mereka (anak-anak muda untuk minum) dan saat itu beliau duduk di depan sebuah pintu menunggu kehadiran mereka lalu Syu’bah melalui tempat tersebut dengan menunggang keldainya yang dibelakangnya ramai orang yang berlari-lari mengikutinya.

Melihat peristiwa itu, al-Qa’nabi berkata: “Siapakah orang ini (yang menunggang keldai?” Dikatakan kepadanya: “Syu’bah.” Beliau berkata lagi: “Siapa itu Syu’bah?” Orang-orang itu berkata: “Dia seorang ahli (tokoh) hadith.” Lalu al-Qa’nabi berdiri menghampiri Syu’bah yang memakai pakaian berwarna merah pada waktu itu sambil berkata kepadanya: “Riwayatkan hadith kepadaku?” Maka Syu’bah berkata: “Kamu bukanlah seorang ahli hadith yang membuatkan aku harus untuk menyampaikan hadith kepada kamu.”

Mendengar jawapan itu, al-Qa’nabi menghunuskan pisaunya dengan berkata: “Riwayatkan hadith kepadaku atau aku akan mencederakanmu dengan pisau ini?.”Lalu Syu’bah berkata: “Telah menceritakan kepadaku Mansur, daripada Rib’iy, daripada Abu Mas’ud, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: “Apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa sahaja yang kamu suka.”

Riwayat al-Bukhari (6120)

Setelah mendengar hadith tersebut, al-Qa’nabi membuang pisaunya lalu pulang ke rumahnya dan pergi menuju ke tempat simpanan nabiznya (araknya) lalu memecahkannya atau menumpahkannya kesemuanya sambil beliau berkata kepada ibunya: “Jika sahabat-sahabatku datang nanti, persilakanlah mereka untuk masuk ke rumah dan sediakanlah makanan untuk mereka. Apabila mereka telah selesai makan, maka khabarkanlah kepada mereka tentang apa yang telah aku lakukan terhadap semua minumanku tadi sehingga mereka pulang.” Tidak lama selepas kejadian itu, beliau pergi ke Madinah untuk menimba ilmu di hadapan Malik bin Anas dan Imam Malik amat mempengaruhi dirinya. Setelah itu, beliau kembali ke Basrah yang pada saat itu Syu’bah telah pun meninggal dunia. Untuk itu, al-Qa’nabi tidak mendengar hadith daripada Syu’bah melainkan hadith ini (yang beliau dengar ketika beliau masih seorang pemabuk dan yang membuatkan dirinya bertaubat daripada perbuatannya tersebut). (Lihat al-Tawwabin, hlm. 133)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply