Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah natijah zuhud disukai Allah SWT dan manusia? Kami juga ingin mengetahui apakah maksud zuhud di sisi ulama?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Benar sekali. Daripada Abu Abbas Sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi RA, beliau berkata: Seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang jika aku kerjakan, Allah dan manusia akan mencintaiku. Baginda bersabda:
ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبُّكَ اللّهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبُّكَ النَّاسُ
Maksudnya: “Zuhudlah terhadap dunia maka engkau akan dicintai Allah, dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia maka engkau akan dicintai manusia.”
Riwayat Ibn Majah (4102) dan selainnya dengan sanad-sanad yang hasan. Hadis hasan.
Kami nukilkan juga di sini beberapa kalam ulama berkaitan zuhud, antaranya:
- Ali bin Abi Talib RA berkata: “Zuhud itu adalah jangan terlalu gembira apabila memperoleh keuntungan, dan jangan terlalu
bersedih apabila memperoleh kerugian.” - Abu Idris al-Khaulani RA berkata, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: “Zuhud terhadap dunia bukanlah bermakna mengharamkan yang halal dan membuang harta benda, tetapi zuhud terhadap dunia ialah kamu yakin terhadap apa yang ada di sisi Allah lebih baik daripada apa yang ada di sisi kamu. Apabila kamu ditimpa musibah, kamu amat mengharapkan ganjaran pahala daripada-Nya dan juga apa yang disediakan kepadamu (di akhirat nanti), sekalipun musibah itu kekal
bersama kamu.” - Hasan al-Basri berkata: “Seorang yang zuhud adalah jika ia
melihat orang lain ia berkata: ‘Ia lebih baik dariku.’” - Wahb bin al-Ward berkata: “Zuhud terhadap dunia ialah kamu tidak berputus asa terhadap yang hilang daripadamu (kenikmatan dunia) dan tidak pula bergembira dengan apa yang kamu perolehi (kenikmatan dunia).”
- Al-Zuhri berkata: Ketika ditanya tentang zuhud, beliau menjawab: “Zuhud ialah mereka yang tidak hilang kesabarannya ketika berhadapan dengan perkara-perkara haram dan perkara-perkara halal tidak menghalangnya dari bersyukur.”
- Sufyan bin Uyainah berkata: “Seseorang yang zuhud adalah jika mendapat nikmat ia bersyukur, dan jika ditimpa musibah ia sabar.”
- Rabi’ah berkata: “Kemuncak zuhud yang paling utama adalah mengumpulkan sesuatu dengan cara yang sebenar dan meletakkannya pada tempat yang sepatutnya.”
- Sufyan al-Tsauri berkata: “Zuhud terhadap dunia adalah pendek angan-angan. Bukan dengan memakan makanan yang tidak enak dan memakai pakaian yang buruk.”
- Imam Ahmad berkata: “Zuhud adalah pendek angan-angan dan tidak mengharapkan harta yang dimiliki orang lain.”
- Imam Nawawi menyebut: “Zuhud adalah meninggalkan urusan dunia yang tidak diperlukan, sekalipun perkara itu halal serta mencukupkan diri dengan perkara yang perlu sahaja.”
- Pujangga berkata: “Dunia ini hanyalah bekalan yang dapat digunakan oleh orang baik dan juga orang jahat. Dunia ini dibenci oleh orang yang mencintai Allah, dunia hanya diambil sekadar keperluannya tanpa merosakkan agamanya.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445