Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 112 surah Hud yang terkait dengan istiqamah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Hud: 112)
Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Tidak diturunkan kepada Rasulullah pada keseluruhan al-Quran atau satu ayat yang lebih dahsyat dan lebih susah kepadanya daripada ayat ini.”
Al-Hasan Basri berkata: “Setelah ayat ini diturunkan Rasulullah SAW menyinsingkan lengan tangannya sehingga tidak pernah terlihat Baginda SAW ketawa.” Riwayat Ibn Abi Hatim.
Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ’, yakni sebagaimana Allah telah memerintahkanmu. Sehingga masuk di dalamnya semua yang diperintahkan dan dilarang-Nya. (Lihat Fath al-Qadir, 3/224)
Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
(Surah al-Fussilat: 30)
Dalam menafsirkan ayat ini (ثُمَّ اسْتَقَامُوا) ada dua pandangan:
- Saidina Abu Bakar al-Siddiq berkata: “Mereka tidak menyekutukan sesuatu dengan Allah.”
- Saidina Umar al-Khattab berkata: “Mereka tetap beristiqamah di atas ketaatan kepada Allah, tidak ke kiri dan ke kanan, seperti musang.”
Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘ثُمَّ اسْتَقَامُوا’, yakni istiqamah di atas tauhid, dan tidak mencari tuhan selain Allah, serta istiqamah di atas perintah dan syariat Allah; sehingga mereka melakukan ketaatan dan menjauhi kemaksiatan sehingga mati. (Lihat Fath al-Qadir, 5/224)
Dalam erti kata yang lain, ia bermaksud, tauhidkanlah Allah dan berimanlah dengan-Nya, kemudian istiqamahlah dan jangan menyimpang daripada tauhid. Dan lazimilah dalam mentaati perintah Allah sehingga akhir hayat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/9)
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445