Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami bagaimana Rasulullah SAW berinteraksi dengan masa dalam kehidupannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, kami telah kemukakan sebuah buku bertajuk Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, di mana kami terangkan mengikut kronologi zaman atau masa. Kami nukilkan di sini jawapan kami dari buku yang lain.

Rasulullah SAW dan Masa

Berdasarkan kepada banyak nas, hadis dan juga tingkah laku Rasulullah SAW sendiri, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW adalah qudwah dan uswah utama dalam mempraktikkan pemeliharaan masa.

Suka saya nyatakan di sini betapa hebatnya Rasulullah SAW dalam serba serbi tindakannya namun masa yang digunakan adalah amat sedikit. Menakjubkan lagi, kejayaannya sangat luar biasa. Hasil dan natijahnya tak mungkin digugat di sepanjang zaman. Kami bawakan di sini sebahagian daripada contoh untuk kita tekuni dan amati. Antaranya:

  • Dakwahnya yang pendek.

Hanya 23 tahun sahaja masa yang diambil untuk Baginda dapat mengasaskan sebuah negara yang menuju kecemerlangan dengan luar biasa. Dapat menumbangkan dua kuasa besar dunia ketika itu, empayar Rom dan empayar Parsi yang sudah bertapak ribuan tahun lamanya dan mempunyai ratusan ribu atau jutaan bala tentera. Tetapi Rasulullah SAW hanya mempunyai sahabat yang setia jauh lebih sedikit daripada mereka. Namun dengan keimanan, akhlak yang unggul, sifat-sifat mahmudah akhirnya mereka berjaya membuka dunia dengan keadilan dan cahaya keimanan yang menerangi segenap ufuk.

  • Menyediakan pembina tamadun.

Inilah berbezanya asas tamadun Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW berbanding tamadun dunia yang lain seperti Mesir, China, Rom, India, Parsi, Greek, Habsyah dan lain-lain. Mereka hanya membina bangunan yang besar lagi tinggi tetapi mengorbankan ribuan rakyatnya yang menjadi hamba paksa, bermandikan darah dan air mata. Sedangkan Rasulullah SAW membina dan mentarbiyah rijal dalam kalangan sahabatnya terutama dari aspek keimanan, akhlak, tingkah laku serta misi dan visi sehingga menuju ke hari akhirat bagi mencapai kebahagiaan hakiki.

  • Merangka masyarakat madani dengan qanun islami.

Rasulullah SAW telah membina kerangka perlembagaan Madinah yang dipanggil mithaq madinah. Ia dibina dengan penuh keadilan, kesaksamaan, kepedulian dan kecaknaan kepada seluruh rakyat dengan memberi hak masing-masing tanpa menzalimi walau sedikit pun. Inilah yang dinyatakan dan disusun atur oleh Baginda. Justeru melihat kepada mithaq yang disusun itu, ia telah membentuk satu negara Islam Madinah yang daripadanya seluruh lapisan masyarakat merasa kebahagiaan, keharmonian, ketenangan dan hak masing-masing terbela. Menakjubkan lagi, sebuah qanun (undang-undang) yang bersifat syumul, lengkap dan sempurna itu telah dapat digariskan dalam masa yang amat singkat.

  • Time-Management dan Quality Times.

Dalam kehidupan Rasulullah SAW sekalipun tidak tersurat dan tertulis, tetapi Baginda SAW dapat mengatur masanya dan menyusunnya dengan pantas. Begitu juga nilai masa yang wujud padanya digunakan dengan sebaik mungkin agar ia benar-benar bermanfaat dan berkualiti. Bayangkan dalam masa 10 tahun sahaja pembentukan negara Madinah, Baginda telah menghantar banyak surat kepada pembesar Rom, Parsi, Mesir, Habsyah dan lain-lain. Banyak kali berlaku peperangan tetapi kebanyakannya berpihak kepada Islam. Banyak negara dapat dibuka dengan cahaya Islam yang kemudiannya diteruskan oleh Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A.

  • Akal yang Besar dan Membina Pemikiran

Walaupun Rasulullah SAW dilahirkan dalam masyarakat yang digelar Jahiliyyah, tetapi selepas turunnya wahyu al-Quran yang membawa petunjuk hidayah dan menerangkan daripada petunjuk tersebut, kita dapati Baginda SAW dapat membentuk pola pemikiran sahabat dalam pelbagai aspek sama ada sudut pandang, misi, visi, matlamat, hala tuju dan juga bagaimana menyelesaikan kemelut dan permasalahan yang dihadapi dengan tuntas, bernas serta tepat. Inilah kelebihan yang tidak wujud pada orang lain.

Kesan daripada itu bilamana sahabat yang menjadi anak didik Rasulullah SAW dan mendapat tarbiyah secara langsung daripada Rasulullah SAW, makanya kita dapati Baginda jauh ke depan dan para sahabat juga dapat mengikut jejak langkahnya. Ini lebih terserlah lagi apabila mereka diutuskan bertemu dengan pemimpin negara atau panglima mereka. Bahasa yang mereka ungkapkan seperti Ja’far bin Abi Talib kepada Raja Najasyi, Rub’ie ibn ‘Amir kepada panglima Rostem dan lain-lain jelas menunjukkan bahasa mereka adalah dari didikan Rasulullah SAW.

Penuh dengan ilmu, sarat dengan hikmah, tinggi falsafahnya dan dalam maknanya. Ia juga menjadi lambang betapa mereka mendapat ilmu yang luar biasa dengan kefahaman yang amat mendalam. Inilah generasi sahabat dan disambung oleh generasi tabi’in selepasnya kerana pegangan dan kefahaman mereka adalah al-Quran dan al-Sunnah. (Lihat Masa: Peliharalah, hlm. 141-143)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply