Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah solat seseorang yang memakai alat solek seperti gincu yang mengandungi pewarna daripada cochineal? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan dan sedikit pengenalan mengenai pewarna cochineal ini. Secara ringkasnya, cochineal ialah pewarna merah yang terdiri daripada badan sejenis serangga betina yang dipanggil cochineal yang telah dikeringkan.[1] Manakala serangga cochineal pula ialah sejenis serangga bersaiz kecil, pemakan kaktus merah dan betinanya merupakan sumber pewarna cochineal.[2] Serangga tersebut ialah Dactylopius coccus daripada famili Coccidae. Cochineal telah digunakan untuk menghasilkan warna merah menyala (scarlet), merah lembayung (crimson), oren dan lain-lain, serta untuk menyediakan pigmen-pigmen seperti lake dan carmine. Pewarna ini diperkenalkan ke Eropah dari Mexico, di mana ia telah digunakan lama sebelum kedatangan orang Sepanyol. Serangga cochineal ini akan disapu dengan teliti dari kaktus ke dalam beg. Kemudiannya ia dibunuh dengan rendaman dalam air panas atau dengan pendedahan kepada cahaya matahari, wap atau haba ketuhar. Ia memerlukan sebanyak 70000 serangga ini untuk membuat satu paun pewarna cochineal.[3]
Gambar di atas: Serangga Cochineal[4]
Warna-warna yang dihasilkan oleh serangga ini memainkan peranan yang sangat penting kepada industri makanan, kosmetik dan farmasi. Di antaranya, ia dicampurkan dalam daging dan ikan yang telah disejuk beku, minuman ringan, yogurt, ais-krim, produk tenusu, sirap, buah-buahan dalam tin dan sebagainya. Manakala dalam bidang farmasi pula menggunakan ‘khidmat’ pewarna cochineal sebagai ejen pewarna untuk pil dan minyak angin. Begitu juga dalam bidang kosmetik pewarna cochineal ini digunakan bagi menghasilkan lipstik, produk penjagaan rambut, dan sebagainya.[5]
Keduanya, berkenaan status kenajisan cochineal serta bangkainya. Cochineal termasuk dalam kategori haiwan yang tidak memiliki darah merah seperti serangga, ulat dan seumpamanya. Haiwan seperti ini ketika hidupnya dianggap suci dan bukannya najis. Hal ini kerana hukum asal setiap haiwan itu adalah suci — yakni bukan najis — melainkan ada nas yang menunjukkan sebaliknya seperti kenajisan babi, anjing atau seumpamanya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan (yang hidup) itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226). Justeru, cochineal termasuk dalam haiwan yang suci ketika ia masih hidup.
Adapun ketika matinya, jumhur ulama berpendapat, ia dianggap suci dan bukan najis manakala ulama Syafi‘iyyah berpendapat, ia adalah najis. Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan, terdapat dua tariq (pendapat/aliran). Salah satunya, berkenaan kenajisannya ada dua pendapat. Jika kita katakan ia najis, maka ia telah menajiskan air. Sekiranya tidak (yakni bukan najis), maka ia tidak menajiskan air. Ini merupakan pendapat al-Qaffal. Manakala aliran (tariq) kedua pula, haiwan itu dikira sebagai najis secara pasti. Inilah pendapat yang diputuskan oleh ulama dari Iraq dan selain mereka. Inilah pendapat yang sahih kerana ia termasuk dalam bangkai. Seterusnya mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat, ia tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Dalil kami (ulama mazhab Syafi‘i), haiwan itu adalah bangkai. Namun, air tidak menjadi najis kerana susah untuk menjaga dan memelihara daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/130).
Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, setiap haiwan yang tidak memiliki darah merah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khiraqi yang terdiri daripada haiwan darat dan haiwan laut (air) seperti lintah, cacing, ketam dan seumpamanya, maka ia tidak menjadi najis dengan sebab kematiannya, begitu juga ia tidak menajiskan air apabila mati di dalamnya menurut pendapat kebanyakan fuqaha’. Ibn al-Munzir menyatakan, tidak diketahui dalam hal tersebut adanya khilaf melainkan terdapatnya salah satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i yang menyatakan, ia menajiskan air yang sedikit (kurang dua qullah). Sebahagian ashabnya menyebutkan, ia berdasarkan kaedah qias. Manakala pendapat keduanya menyatakan, ia tidak menajiskan air. Inilah pendapat yang paling terbaik (dari segi maslahahnya) untuk orang ramai. (Lihat al-Mughni, 1/60).
Selain daripada itu, menurut al-Bakri, di antara ulama yang berpendapat bahawa bangkai haiwan yang darahnya tidak mengalir adalah suci ialah Abu Hanifah dan Malik, serta al-Qaffal dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. (Lihat I‘anah al-Talibin, hlm. 108). Tambahan lagi, Dr. Muhammad al-Zuhaili turut menyebutkan dalam kitabnya bahawa semua haiwan yang tidak mengalir darahnya seperti lalat, nyamuk, kutu, kumbang dan seumpamanya, bangkainya adalah dikira sebagai suci. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/45).
Justeru, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa penggunaan pewarna cochineal adalah halal dan diharuskan selagi mana ia tidak mendatangkan kemudaratan kerana bangkai serangga cochineal — yakni haiwan yang tidak memiliki darah yang mengalir — dianggap suci sebagaimana pendapat jumhur ulama. Bahkan pendapat ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4 hingga 6 Julai 2012, yang telah membincangkan Hukum Bahan Pewarna Cochineal: Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan Oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI.
Di antaranya ditegaskan bahawa jumhur fuqaha’ sepakat menetapkan bahawa bangkai serangga yang darahnya tidak mengalir adalah suci, dan pewarna cochineal adalah diperolehi daripada serangga cochineal yang telah mati di mana darahnya tidak mengalir. Begitu juga muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan barang gunaan adalah diharuskan dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana ia tidak mendatangkan kemudaratan. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, terbitan JAKIM, hlm. 178-179).
Kami juga telah membahaskan berkenaan hukum penggunaan pewarna cochineal ini secara khusus dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #644 Pewarna Cochineal.[6] Sesiapa yang ingin mendapatkan penjelasan dan maklumat tambahan berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel tersebut.
Ketiganya, berkenaan seseorang yang mendirikan solat dalam keadaan memakai alat solek seperti gincu dan seumpamanya yang mengandungi pewarna cochineal. Terlebih dahulu sebagaimana yang kita ketahui, di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada badan berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah binti Abu Hubaisy R.Anha:
فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَاتْرُكِى الصَّلاَةَ، فَإِذَا ذَهَبَ قَدْرُهَا فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى
Maksudnya: “Apabila kedatangan haid, maka tinggalkanlah solat, dan apabila selesai tempohnya, bersihkanlah dirimu dan bersolatlah.”
Riwayat al-Bukhari (306) dan Muslim (333)
Manakala najis perlu dibersihkan daripada pakaian pula dapat difahami melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:
يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.”
Riwayat Abu Daud (365)
Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar badan dan pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.
Seterusnya, sebagaimana yang kami telah nyatakan sebelumnya bahawa pewarna cochineal adalah halal dan dihukumkan sebagai suci. Hal ini kerana bangkai serangga cochineal — yakni haiwan yang tidak memiliki darah yang mengalir — dianggap suci dan bukannya najis sebagaimana pendapat jumhur ulama. Oleh yang demikian, pewarna yang terhasil daripadanya turut dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Ini bertepatan dengan kaedah:
التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa solat yang didirikan oleh seseorang dalam keadaan dia memakai gincu atau alat solek seumpamanya yang mengandungi bahan pewarna cochineal — serta bahan-bahan lain yang suci dan bukannya najis — adalah dikira sah dan tidak perlu mengulanginya semula. Ini kerana pewarna cochineal itu dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis sebagaimana pendapat jumhur ulama.
Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan dan mengingatkan, elakkanlah daripada menggunakan lipstik, gincu atau alat-alat solek dan mekap seumpamanya secara berlebihan baik ketika solat mahupun di luar solat. Hal itu adalah lebih baik, lebih-lebih lagi ketika mendirikan solat secara berjemaah di masjid atau surau. Ini kerana pemakaiannya secara berlebih-lebihan dikhuatiri akan menimbulkan fitnah, apatah lagi sehingga menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya, maka ia adalah dilarang kerana perbuatan tersebut termasuk dalam perbuatan tabarruj yang dilarang. Hal ini kerana berlebihan dalam mempamerkan kecantikan bagi seorang wanita Muslimah hanyalah diharuskan kepada suami mereka sahaja.
Adapun sekadar memakai lipstik atau gincu dengan warna yang tidak ketara, atau memakai alat-alat solek yang lain seperti bedak dan lain-lain dengan nipis dan sekadarnya (yakni tidak berlebihan) maka tidak mengapa, selagi mana perkara itu tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya dengan syahwat. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, kami telah bahaskannya secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #505 Wanita Memakai Lipstik dan Alat-alat Solek.[7]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”
[1] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/cochineal. Diakses pada 3 Mac 2022.
[2] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/cochineal%20insect. Diakses pada 3 Mac 2022.
[3] Lihat https://www.britannica.com/technology/cochineal. Diakses pada 3 Mac 2022.
[4] Gambar diambil daripada https://halalindustryquest.com/2015/01/26/food-colouring-cochineal-in-islam/. Diakses pada 3 Mac 2022.
[5] Lihat Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, Pewarna Makanan dari Serangga (Cochineal) Menurut Perspektif Halal: Analisis Fatwa di Beberapa Negara Asean oleh Mohd Mahyeddin Mohd Salleh, et. al, Januari 2020, Vol. 19, No. 1, Universiti Sains Islam Malaysia.
[6] Lihat https://maktabahalbakri.com/644-pewarna-cochineal/. Diakses pada 8 Oktober 2023.
[7] Lihat https://maktabahalbakri.com/505-wanita-memakai-lipstip-dan-alat-alat-solek/. Diakses pada 8 Oktober 2023.
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445