Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato Seri, saya ingin memohon sedikit pencerahan ilmu tentang ‘Wali Nikah’, Saya & Bakal Isteri bakal melangsungkan perkahwinan namun terdapat sedikit kekeliruan, ayah kepada bakal isteri saya telah meninggal dunia & susur ke atas yakni ‘atuk’ mereka juga semua telah meninggal dunia, yang tinggal hanya susur ke bawah yakni adik beradik lelaki daripada ibu & ayah yang sama, bakal Isteri saya mempunyai abang sulong untuk menjadi wali, namun qadhi tidak mengiktiraf dia sebagai wali kerana ‘Tarikh Perkahwinan’ bakal Ibu mertua & ‘tarikh Lahir’ abang sulong tidak cukup bulan (Lahir 7 Bulan) & meminta untuk adik kepada bakal isteri untuk menjadi Wali. Di sini saya ingin memohon jasa baik Dato’ untuk memberi pencerahan ilmu, adakah seorang lelaki baligh yang pernah dilahirkan tidak cukup bulan (7 bulan) layak atau  tidak untuk menjadi seorang wali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ri bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ

Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.

Riwayat al-Tirmizi (1102)

Hadith ini menunjukkan bahawa seorang perempuan tidak dibolehkan melakukkan akad nikah untuk dirinya sendiri melainkan walinya dan tidak boleh juga dia melakukan akad nikah untuk perempuan lain. Yang demikian merupakan pandangan ulama seperti Imam al-Syafi’I, Sufyan al-Thauri, Imam Ahmad dan Abu Ishak.  (Lihat al-Tamhid, 12/21 ).

Diriwayat juga daripada ‘Aisyah katanya, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا،

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya.”

Riwayat Tarmizi (1102)

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan terlebih dahulu susunan dan tertib wali mengikut syara’ adalah sepertimana berikut:

  • Bapa Kandung.
  • Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
  • Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
  • Adik Beradik Lelaki Sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Wali Hakim.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/61)

Dalam isu ini kami katakan abang sulong kepada bakal isteri saudara adalah layak untuk menjadi wali sekiranya mempunyai hubungan pertalian darah yang sah. Walaupun seorang individu lahir tidak cukup bulan, ini bukanlah halangan baginya untuk menjadi wali kepada keluarganya, selagi tidak ada halangan lain yang menghalang seperti status anak yang tidak sah atau faktor-faktor lain yang seumpama dengannya.

Firman Allah SWT:

وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Maksudnya: “(Dan ibunya) mengandungkan serta menyusukannya (anak) selama tiga puluh bulan.”

(Surah Al-Ahqaf:15)

Kemudiannya adalah firman Allah SWT:

وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

Maksudnya: “(Dan seorang ibu) menyusukan anaknya selama dua tahun.”

(Surah Luqman: 14)

Berdasarkan kedua-dua ayat ini, ada dijelaskan tentang tempoh penyusuan serta tempoh mengandung yang berlaku kepada orang perempuan. Ayat ke-14 daripada surah Luqman menjelaskan bahawa tempoh susuan adalah selama dua tahun iaitu bersamaan dua puluh empat bulan. Manakala ayat ke-15 daripada surah Al-Ahqaf pula menjelaskan tentang tempoh mengandung dan menyusukan iaitu selama tiga puluh bulan. Maka para ulama melakukan istinbat daripada ayat ini dalam menyatakan bahawa tempoh hamil yang paling singkat adalah selama enam bulan. Ini kerana, daripada 30 bulan tersebut, 24 bulan digunakan untuk menyusukan anak, maka selebihnya itu dikira sebagai tempoh mengandung yang paling singkat.

Ibn Kathir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini beliau berkata : “Daripada ayat ini, Ibn Abbas dan selain beliau daripada kalangan para a’immah (para ulama) mengistinbatkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat adalah selama enam bulan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/336)

Selain itu, al-Qurtubi ada menukilkan sebuah riwayat daripada Amirul Mukminin Uthman Ibn ‘Affan R.A yang didatangkan kepada beliau seorang perempuan yang telah melahirkan anak setelah enam bulan hamil. Lalu beliau ingin menjatuhkan hukum had kepada perempuan tersebut. Kemudian Ali bin Abu Talib R.A berkata kepadanya : Tidak boleh dijatuhkan had ke atasnya. Ini kerana Allah S.W.T berfirman :

وَحَمْلُهُ وَفِصالُهُ ثَلاثُونَ شَهْرا

Maksudnya: “(Dan ibunya) mengandungkan serta menyusukannya (anak) selama tiga puluh bulan.”

(Surah al-Ahqaf: 15)

Dan firman Allah SWT :

وَالْوالِداتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كامِلَيْنِ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Maka susuan itu selama dua puluh empat bulan dan tempoh hamil (yang paling singkat) itu enam bulan. Lalu ‘Uthman pun menarik semula pendapatnya dan tidak menjatuhkan hukuman had kepada perempuan tersebut. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 16/193)

Justeru, berdasarkan nas-nas al-Quran yang telah dijelaskan di atas, kami menyatakan bahawa tempoh kehamilan yang paling singkat adalah enam bulan. Oleh itu, dalam isu ini, kami berpendapat bahawa seorang anak yang lahir tidak kurang dari enam bulan boleh dianggap sebagai anak yang memiliki status yang sah dan dapat berperanan sebagai wali bagi keluarganya. Selain itu, dalam pemilihan wali, penting untuk memastikan bahawa dalam pemilihan wali hendaklah mematuhi susunan tertib sebagaimana yang telah dijelaskan sebelumnya, dan hendaklah memastikan mempunyai ikatan hubungan yang sah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahua’lam 

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply